Sabtu, Jun 02, 2012

Agong berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah




KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong. 
Istiadat itu buat julung kalinya diadakan di Istana Negara baru di Jalan Duta di sini. Pada tahun ini, Seri Paduka berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada 1,523 penerima.


Terdahulu, Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, berkenan berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Sungai Besi.

Pada April lalu, upacara pertabalan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 berlangsung dengan penuh istiadat di Istana Negara berkenaan. 

Pertabalan bersejarah itu menyaksikan Tuanku Abdul Halim dilantik semula sebagai Ketua Negara sejak sistem giliran memegang jawatan dalam kalangan sembilan Sultan dan Raja Melayu dipraktikkan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957. 

Tuanku Abdul Halim pertama kali ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, Seri Paduka ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84 tahun.


-- BERNAMA