Sabtu, Jun 02, 2012

Program Simulasi Perniagaan Untuk Siswa UKM Menggalakan


JUMAAT, 01 JUN 2012 16:56 SYAFAWATI
http://www.ukm.my/news/images/stories/Campus2012/karnival%20inovasi%201.jpg
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto oleh Izwan Azman

BANGI, 1 Jun 2012 – Program memberi peluang berniaga kepada pelajar tahun pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang tamat Rabu lalu amat menggalakkan, demikian menurut seorang pengajar dan usahawan dari Stevens Institute of Technology (SIT), Christos Christodoulatos.

SIT dari New Jersey Amerika Syarikat adalah rakan UKM dalam rancangan mengajar kursus perniagaan kepada pelajarnya.

Christodoulatos kagum dengan pelajar UKM itu yang dianggapnya sebagai setanding dengan siswa dari Amerika.

Provos Madya untuk Keusahawanan Akademik itu berharap pelajar-pelajar UKM itu akan terus menyusul pengajian itu hingga ke tahun kedua dan ketiga.

Beliau berpendapat 3,000 penuntut yang mengambil kursus keusahawanan itu lincah menangani pelbagai masalah dengan menggunakan alat canggih dalam kursus keusahawanan dan inovasi.

Kemuncak kursus itu ialah Karnival Keusahawanan dan Inovasi selama enam hari yang memberi peluang kepada mereka menjalankan simulasi memulakan perniagaan yang dilangsungkan di perkarangan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

Karnival itu di tutup oleh Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato' Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin Rabu lalu yang juga telah menyampaikan sijil-sijil penyertaan dan kepujian. Ia dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin pada 25 Mei.

Tujuannya ialah memberi peluang kepada siswa mengenal alam perniagaan serta mencungkil bakat di kalangan mereka dengan menjalankan gerai perniagaan mereka.

http://www.ukm.my/news/images/stories/Campus2012/karnival%20inovasi%202.jpg

Christodoulatos memerhatikan bagaimana ketika menjalani kursus itu mereka telah dapat beralih dari satu kaedah ke kaedah lain mengguna teknologi selain melihat keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan cara memasarkan produk mereka.

Mereka mengguna komputer bimbit untuk merangka rancangan perniagaan dan membuat susulan dengan pihak yang berpotensi menjadi pelabur untuk syarikat terbitan mereka.

Mereka juga dikehendaki memberi hujah-hujah lisan kepada pelanggan berpotensi untuk mendapatkan pelaburan dan pembiayaan dalam sesi yang diteliti oleh penyelia-penyelia UKM dan SIT.

Christodoulatos mengakui bukan semua yang tamat pengajian mereka nanti mahu menjadi usahawan, tetapi pengalaman itu akan menjadi bekalan jika mereka terpaksa mencari makan secara persendirian, umpamanya ketika keadaan ekonomi menjadi murung.

Beliau bagaimana pun mendapati terdapat beberapa kelemahan di kalangan peserta-peserta itu antaranya kerana mempunyai latar belakang yang amat tradisional dan konservatif.

Ada di antara pelajar-pelajar itu yang pada mulanya enggan bersikap serius dan takut dengan pengalaman baru kerana amat berlainan dari cara tradisional belajar dalam dewan kuliah atau melalui syarahan dan bimbingan oleh pensyarah-pensyarah. 

Bagaimanapun, dengan pujukan dan galakkan, mereka kemudiannya telah menunjuk minat dan memberanikan diri untuk menjadi usahawan olok-olok.

Program kursus itu dimulakan empat bulan lalu dalam semester satu secara kaedah biasa, iaitu syarahan dan kuliah.

Bagaimanapun, pelajar-pelajar itu mula mengalami kejutan budaya apabila menjalani simulasi perniagaan dengan memasuki alam perniagaan dan diuji secara intensif dalam semua hal yang mereka pelajari secara teori.

Walaupun ia hanya olok-olok, peserta-peserta memeras otak untuk mencari penyelesaian perniagaan dan menghadapi masalah yang wujud.

Dalam keadaan serba mencabar, kelihatan mereka menyerlah dalam memulakan perniagaan, kata Christodoulatos.

http://www.ukm.my/news/images/stories/Campus2012/karnival%20inovasi%203.jpg

Jika pada awalnya mereka kelihatan teragak-agak tetapi kemudiannya telah berjaya untuk mengusahakan syarikat terbitan mereka langkah demi langkah.

SIT dan Pusat Keusahawanan dan Pembangunan IKS (CESMED) UKM mengaturkan program ini secara membahagi kursus kepada of 20 unit kursus akademik untuk pelajar baru dari semua fakulti. Program ini wajib bagi semua siswazah tahun pertama UKM. 

Dalam Karnival Keusahawanan dan Inovasi yang baru selesai Rabu lalu itu, mereka dibahagikan kepada beberapa pasukan dan diuji dalam beberapa kategori bagi modul-modul seperti kepimpinan, kebolehan berpasukan, pembiayaan, pemasaran, kefahaman keperluan pelanggan dan berhujah.

Sebagai contoh, satu pasukan dari Fakulti Perubatan mungkin bersaing dengan siswazah dari Fakulti Pengajian Islam untuk menarik perhatian pelabur sebagaimana juga pelajar-pelajar Kejuruteraan akan bersemuka dengan penuntut-penuntut Sastera untuk menentukan yang mana boleh menembusi pasaran dahulu.

Maka berlaku pelbagai cara persembahan untuk menjual idea mereka bagi mana-mana produk atau perkhidmatan.

Semua peserta adalah dari UKM kecuali satu pasukan yang dihantar oleh Alliance Medical College.

Suatu program karnival itu ialah ‘Elevator Pitch’, yang mana setiap pasukan wajib memberi persembahan lisan dalam masa 30 saat hingga 2 minit mengenai segala kelebihan produk mereka kepada seorang pelabur, tanpa mengguna alat seperti power-point atau pertunjukan slaid. 

Ia digelar sedemikian kerana di Amerika Syarikat ada juru jual yang menjadi terkenal apabila berjaya menarik pembiayaan dari hartawan ketika mereka bertembung dalam lif bangunan pejabat. Jika hujah-hujah juru jual itu terlalu panjang, tidak sempat untuk menarik perhatian pelabur dan mereka akan berpisah apabila keluar dari lif.

Karnival ini juga memberi peluang kepada siswa menjadi peniaga kecil di warung-warung yang mereka kendalikan sendiri. Di antara produk yang ditawarkan ialah makanan dan perkhidmatan pembersihan. 

Lain-lain acara dalam karnival ialah explorace, mencari ‘harta karun’, permainan futsal, peraduan muka lucu, sesi berkongsi dan pengalaman berniaga oleh penuntut senior.

Sumber artikel : UKM News Portal