1.Penangkapan
saudara Mohammad Azan Safar, pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup
(TURUN) pada 24 Disember 2013 yang lalu merupakan tindakan kejam
Kerajaan Malaysia yang diketuai Dato Sri Najib Tun Razak. Tindakan ini
dilihat merupakan salah satu usaha drastik bagi menunjukkan ketakutan
mereka kepada satu himpunan bagi menggulingkan kerajaan pada 31 Disember 2013 akan diadakan.
2.Oleh itu, kita sebagai rakyat perlu faham dan jelas bahawa TURUN yang
akan diadakan pada 31 Disember 2013 bukanlah satu himpunan untuk
menggulingkan kerajaan. TURUN adalah himpunan kebangkitan seluruh rakyat
Malaysia akibat penindasan yang amat teruk daripada sang pemerintah
dan terhimpit dengan dasar-dasar baru yang diumumkan oleh mereka dengan
alasan ingin menjaga kestabilan ekonomi negara. Hakikatnya, ia akan
membebankan hampir seluruh lapisan rakyat Malaysia.
3.Sebagai
sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik, himpunan TURUN
seharusnya dihormati dan desakan rakyat semasa himpunan tersebut perlu
dipertimbangkan oleh kerajaan. Kerajaan seharusnya mengiktiraf himpunan
TURUN berlandaskan asas-asas demokratik, bukannya dengan menakutkan
rakyat sehingga pelbagai amaran dikeluarkan. Arahan turut diberikan
kepada setiap universiti bagi menghalang mahasiswa menyertai himpunan
TURUN.
4.Kerajaan yang telah lama memerintah negara ini usah
bimbang, kami sebagai rakyat Malaysia yang demokratik masih memilih
sistem pilihanraya sebagi satu kaedah bagi menukar kerajaan.
Peristiwa-peristiwa yang dilihat sebagai revolusi kebangkitan rakyat di
timur tengah cukup memberikan pengajaran kepada kami seluruh rakyat
Malaysia. Revolusi awal yang berlaku di Mesir, Libya, Syiria masih belum
menemui matlamat utamanya. Hakikatnya, revolusi menggulingkan kerajaan
bukanlah satu kerja yang mudah, bahkan ia memerlukan lebih dari
sehari, hatta boleh memakan masa bertahun-tahun. Sebagai contoh,
revolusi di Perancis mengambil masa lebih daripada sepuluh tahun untuk
berjaya. Selain itu, revolusi di Russia hanya berjaya setelah hampir
tujuh tahun ia dijalankan. Sebagai contoh lain pula, revolusi hebat yang
terjadi di timur tengah sehingga mengundang campur tangan pihak luar
kedalam urusan negara. Libya misalannya, sebelum ini merupakan sebuah
negara yang utuh. Namun, akhirnya ia telah berpecah sepertimana yang
dijelaskan oleh George Galloway, ahli parlimen United Kingdom.
5.Agak menyedihkan apabila tidak terdapat suara – suara golongan
akademik dan professor-professor yang mampu memberikan nasihat kepada
kerajaan agar memandang himpunan ini sebgai satu jalan yang positif.
Jika diamati dan difahami dengan jelas, himpunan ini merupakan salah
satu jalan “Short Cut” kepada makmal kos sara hidup yang cuba dijalankan
oleh YB. Khairy Jamaluddin. Sebaliknya, rakyat pula yang dipaksa agar
melihat peningkatan kos sara hidup ini dari aspek yang positif walaupun
pada hakikatnya, kita semua jelas dan merasai masalah yang berlaku.
6.Himpunan ini merupakan suara daripada seluruh rakyat Malaysia,
tidak kira mereka yang mengundi kepada Barisan Nasional (BN) mahupun
Pakatan Rakyat (PR). Amat memalukan sekiranya terdapat parti-parti
politik yang cuba untuk memanipulasi himpunan ini bagi menjulang parti
mereka. Himpunan ini tercetus daripada golongan muda Malaysia, kerana
generasi inilah yang akan mengalami masalah besar dengan kenaikan kos
sara hidup di Malaysia kelak. Ayuh rakyat Malaysia, kita sebagai warga
yang prihatin, kita wajib turut sama bersolidariti bersama TURUN pada
kali ini.
7. Tuntasnya, jelaslah kepentingan himpunan TURUN
pada kali ini . Bagi mereka yang masih ragu-ragu untuk bersama dalam
Himpunan TURUN ini atas dasar takut kepada ancaman sang pemerintah,
kita harus ingat bahawa himpunan ini adalah himpunan aman bagi
menyuarakan bantahan. Himpunan ini turut diterajui oleh golongan
intelek belia yang memahami dasar-dasar demokrasi berparlimen dan
menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang. Himpunan ini bakal
menciptakan sejarahnya tersendiri. Oleh itu, marilah kita bersama-sama
turun ke himpunan TURUN pada 31 Disember ini.
Mustapha Kamil Husen Abd Kadir
MPP Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Tahun 3/4
Yang DiPertua PMUKM 2013/2014
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::