Rabu, Oktober 03, 2012

Kelab Mahasiswa Istimewa: PMUKM bincang ke arah Universiti Mesra OKU

3 Oktober 2012 - Ahli PMUKM yang baru dilantik mengambil langkah proaktif untuk duduk bersama berbincang dengan  kepimpinan baru Kelab Mahasiswa Istimewa UKM. Perbincangan ini sebagai langkah awal untuk menjalinkan hubungan kerjasama dan saling memahami antara kedua-dua pihak bagi memperjuangkan hak-hak mahasiswa kurang upaya dalam kampus UKM.

Langkah ini adalah sebagai usaha berterusan pihak PMUKM menyokong penuh suara asertif pelajar berkeperluan khas di universiti kebangsaan Malaysia yang telah dilakukan oleh kepimpinan sebelum ini.

Pada sesi lepas, PMUKM telah berjaya menggerakkan Kelab Mahasiswa Istimewa yang telah dipimpin oleh bekas Timbalan Presiden PMUKM sendiri bahkan Kelab Mahasiswa Istimewa ini telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran ketika memberi ucapan perasmiannya, kelab ini adalah antara Kelab Mahasiswa Istimewa yang wujud memperjuangkan keperluan-keperluan mahasiswa kurang upaya dalam IPT di negara ini.

Antara perkara yang diperjuangkan oleh kelab ini ialah berkaitan akses ameniti pelajar kurang upaya di universiti ini. Ia berasas kepada Akta OKU 2008 yang menekankan  kesejahteraan hidup untuk berdikari bagi orang kurang upaya dinegara ini. Bahkan banyak deklarasi-deklarasi berhubung persejagatan pendidikan telah diiktiraf oleh dunia terhadap pendidikan untuk semua tanpa wujud diskriminasi.

PMUKM dan Kelab Mahasiswa Istimewa akan adakan kerjasama untuk merangka satu pelan jangka masa panjang berkaitan dengan universiti mesra OKU dan PMUKM melihat pelan ini sangat penting demi kesejahteraan semua warga mahasiswa istimewa di kampus ini” tegas saudara Ahmad Syukran selaku Ahli PMUKM.

Menurut penulisan kajian ilmiah yang dilakukan oleh Mohd Abdullah ( 2012 ), terdapat pelbagai halangan yang wujud dalam usaha memberikan sokongan pembelajaran kepada orang kurang upaya di kampus UKM antaranya ialah persekitaran yang tidak memahami keperluan yang perlu diberikan kepada mahasiswa kurang upaya. Maka barisan PMUKM melihat usaha ke arah memberi kesedaran kepada masyarakat persekitaran perlu dilakukan secara berterusan oleh semua pihak bagi membantu golongan kurang upaya di kampus UKM.