Oleh Nur Azimah Mahmood
Foto Muhammad Izwan Azman
Foto Muhammad Izwan Azman
BAYUEMAS OVAL KLANG, 10 Jun 2012-
Pasukan kriket Unversiti Kebangsaan Malaysia berjaya merampas kejuaraan
Kejohanan Kriket Undangan Antarabangsa dari johan tahun lalu, University of
Colombo, Sri Lanka yang berakhir di sini semalam.
Ia telah mengalahkan juara tahun lalu
itu dengan 85 larian. Pasukan UKM mendapat 191 larian berbanding 106 di
perolehi University of Colombo di perlawanan akhir kejohanan itu. Inilah kali
kedua ia berjaya menjadi johan dalam lima tahun menganjurkan kejuaraan itu.
Ketua Kontijen UKM, Dr. Tajul
Arifin Muhammad berpuas hati dengan prestasi pasukan UKM yang telah memperolehi
kemenangan besar ke atas johan tahun lalu itu.
Beliau berkata kemenangan
menunjukkan peningkatan kemahiran dan kematangan pemain yang sangat baik hasil
persiapan yang rapi oleh pemain yang berlatih secara berterusan serta
pengalaman bermain dengan pasukan kebangsaan Hong Kong yang berada dalam
division kedua peringkat dunia sebagai persiapan terakhir.
Lima pasukan lain yang menyertai
kejohanan selama tujuh hari itu ialah University of Liberal Arts, Bangladesh;
Christ University, India; National University of Singapore; Siam University,
Thailand dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Kejuaraan kelima kriket itu
dianjurkan UKM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan
Persatuan Kriket Melayu Malaysia.
Dua orang pemain UKM, Syafiq Sharif diistiharkan sebagai pemain terbaik kejohanan
manakala Mohd. Haziq Zainudin dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan
akhir.
Pasukan UKM menerima hadiah wang
tunai US$1500, piala kejohanan, trofi dan sijil. Naib Johan dan tempat ketiga
masing-masing menerima wang tunai US$1000 dan US$750, trofi dan sijil
masing-masing.
Tempat ketiga disandang oleh
pasukan dari University of Liberal Arts, Bangladesh manakala pasukan Christ
University, India memenangi tempat keempat dan turut menerima trofi dan sijil.
Hadiah disampaikan oleh
Pro-Canselor UKM,Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, yang juga Presiden Persatuan
Kriket Melayu. Turut hadir di upacara penyampaian hadiah ialah Naib Canselor
UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Dato’
Dr Mahmud Md. Nor; wakil Kementerian Pengajian Tinggi, Kaliapan Rajakumar dan
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Ir Dr Othman A.
Karim yang juga Pengerusi Kejohanan.
Dr Tajul Ariffin berterima kasih
dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang menaruh kepercayaan kepada UKM sebagai
pusat kecemerlangan sukan kriket dan berharap untuk meningkatkan lagi prestasi
sukan kriket UKM ke peringkat dunia.
Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti