Jumaat, Oktober 19, 2012

Pelajar UKM berpeluang jalani praktikal di BPHS

SHAH ALAM - BP Hearing Solutions Sdn Bhd (BPHS), anak syarikat kumpulan BP Healthcare Group, hari ini menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memberi peluang kepada penuntut dari Jabatan Audiologi dan Sains Pertuturan dari Fakulti Sains Kesihatan universiti itu, untuk menjalani latihan praktikal di firma berkenaan.

Perjanjian Persefahaman (Mou) ke arah kerjasama itu ditandatangani oleh Pengerusi BPHS Joevy Beh dan Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jalinan Industri dan Komuniti) UKM Prof Datuk Dr Saran Kaur Gill.

Joevy berkata syarikat itu telah menyediakan pusat pendengaran BPHS sebagai platform pendidikan dan pembelajaran bagi bakal graduan untuk mendalami ilmu Audiologi bukan sahaja secara dari segi teori malah juga secara praktikal.

"Kerjasama ini telah dimulakan pada September tahun lepas dan sehingga kini, kami telah melatih hampir 28 pelajar yang menuntut di tahun ketiga dan keempat dari fakulti berkenaan," katanya kepada Bernama selepas menandatangani perjanjian itu di sini.


Menurutnya, melalui perjanjian persefahaman itu juga, pelajar dari fakulti terbabit boleh melaksanakan latihan praktikal mereka tanpa tempoh masa yang ditetapkan.  

"Tiada sebarang tempoh dikenakan ke atas pelajar-pelajar ini...mereka boleh datang ke sini serta melakukan latihan industri di firma kami sehingga mereka tamat pengajian.

"Ilmu pengetahuan yang diperolehi pelajar dalam bilik kuliah adalah tidak mencukupi untuk mereka keluar dalam pasaran kerja, oleh itu dengan adanya kemudahan yang disediakan ini diharap dapat membantu mereka," katanya.

Beliau berkata BPHS turut membuka peluang kepada penuntut mengembangkan kerjaya masing-masing dengan menyertai syarikatnya.

"Jika mereka berminat membina kerjaya bersama kami, kami amat mengalu-alukannya...ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada industri," katanya. - Bernama