Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
Foto Shahiddan Saidi
KUALA LUMPUR, 9 Jun 2012 –
Inovasi dan Keusahawanan adalah ciri-ciri yang diperlukan untuk meletakkan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sederap universiti terkehadapan dunia
menjelang tahun 2018.
Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri
Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata visi
transformasinya akan mendorong UKM menjadi universiti penyelidikan yang
setanding dengan universiti-universiti terkemuka dunia.
Berucap di bengkel UKM Sederap
Universiti Terkehadapan Dunia 2018 dan pelancaran Kad Skor UKM di sini hari
ini, beliau berkata misi transformasinya ialah untuk menjadikan UKM sebuah
universiti terpilih yang memartabatkan bahasa Melayu serta mensejagatkan ilmu
beracuan budaya kebangsaan.
Prof Sharifah Hapsah berkata
matlamat transformasi ialah menjadikan UKM sebuah institusi yang terkenal
seluruh dunia dan memberi sumbangan kepada pembangunan lestari negara.
Dengan ranking THES yang meletakkan
UKM di tangga 98 daripada 100 universiti teratas dunia di bawah umur 50 tahun
dan QS yang meletakkan UKM di tempat 31 daripada 50 universiti dunia di bawah
umur 50 tahun, UKM mempunyai enam tahun untuk mencapai kejayaan ini.
UKM adalah satu-satunya
universiti di Malaysia untuk mencapai kejayaan ini.
Bengkel dua hari itu di anjurkan
oleh Pusat Perancangan Korporat dan Kepimpinan UKM.
Strategi UKM ialah menumpu
usahanya untuk menyungkil bakat berniaga supaya UKM memperolehi pendapatan
melalui syarikat-syarikat yang ditubuhkan khas untuk tujuan itu.
Penemuan
saintifik dan teknologi perlu dijadikan produk atau perkhidmatan yang sesuai
dicatat sebagai hakmilik dengan penyertaan swasta. Dengan cara ini UKM boleh
memperolehi pendapatan hasil dari inovasi dan penemuan baru, katanya.
Ini dapat dicapai dalam pelan
transformasi, iaitu Mengajar dan Belajar, Kepimpinan, Bakat, Governans dan
Penyelidikan serta Penyertaan Amali dengan swasta, badan bukan kerajaan (NGO)
atau agensi kerajaan.
Setiap kakitangan akademik
digalakkan menjalani program amali sekali dalam tempoh 10 tahun pertama
perkhidmatan manakala kakitangan akademik yang telah berkhidmat 10 tahun juga
digalakkan menyertai skim itu tertakluk kepada perancangan sumber manusia dan
kelulusan universiti
Prof Sharifah Hapsah andaikan UKM
sebagai seekor burung Camar Laut sedang dalam perjalanan ke destinasi yang
penuh cabaran dan yakin selagi ia dapat melengkapkan diri dengan alat yang
sesuai, ia akan sampai juga ke destinasi yang dituju itu.
UKM perlu menyertai pembangunan
kebangsaan dan memperolehi fadilat atau kemasyhuran di peringkat antarabangsa,
manakala perkhidmatan penyelidikan pengajian diperlukan untuk mendorong proses
itu manakala perjalanannya itu juga perlukan sistem penghantaran yang
cekap.
Destinasi perjalanannya itu ialah
membantu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti
hidup yang memuaskan.
Dalam usaha memantau perjalanan
itu, UKM perlukan Kad Skor yang akan mencatat pencapaian setiap aspek
operasinya.
Prof Sharifah Hapsah mengingatkan
fakulti-fakulti bahawa para siswazah juga perlu mengilhami dasar-dasarnya itu
untuk menjayakan visi tersebut.
Pelajar harus digalakkan untuk
meningkatkan aktiviti kokurikulum, seperti keusahawanan dan inovasi. Umpamanya,
para siswazah yang berjaya mencipta produk baru harus diberi nasihat mengenai
cara melindungi hak cipta mereka serta berunding dengan pihak swasta dengan
bantuan pensyarah atau pakar undang-undang.
Beliau memberi jaminan bahawa
kakitangan akademik dan siswazah adalah bebas dalam kapasiti masing-masing
menurut kuasa autonomi yang diberi kepada beberapa universiti baru-baru
ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan mereka harus bersedia memikul tanggung jawab apabila menguna kebebasan itu.
Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti