Jumaat, Jun 08, 2012

Kerajaan Akan Terus Sediakan Pendidikan Berkualiti Tinggi Dan Berpatutan - Najib


KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan terus menyediakan pendidikan yang berpatutan dan berkualiti tinggi kepada pelajar, di samping mengimbangi keperluan rakyat dengan memupuk bakat masa hadapan.

Katanya pendidikan yang baik adalah penting bukan sahaja kerana orang ramai perlu diberi peluang mengembangkan pengetahuan mereka, tetapi juga kerana tenaga kerja mahir semakin diperlukan dalam ekonomi masa kini yang kian berkembang dan diterajui oleh teknologi maklumat.

"Peranan kerajaan dalam membantu pelajar mendapatkan pendidikan tinggi ternyata jelas. Atas sebab itulah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ditawarkan secara rutin kepada pelajar yang layak bagi membantu mereka mencapai impian untuk melanjutkan pelajaran ke tahap universiti atau kolej ternama," katanya dalam entri blog terbaru di laman www.1malaysia.com.my hari ini.

Jelasnya, pelajar yang tidak layak mendapat biasiswa pula ditawarkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai alternatif.

Perdana Menteri berkata PTPTN yang ditubuhkan pada 1997 bagi memudahkan pelajar yang memerlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran bagaimanapun tidak lari daripada kritikan.

Ini termasuk gesaan supaya sistem yang telah beroperasi lebih dari sedekad setengah itu digantikan dengan sistem pendidikan tinggi percuma untuk semua sebagai langkah mengurangkan beban pembayaran balik ke atas pelajar.

"Kami telah mempertimbangkan kebaikan dan keburukan cadangan ini - walaupun pemansuhan menawarkan penangguhan segera bagi pelajar-pelajar yang masih membayar balik pinjaman PTPTN mereka, terdapat faktor-faktor lain yang perlu diambil kira oleh pihak kerajaan.

"Pertama, pemansuhan akan menyebabkan kerajaan menanggung kos sebanyak RM43 bilion dalam bentuk pinjaman tertunggak. Wang ini tentunya boleh digunakan untuk menjalani projek-projek yang dapat membantu rakyat. Selain itu, penubuhan universiti teknikal yang menawarkan pendidikan percuma memerlukan sumber yang besar," katanya.

Perdana Menteri perkata prinsip subsidi 100 peratus terhadap yuran kolej dan universiti pula jarang diamalkan oleh mana-mana negara.

Katanya ijazah yang baik adalah batu loncatan kepada pendapatan yang lebih baik, dan cukai daripada isi rumah berpendapatan rendah dalam masyarakat turut menyumbang kepada batu loncatan tersebut.

Menyedari beban perhutangan telah menjadi isu penting bagi rakyat Malaysia terutama para graduan, Najib berkata kira-kira 85 hingga 95 peratus daripada kos pendidikan telah disubsidi oleh kerajaan manakala perbelanjaan sara hidup pelajar pula difaktorkan ke dalam pinjaman PTPTN.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga sentiasa berusaha membantu pelajar mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian, dan mereka yang masih menganggur pula tidak dipaksa untuk membayar balik pinjaman PTPTN tersebut.

"Sebaliknya kami menggalakkan pelajar tersebut untuk meneruskan pelajaran mereka, dan kami akan menyediakan bantuan sekiranya mereka ingin belajar di luar negara sebagai alternatif," katanya.



-- BERNAMA