Rabu, September 22, 2010

Media Kampus USM : Parlimen Mahasiswa Bakal Bersidang

Oleh Unit Media Kampus USM

Minden : Universiti Sains Malaysia, IPT berstatus APEX pertama di Malaysia dan Asia Tenggara, bakal mengorak satu lagi langkah gemilang apabila Parlimen Mahasiswa yang diuar-uarkan sejak setahun yang lalu akan mula bersidang secara tidak rasmi pada 25hb September ini.


Bakal bersidang di Dewan Persidangan Universiti, sesi percubaan ini akan membabitkan 39 orang wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar USM dan 19 orang wakil daripada persatuan-persatuan dan kelab dari ketiga-tiga kampus USM.


Menurut sumber yang dipetik daripada weblog USM Daily, persidangan julung-julung kali ini akan bermula pada jam 8.30 pagi dan dijangkakan berakhir pada sebelah petangnya di mana semua perwakilan akan membahaskan usul-usul yang diterima daripada kalangan siswa-siswi USM sendiri.


Proses mengumpul usul juga sedang giat dijalankan ketika ini di mana wakil-wakil daripada MPP telah menguar-urakannya di laman sosial masing-masing. Setiap pelajar digalakkan membuat usul berdasarkan isu-isu semasa sebelum dikumpulkan oleh MPP untuk dibentangkan kelak.


Dalam pada itu, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP) USM yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan Parlimen Mahasiswa ini juga memaklumkan seramai 40 orang pelajar USM yang mendaftarkan diri mereka sebagai pemerhati akan turut serta dalam persidangan percubaan tersebut.