Jumaat, September 03, 2010

'Jom Masak-Masak Bubur Lambuk' meriah




Bangi, 2 Sept - Program 'Jom Masak-Masak Bubur Lambuk' yang dianjurkan semalam disifatkan berjaya oleh pihak penganjur dengan kehadiran ramai wakil-wakil Persatuan Mahasiswa masing-masing. Program anjuran bersama MPP Mahasiswa itu telah berjaya menghimpunkan Persatuan-Persatuan Mahasiswa Fakulti UKM dengan Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (PEMATRA) menjadi tuan rumah program tersebut.

Aktiviti memasak yang bermula seawal pukul 3.30 petang itu telah menarik perhatian ramai mahasiswa terutamanya daripada Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB) berikutan lokasi memasak yang strategik di hadapan kafe FKAB.


MPP Nabilah yang turut 'turun padang' membantu persiapan memasak bubur lambuk ini turut melahirkan rasa bangga di atas komitmen wakil-wakil persatuan mahasiswa walaupun pada awalnya dijangkakan kehadiran mahasiswa agak kurang disebabkan kekangan kelas dan ada sebilangan yang sudah pulang ke kampung halaman.



Untuk makluman, program yang dianjurkan ini antara program-program yang bakal menutup kemeriahan bulan Ramadhan yang kini berbaki seminggu sahaja lagi.

Pada kesempatan ini, MPP Mahasiswa mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi. Sedikit pesanan buat rakan-rakan mahasiswa, diharapkan agar sentiasa berazam menjadikan hari-hari yang mendatang adalah lebih baik daripada hari-hari terdahulu.

Juga diingatkan musim peperiksaan akan menjelang tidak kurang daripada dua bulan atau lapan minggu sahaja lagi. Justeru diharapkan semua rakan mahasiswa bersiap-sedia dan tidak sesekali mengamalkan sikap belajar di saat-saat akhir. Luangkan masa sempena cuti Syawal ini untuk mengulangkaji pelajaran.

Salam Ramadhan dan Selamat Bercuti.