Segala puji,puja dan syukur kepada Ilahi kerana hingga ke hari ini kita masih lagi dapat menghirup dan menghembus nikmatnya udara di sekeliling, masih lagi bernyawa untuk meneruskan tanggungjawab sebagai khalifah dan penggerak kemajuan di muka bumiNya ini.
Salam Eid Mubarak dan selamat pulang dari cuti pertengahan semester kepada semua mahasiswa/i Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu. Cuti perayaan pastinya diserikan dengan kemeriahan ziarah menziarahi dan kegirangan bertemu dengan sanak-saudara dan sahabat handai. Musim perayaan ini merupakan suatu suasana yang sangat mahal dan perlu dihargai kerana kedatangannya yang hanya sekali setahun.
Selaku mahasiswa berintelek, bulan kemenangan Syawal ini perlu disambut dengan kesyukuran dan penuh adab di samping mempamerkan sifat dan sikap mahasiswa itu sendiri. Gelaran mahasiswa sudah cukup untuk menunjukkan pembawaan kita kepada masyarakat. Mahasiswa yang peka dengan tanggungjawab kepada Ilahi dan komuniti akan memandang sambutan penuh rahmat ini sebagai suatu titik pelonjak bagi menganjakkan keadaan masyarakat yang sedia ada kepada kedudukan institusi masyarakat yang lebih stabil intelek dan spiritual, bukan dengan turut sama menjadi ‘penyambut raya lupa diri’.
Mengapa terma ‘penyambut raya lupa diri’ digunakan? Ia adalah kerana rata-rata kelompok masyarakat menganggap sambutan Aidilfitri ini sebagai satu kebebasan dan kemenangan untuk menyambung keseronokan dan perlakuan dosa yang ditangguh-tangguh sebelum kedatangan Ramadhan. Maka, kita seharusnya mengubah perspektif hedonisme dan sifat-gemarkan-hiburan-melampau yang semakin mengangganggu gugat masyarakat terutamanya remaja masa kini.
Serlahkan karisma kita sebagai mahasiswa yang mampu memandu minda masyarakat ke arah pembaharuan positif! Galakkan pengeratan hubungan silaturrahim, sifat tolong-menolong, banteras keterlanjuran dan kelampauan sosial yang menjadi jarum dalam masyarakat. Benih dan semaikan penghayatan sebenar akan Syawal ini yang mana ia merupakan sambutan yang memberikan manfaat kepada orang ramai serta manjadi ibadah.
Semoga sambutan kemenangan setelah mengharungi tarbiyah Ramadhan tidak menjadikan kita alpa dan lalai akan tanggungjawab yang masih dipikul. Sambutan Aidilfitri ini seharusnya dijadikan pemangkin dalam meningkatkan keazaman,iltizam dan kesungguhan untuk melonjakkan prestasi akademik dan ko-kurikulum pada sesi kali ini dan seterusnya serta dijadikan medan praktikal untuk menjalankan tanggungjawab sosial kepada komuniti.
Diingatkan bahawa peperiksaan akhir bakal menjengah dalam masa tidak kurang 5 minggu sahaja lagi, maka janganlah suasana raya menenggelamkan pandangan misi kita untuk melakukan persediaan cemerlang untuk menghadapi peperiksaan.
Ayuh lakukan perubahan! Salam Eid Mubarak dan tidak dilupakan, Selamat Menyambut Pesta Kuih Bulan !
Posted by Nur Ili bt Mohamad Tarmizi