PMUKM 2014/2015

Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti

Muhammad Sallehudin Bin Khalid

Presiden PMUKM Sesi 14/15

Universiti Kebangsaan Malaysia Varsiti Tercinta

Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan

Ucapan Tun Abdul Razak

Majlis Konvokesyen Pertama UKM

Khamis, September 30, 2010

PARLIMEN MAHASISWA : Mematangkan Idealisma Mahasiswa Kampus


Parlimen Mahasiswa USM akan bersidang buat pertama kalinya di negara kita pada 23 Oktober 2010. Namun, ‘mock’ persidangan telah diadakan pada 25 September yang lalu dan membahaskan 10 usul. Parlimen Mahasiswa ini merupakan satu usaha mahasiswa dan pihak universiti untuk menyediakan satu platform yang terbaik bagi membenarkan mahasiswa menyampaikan segala pandangan, kritikan, tuntutan dan saluran idea kepada pihak universiti seterusnya kepada mahasiswa itu sendiri. Parlimen Mahasiswa ini dianggotai oleh semua lapisan pimpinan mahasiswa iaitu Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan-persatuan mahasiswa, persatuan kolej-kolej kediaman dan sekretariat-sekretariat mahasiswa. Idea penubuhan parlimen mahasiswa ini disambut baik oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah. Beliau juga telah menerima kerangka asas penubuhan Parlimen Mahasiswa daripada saya sendiri yang ketika itu menyandang jawatan Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USM 2008/2009. Demikian adalah ringkasan penubuhan Parlimen Mahasiswa yang pertama di negara ini.

Secara hakikatnya, Parlimen Mahasiswa ini mempunyai beberapa prinsip utama yang mampu sedikit sebanyak melahirkan pemimpin mahasiswa yang bersifat holistik. Prinsip utama dalam Parlimen Mahasiswa adalah prinsip mahasiswa bersemuka dan bukan bermuka-muka. Parlimen Mahasiswa ini dianggotai oleh tiga badan utama pimpinan mahasiswa, iaitu Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan-persatuan mahasiswa dan persatuan kolej-kolej kediaman. Ketiga-tiga badan ini akan bersemuka untuk berbahas dan berbincang tentang isu-isu yang diketengahkan. Perkara yang penting adalah mahasiswa akan bersemuka dan tidak bermuka-muka apabila sesuatu isu atau konflik berbangkit agar penyelesaian kepada isu tersebut dapat difikirkan secara bersama. Sebelum ini, jika kita lihat, ternyata wujudnya suatu kekangan atau halangan bagi mahasiswa daripada pelbagai badan pimpinan ini untuk bersemuka. Oleh itu, dengan adanya platform Parlimen Mahasiswa ini, pimpinan mahasiswa daripada pelbagai penjuru akan dapat bersemuka dengan lebih tersusun dan terhormat.

Prinsip seterusnya adalah prinsip mahasiswa beridealisma dan berwibawa. Dalam perbahasan parlimen mahasiswa, pemimpin mahasiswa akan mewakili suara badan pimpinan masing-masing. Jika ada pertikaian atau kritikan terhadap badan pimpinan yang mereka wakili, mereka akan mempertahankan badan pimpinan mereka dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang dapat menyelamatkan mereka daripada fitnah atau kritikan yang tidak benar.Secara tidak langsung, pemimpin mahasiswa sesuatu badan tersebut akan dapat menyampaikan usaha yang mereka telah lakukan kepada seluruh pimpinan mahasiswa universiti. Mudahnya, pemimpin persatuan-persatuan mahasiswa dapat melatih diri supaya menyampai dan mempertahankan idealisma mereka dalam berpersatuan. Bukan semata-mata bekerja melaksanakan projek-projek tahunan persatuan dan akhirnya disambung oleh pimpinan yang akan datang.

Prinsip seterusnya adalah prinsip mahasiswa sepakat. Parlimen mahasiswa akan membincang dan membahaskan usul-usul yang berkaitan dengan kebajikan dan pembangunan pelajar. Disamping itu, isu-isu semasa turut boleh dibahaskan dalam perbahasan usul. Selalunya, sesuatu cadangan atau bantahan yang hendak disampaikan kepada universiti akan dibawa oleh Majlis Perwakilan Pelajar, dan kadang-kala ada suara yang mengatakan bahawa cadangan Majlis Perwakilan Pelajar bersifat‘syok sendiri’ dan tidak ada perbincangan yang menyeluruh dengan mahasiswa sebelum cadangan atau bantahan itu dibawa kepada pihak universiti. Namun, dengan adanya satu platform seperti Parlimen Mahasiswa, kita akan dapat memungut dan membahaskan suara-suara mahasiswa dengan menyeluruh jika terdapat cadangan usul atau bantahan yang dikemukakan. Selanjutnya Majlis Perwakilan Pelajar dapat menggunakan pandangan menyeluruh ini untuk dibawa dengan jelas kepada pihak universiti. Kaedah ini dapat meningkatkan lagi kesepakatan antara mahasiswa itu sendiri. Selanjutnya konsep daripada mahasiswa kepada mahasiswa akan dapat diaplikasikan.

Kesimpulannya, penubuhan Parlimen Mahasiswa adalah satu impian mahasiswa supaya suara mereka didengari oleh pihak universiti. Maka, pihak universiti perlu menyediakan satu platform yang diiktiraf oleh mereka sendiri demi mengumpul dan menyalurkan pandangan dan idea mahasiswa. Prinsip-prinsip dalam hakikat penubuhan parlimen mahasiswa ini, dapat mendokong impian melahirkan pimpinan mahasiswa yang holistik. Bukan sahaja boleh memimpin persatuan tetapi boleh menjawab dan berbahas tentang apa yang dipimpinnya. Sekarang ini, penubuhan Parlimen Mahasiswa sudah dimulai di Universiti Sains Malaysia. Semoga ianya dapat diteruskan oleh universiti-universiti lain juga.Walaupun terdapat banyak pihak pengurusan universiti yang tidak bersetuju akan penubuhannya kerana bimbang tidak mampu mengawal mahasiswa pada masa akan datang, namun pihak universiti perlu matang dan waras untuk melayani kehendak mahasiswa daripada bersuara. Tunku Abdul Rahman pernah mencadangkan supaya satu atau dua kerusi diperuntukkan kepada mahasiswa dalam perbahasan di Parlimen negara. Artikel ini ditulis pada 30 Disember 1974, kira-kira 36 tahun dahulu. Cadangan ini jelas menunjukkan beliau sangat menghormati dan melayani mahasiswa sebagai orang dewasa dan bukannya seperti kanak-kanak yang sentiasa diragui kewibawaannya.


Ditulis oleh,


Mohammad Shafiq Bin Abdul Aziz
Ahli Dewan Perundingan Pelajar.
Parlimen Mahasiswa USM
Mantan Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USM 2008/2009


SUMBER : USM Daily

Rabu, September 29, 2010

Mahasiswa menggugat: Realiti atau fantasi ?


KUALA LUMPUR : Kerajaan dicabar untuk mengembalikan autonomi mahasiswa di dalam Universiti agar mahasiswa dapat menjadi mahasiswa yang berketrampilan dan mampu menggugat sama seperti di zaman 60-an dan 70-an satu ketika dahulu.

Ramai dari kalangan bekas mahasiswa tahun 60-an dan 70-an dahulu juga menganggap mahasiswa hari ini dilatih seperti ‘budak sekolah’ dan pemimpinnya dilantik seperti sekolah melantik ‘pengawas’ kerana kekangan yang wujud dari pihak universiti.

Bagi penulis buku Mahasiswa Menggugat, Prof Dato' Dr Mohamad Abu Bakar yang juga Profesor Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) dari Universiti Malaya berkata, cara gugatan mahasiswa hari ini dan satu ketika dahulu amatlah berbeza.

"Pelajar hari ini sungguh menyayat hati, apabila diperhatikan di café-café ketika mereka sedang makan, perbualan mereka tanpa perbualan tentang dunia semasa dan soal intelek,” kata Prof Dr Mohamad Abu Bakar ketika diminta mengulas kondisi mahasiswa masa kini.

Terbaru adalah kes empat orang mahasiswa Sains Politik UKM yang mengemukakan saman pemula bagi mencabar tindakan tatatertib UKM ke atas mereka yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor, April lalu.

Prof Dr Mohamad Abu Bakar juga merakamkan rasa kesal terhadap kekecohan yang berlaku di dalam Pilihanraya Kampus (PRK) sesi 2009/2010 di IPTA seluruh negara yang berlaku awal tahun ini khususnya di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kekecohan dan bantahan yang berlaku tidak lain berpunca dari pengendalian PRK oleh pihak pengurusan universiti yang memang sejak dari dulu dipertikaikan kewibawaan dan keberkecualiannya (impartiality).

Ia terjadi akibat sikap pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang mengambil sikap memihak kepada kumpulan pelajar tertentu hingga menjadikan demokrasi kampus bahan lawak semata-mata.

Di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) juga sekian lama berpendirian bahawa soal pemilihan kepimpinan mahasiswa seharusnya ditentukan sendiri oleh mereka secara bebas dan terbuka. Pendirian adalah telah ditetapkan sekian lama, sedari penubuhan Gabungan Mahasiswa pada tahun 2005, sama ada ketika kita mendapat banyak kerusi MPP atau tiada langsung.

Strategi menggugut dan memaksa mahasiswa untuk hanya mengundi sesuatu kumpulan adalah penghinaan terhadap maruah para mahasiswa selain dari mencabul hak asasi mereka.

Sikap memihak yang amat ketara yang ditunjukkan oleh kebanyakan pentadbir universiti uga dikutuk yang menyokong kumpulan pro Aspirasi di kampus-kampus hingga hanya kumpulan tersebut diberi ruang yang luas untuk berkempen dan mendekati pelajar dan pada masa yang sama menafikan hak tersebut kepada kumpulan pro Mahasiswa. Persoalan yang timbul adalah bagaimana universiti-universiti di Malaysia ingin mencapai tahap universiti bertaraf dunia jika dalam hal menentukan pemimpin mereka pun mahasiswa diperlakukan seumpama kanak-kanak ?

Mungkin seluruh dunia akan memperlecehkan Malaysia jika mereka mengetahui beginilah caranya kita membentuk dan mengajar barisan pelapis kepimpinan negara untuk menang pilihanraya dengan cara mengugut dan menekan lawan.

Dalam menyentuh perkembangan mahasiswa hari ini, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pihaknya melihat mahasiswa hari ini perlu melebarkan gerakan mereka kepada gerakan kebudayaan.

"Kita melihat, gerakan mahasiswa hari ini tidak perlu banyak tertumpu dalam kegiatan politik sahaja, sebaliknya, mereka juga perlu mengambil bahagian dalam bidang-bidang lain juga," kata beliau ketika dihubungi.

Yang lebih penting, tambah beliau, mahasiswa hari ini perlu menumpukan kepada usaha ke arah mengukuhkan akar budaya rakyat Malaysia yang baharu.

"Misalnya penjelasan ke arah menuju Malaysia Baru itu bukan cuma terhad kepada usaha memerangi rasuah, tapi ia mencakup kepada usaha membentuk akar budaya Malaysia yang baharu.

"Pada saya, Malaysia baru bukan hanya ditakrifkan sebagai negara yang bebas rasuah, tapi ia mesti pergi lebih jauh daripada itu, ia melibatkan pembentukan budaya baru yang dicipta oleh sarjana-sarjana, para cendekiawan dan ahli bijak pandai dalam masyarakat," katanya.

Selasa, September 28, 2010

MPP Ili - Perutusan Pertengahan Semester

Segala puji,puja dan syukur kepada Ilahi kerana hingga ke hari ini kita masih lagi dapat menghirup dan menghembus nikmatnya udara di sekeliling, masih lagi bernyawa untuk meneruskan tanggungjawab sebagai khalifah dan penggerak kemajuan di muka bumiNya ini.

Salam Eid Mubarak dan selamat pulang dari cuti pertengahan semester kepada semua mahasiswa/i Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu. Cuti perayaan pastinya diserikan dengan kemeriahan ziarah menziarahi dan kegirangan bertemu dengan sanak-saudara dan sahabat handai. Musim perayaan ini merupakan suatu suasana yang sangat mahal dan perlu dihargai kerana kedatangannya yang hanya sekali setahun.

Selaku mahasiswa berintelek, bulan kemenangan Syawal ini perlu disambut dengan kesyukuran dan penuh adab di samping mempamerkan sifat dan sikap mahasiswa itu sendiri. Gelaran mahasiswa sudah cukup untuk menunjukkan pembawaan kita kepada masyarakat. Mahasiswa yang peka dengan tanggungjawab kepada Ilahi dan komuniti akan memandang sambutan penuh rahmat ini sebagai suatu titik pelonjak bagi menganjakkan keadaan masyarakat yang sedia ada kepada kedudukan institusi masyarakat yang lebih stabil intelek dan spiritual, bukan dengan turut sama menjadi ‘penyambut raya lupa diri’.

Mengapa terma ‘penyambut raya lupa diri’ digunakan? Ia adalah kerana rata-rata kelompok masyarakat menganggap sambutan Aidilfitri ini sebagai satu kebebasan dan kemenangan untuk menyambung keseronokan dan perlakuan dosa yang ditangguh-tangguh sebelum kedatangan Ramadhan. Maka, kita seharusnya mengubah perspektif hedonisme dan sifat-gemarkan-hiburan-melampau yang semakin mengangganggu gugat masyarakat terutamanya remaja masa kini.

Serlahkan karisma kita sebagai mahasiswa yang mampu memandu minda masyarakat ke arah pembaharuan positif! Galakkan pengeratan hubungan silaturrahim, sifat tolong-menolong, banteras keterlanjuran dan kelampauan sosial yang menjadi jarum dalam masyarakat. Benih dan semaikan penghayatan sebenar akan Syawal ini yang mana ia merupakan sambutan yang memberikan manfaat kepada orang ramai serta manjadi ibadah.

Semoga sambutan kemenangan setelah mengharungi tarbiyah Ramadhan tidak menjadikan kita alpa dan lalai akan tanggungjawab yang masih dipikul. Sambutan Aidilfitri ini seharusnya dijadikan pemangkin dalam meningkatkan keazaman,iltizam dan kesungguhan untuk melonjakkan prestasi akademik dan ko-kurikulum pada sesi kali ini dan seterusnya serta dijadikan medan praktikal untuk menjalankan tanggungjawab sosial kepada komuniti.

Diingatkan bahawa peperiksaan akhir bakal menjengah dalam masa tidak kurang 5 minggu sahaja lagi, maka janganlah suasana raya menenggelamkan pandangan misi kita untuk melakukan persediaan cemerlang untuk menghadapi peperiksaan.

Ayuh lakukan perubahan! Salam Eid Mubarak dan tidak dilupakan, Selamat Menyambut Pesta Kuih Bulan !

Mahasiswa Menjana Transformasi Perubahan Komuniti

Posted by Nur Ili bt Mohamad Tarmizi

Isnin, September 27, 2010

Himpunan Sempena Perbicaraan UKM4


Salam perjuangan buat seluruh anak muda & warga Malaysia sekalian...

Serasanya masih 'panas' lagi semangat, kegembiraan & inspirasi kemenangan yang diraih oleh 5 orang anak muda & mahasiswa Malaysia dalam perbicaraan kes "Bini Puaka" beberapa hari yang lepas.

Ianya secara hakikatnya telah memberikan satu simbol signifikan untuk kebangkitan gerakan mahasiswa & anak muda Malaysia di kancah sosial & politik. Ianya juga telah dilihat mampu untuk menggerakkan minda massa lainnya bahawa kerja-kerja kotor untuk menghalang kebangkitan kesedaran masyarakat tidak akan mampu bertapak sekalipun ianya didokong & dicatur tangan-tangan ghaib yang menguasai seluruh sistem di negara ini.

Justeru, sebagai satu usaha untuk melestarikan (continous) kebangkitan kesedaran terhadap perubahan khususnya di kalangan anak muda, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan mengadakan himpunan sempena bacaan keputusan perbicaraan 4 orang mahasiswa Sains Politik UKM yang telah bertindak untuk mencabar pertuduhan kes mereka di kampus. Untuk makluman semua, pertuduhan yang telah dikenakan ke atas mereka telah dibuat di bawah peruntukan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) selepas pindaan 2009.

Ianya juga secara tidak langsung merupakan perjuangan yang digerakkan mereka untuk mencabar keabsahan (validity) AUKU yang telah maklum oleh semua, terlalu banyak melanggar hak-hak mahasiswa sebagai warganegara Malaysia, khususnya dalam bab kebebasan berpolitik.

Oleh yang demikian SMM telah mengambil pendirian untuk menyokong perjuangan 4 orang mahasiswa ini & bersetuju untuk menganjurkan himpunan besar-besaran pada 28hb September ini, tepat jam 2 petang, sebagai satu usaha menunjukkan kesatuan kita atas nama penuntutan hak yang telah terkandung dalam perlembagaan.

Akhirnya, SMM mengharapkan agar seluruh mahasiswa, anak muda & segenap warga Malaysia agar dapat sama-sama turun ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur pada 28hb September ini untuk sama-sama kita dengar keputusan kes & pada masa yang sama menyatakan sokongan untuk menolak penganiayaan yang telah dikenakan ke atas 4 orang mahasiswa UKM ini.


"Independen, Intelektual, Integriti, Responsif, Progresif"



Shazni Munir Mohd Ithnin
Pengerusi SMM

Jumaat, September 24, 2010

MPP Koh Beng turun 'Riang Ria Raya ISIUKM'


Bangi, 24 September - MPP Ou Yong Koh Beng berkesempatan bersama-sama mahasiswa-mahasiswi UKM menghadiri sambutan jamuan hari raya yang diadakan oleh Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) pada malam tadi.

Majlis yang dinamakan 'Riang Ria Raya ISIUKM' itu telah diadakan di Dewan Kuliah 2, Fakulti Pengajian Islam itu telah mengundang khas Penasihat ISIUKM, Prof Madya Dr Abdul Ghafar bin Don yang turut merasmikan sambutan hari raya tersebut. Turut hadir bersama program ini MPP Khairul Anuar, MPP Zaim, MPP Faiz dan MPP Nabilah.


Kehadiran dianggarkan mencecah 200 orang dengan para hadirin memenuhi segenap isi dewan kuliah tersebut. Diharapkan majlis-majlis yang mengeratkan silaturahim ini turut diadakan di masa-masa akan datang dan mendapat sambutan daripada semua mahasiswa tidak kira bangsa dan agama.

Rabu, September 22, 2010

Media Kampus USM : Parlimen Mahasiswa Bakal Bersidang

Oleh Unit Media Kampus USM

Minden : Universiti Sains Malaysia, IPT berstatus APEX pertama di Malaysia dan Asia Tenggara, bakal mengorak satu lagi langkah gemilang apabila Parlimen Mahasiswa yang diuar-uarkan sejak setahun yang lalu akan mula bersidang secara tidak rasmi pada 25hb September ini.


Bakal bersidang di Dewan Persidangan Universiti, sesi percubaan ini akan membabitkan 39 orang wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar USM dan 19 orang wakil daripada persatuan-persatuan dan kelab dari ketiga-tiga kampus USM.


Menurut sumber yang dipetik daripada weblog USM Daily, persidangan julung-julung kali ini akan bermula pada jam 8.30 pagi dan dijangkakan berakhir pada sebelah petangnya di mana semua perwakilan akan membahaskan usul-usul yang diterima daripada kalangan siswa-siswi USM sendiri.


Proses mengumpul usul juga sedang giat dijalankan ketika ini di mana wakil-wakil daripada MPP telah menguar-urakannya di laman sosial masing-masing. Setiap pelajar digalakkan membuat usul berdasarkan isu-isu semasa sebelum dikumpulkan oleh MPP untuk dibentangkan kelak.


Dalam pada itu, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP) USM yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan Parlimen Mahasiswa ini juga memaklumkan seramai 40 orang pelajar USM yang mendaftarkan diri mereka sebagai pemerhati akan turut serta dalam persidangan percubaan tersebut.


Selamat Menyambut Pesta Bulan


The Mid Autumn Festival – atau juga dikenali sebagai Pesta Bulan merupakan acara yang dianjurkan pada hari ke-15 bagi bulan kelapan dalam Kalendar China biasanya antara bulan September atau awal bulan Oktober dalam Kalendar Masihi. Ia bersamaan kedudukan musim luruh dalam kalendar matahari di mana ketika ini terjadi bulan penuh. Pesta ini merupakan salah satu daripada perayaan utama di dalam Kalendar Cina di samping dan merupakan cuti umum di beberapa buah negara. Ini kerana bagi petani, mereka juga menyambut berakhirnya musim panas iaitu musi menuai pada tarikh tersebut.

Secara tradisi, pesta ini disambut dengan ahli keluarga Cina dan rakan serta taulan akan berkumpul untuk menyambut Mid-Autumn Harvest Moon dan makan Kuih Bulan di bawah bulan yang penuh bersama. Untuk makluman, makanan tradisi utama bagi pesta ini adalah Kuih Bulan di samping pelbagai jenis kuih tradisional lain lagi. Kami di blog PM-UKM bersama-sama MPP Mahasiswa dan kepimpinan GMUKM mengucapkan selamat menyambut Mid-Autumn Festival.

Selasa, September 21, 2010

MPP gesa kaji semula potong gaji untuk bayar PTPTN


MPP Mahasiswa UKM melihat cadangan Perbadangan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) melaksanakan pemotongan gaji secara wajib ke atas peminjam wajar dikaji semula dan dijadikan alternatif terakhir.

MPP Nasiha binti Omar ketika dihubungi Wartawan PM-UKM berkata, " Kita (mahasiswa) sememangnya perlukan (banyak) duit. PTPTN tawarkan sejak 13 tahun lalu. Tapi sampai sekarang masih gagal sediakan mekanisme yang efektif dan efisen (untuk mengutip kembali pinjaman) ? Kenapa tidak fikirkan mekanisme yang lebih fleksibel, (seperti) bentuk pinjaman boleh ubah atau pinjaman tersebut boleh ditukar-tanggung kepada majikan tempat peminjam bekerja ?

MPP Nasiha dalam pada itu mengakui pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai prasarana termasuk dalam bidang pendidikan hari ini tetapi pada pandangan beliau, pihak kerajaan sepatutnya menyempurnakan tanggungjawab mereka dengan menyediakan sumber kewangan pendidikan seperti biasiswa-biasiswa atau sekurang-kurangnya pinjaman-boleh-ubah yang luas ditawarkan agensi-agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kepada rakyat memandangkan kerajaan saban tahun mengutip bermacam-macam cukai daripada rakyat.

Isu ini turut mendapat respon saudari Farih Najihah yang juga MPP Fakulti Perubatan.

"Isu peminjam liat membayar balik pinjaman PTPTN memang sudah lama (berlaku). Ia bukan isu baru, (malah) isu basi yang sepatutnya telah selesai. Sejak ditubuhkan lama dahulu, saban tahun tidak habis-habis isu ini."

"Kita akui apa yang kerajaan sediakan hari ini, (tetapi) kerajaan tolong fikirkan idea baru (Atau) sekurang-kurangnya dengar dulu pandangan kami mahasiswa (berkenaan isu PTPTN ini) sebelum putuskan apa-apa. Kami (mahasiswa ) hari ini belum bekerja lagi awal-awal lagi sudah dipaksa berhutang. Sekarang, hendak dipotong pula duit gaji yang diterima," ujar MPP Farih lagi.

Untuk makluman, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melaksanakan pemotongan gaji secara wajib bagi mendapatkan semula pinjaman daripada peminjam yang gagal berbuat demikian mulai Jun tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, mulai Jun tahun depan, semua peminjam terutama lebih 46,000 peminjam yang liat membayarnya, diwajibkan membayar balik pinjaman itu secara potongan gaji melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ismail yang mula memegang jawatan sebagai Pengerusi PTPTN bermula 1 September lepas berkata, pelaksanaan itu akan membabitkan pindaan Akta PTPTN 1997.

Katanya cadangan bagi meminda undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan.

Isnin, September 20, 2010

MPP Alia : Pendaftaran Awal Kursus 11 Oktober

Cheras, 20 Sept - Kehangatan sambutan Hari Raya Aidil Fitri masih lagi terasa biarpun kini sudah masuk hari 10 Syawal. Saudari Alia Suzana yang juga MPP Umum Mahasiswa yang dihubungi pihak Wartawan PM-UKM turut melahirkan kegembiraan dan kesyukuran kepada Ilahi kerana berjaya menempuhi Ramadhan sebaik-baiknya.

" Biarpun agak terlewat, saya masih ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Minal 'aidin wal faizin.Pohon dimaafkan salah dan silap saya buat semua mahasiswa UKM sama ada di Kampus Kuala Lumpur, Cheras dan Bangi. "

" Saya berharap semua rakan (mahasiswa) yang baru pulang dari bercuti akan terus bersemangat selepas (bercuti) hampir dua minggu di kampung halaman. Jangan lupa, kita masih ada (misi yang) perlu kita selesaikan (sebagai mahasiswa) iaitu mencapai keputusan yang cemerlang (di) dalam peperiksaan." ujar MPP Alia yang rancak berbual ketika dihubungi.

Dalam pada itu, sebagai makluman awal MPP Alia Suzana turut mengingatkan pengumuman terbaru daripada Bahagian Pengurusan Akademik Pelajar Prasiswazah berkenaan Pendaftaran Awal Kursus Semester 2 Sesi 2010-2011.

" Saya baru mendapat informasi daripada (Bahagian) Pengurusan Akademik Prasiswazah (bahawa) Pendaftaran Awal (Kursus Semester 2 Sesi Akademik 2010-2011) akan dibuka mulai 11 sehingga 24 Oktober 2010 iaitu selama 2 minggu melalui SMP Web."

"Pendaftaran awal adalah diwajibkan kepada semua pelajar UKM program prasiswazah kecuali mahasiswa Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian di mana akan ada pendaftaran secara berasingan. Diingatkan pendaftaran kursus ini (bertujuan) membuat jangkaan (mengenalpasti) jumlah mahasiswa yang ingin mengambil subjek-subjek (sesi hadapan). Maka proses pendaftaran awal ini amat penting kepada semua (pihak). " tambah MPP Alia lagi.

Untuk makluman, sekiranya rakan-rakan mahasiswa gagal membuat Pendaftaran Awal dalam tempoh yang ditetapkan,ia bakal menyebabkan bayaran PTPTN akan ditahan dan denda sebanyak RM 15.00 dikenakan. Mana-mana yang tidak membuat Pendaftaran Awal pula hanya dibenarkan membuat Pendaftaran Kursus Semester 2 Sesi Akademik 2010-2011 pada 20 Disember 2010 iaitu hari pertama pengajian bagi Semester 2 Tahun 2010-2011.

Semakan keputusan pemilihan Pendaftaran Awal kursus boleh dilakukan mulai 15 November 2010. Namun perlu diingatkan bahawa pendaftaran sebenar dan jumlah kredit yang dibenar diambil untuk kursus Semester 2 Sesi Akademik 2010-2011 adalah tertakluk kepada keputusan peperiksaan semester sebelumnya.

Sabtu, September 18, 2010

Selamat kembali ke kampus!

Kuala Lumpur, 18 Sept - MPP Mahasiswa UKM menjangkakan para mahasiswa kini dalam perjalanan kembali ke UKM sesudah bercuti sempena hari raya Aidil Fitri yang lalu. Saudara Oo Yong Koh Beng,23 tahun yang juga MPP Fakulti Undang-Undang ketika ditemui wartawan MPP Mahasiswa mengucapkan selamat jalan dan kembali ke kampus UKM dan mengingatkan mahasiswa supaya berhat-hati semasa di perjalanan.

Namun dalam pada itu, Koh Beng turut bimbang dengan kadar statistik Ops Sikap ke-22 itu telah merekodkan 869 kemalangan iaitu jumlah tertinggi dilaporkan di jalan bandaran dengan 384 kemalangan, 235 di jalan persekutuan, 131 di jalan negeri, 79 di lebuh raya dan 40 di lain-lain jalan. Sebanyak 10,556 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya. Untuk rekod juga Ops Sikap ke-22 kali ini sempena sambutan Aidil Fitri 1431H bakal berakhir hari ini.

" Tan Sri TPM (Muhyiddin Yasin) telah mengingatkan bahawa negara kita kerugian hampir 9 billion ringgit sehingga kini dengan kemalangan di atas jalan raya saban tahun. Betapa ruginya negara kita kehilangan nilai produktiviti yang sangat-sangat bernilai ini," ujar MPP Koh Beng.

" Memang kemalangan tidak berbau. Tetapi sebagai persiapan, kita boleh mengurangkan (risiko) dengan langkah-langkah pencegahan. Berbagai-bagai tips dan petua (telah) daripada pihak berkuasa. Amat penting untuk kita ikuti (tips-tips tersebut)." tambah Koh Beng lagi.

Untuk makluman, mahasiswa UKM akan memulakan kembali pengajian hari Isnin ini, 20 September 2010. Peperiksaan akhir pula berlangsung dari 25 Oktober sehingga 14 November 2010. MPP Mahasiswa UKM mengucapkan selamat kembali ke kampus dan meneruskan perjuangan di medan ilmu.

Khamis, September 16, 2010

Selamat Hari Malaysia












Sumber : Blog GMUKM


Selamat menyambut Hari Malaysia.

Hari ini adalah hari yang istimewa buat kita semua. Gagasan Malaysia menjadi harapan untuk membawa warganegara Malaysia dari utara, selatan, timur dan barat Malaysia seterusnya merentasi Laut China Selatan ke negeri Sabah dan Sarawak demi menuju perpaduan yang lebih erat dengan perkongsian yang lebih adil hendaknya. 16hb September 1963, Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak serta Singapura ketika itu secara rasminya digabung dan membentuk negara berdaulat Malaysia.

Hari Malaysia memberikan satu makna yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia kerana ia adalah satu hari untuk mengenang detik kebebasan rakyat daripada penjajahan British di samping merupakan titik permulaan kepada pentadbiran dan pembangunan Malaysia yang diketuai oleh pentadbir dari tanah air kita sendiri.

Menyelusuri sejarah penubuhan Malaysia, dengan penggabungan Sabah dan Sarawak dengan Malaya, rakyat di ketiga-tiga negeri dapat bersama-sama membina dan memajukan lagi negara Malaysia untuk kemajuan dan kebaikan bersama. Di samping itu, ia juga dapat menyeragamkan pembangunan di negeri Sabah dan Sarawak dari segi sosial, ekonomi, politik dan pendidikan rakyat kedua-dua buah negeri.

Suka atau tidak untuk diakui, kemasukan Sabah dan Sarawak ternyata membawa kesan yang bukan sedikit kepada kita. Hasil bumi serta alam semulajadi yang kaya-raya itu menjadi bonus kepada rakyat di Malaysia barat sini.Ironinya kini negeri-negeri tersebut kelihatan seolah-olah dinafikan hak mereka. Di satu sudut, ada pihak di Semenanjung yang berjuang mempertahankan kedudukan istimewa Bumiputera yang mereka anggap sebagai hak asasi dan dianggap tidak boleh dibincangkan sama sekali. Tetapi di satu sudut yang lain pula, para pejuang ini tidak mempedulikan kedudukan istimewa yang sama untuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Ketidakadilan yang dialami oleh rakyat dari negeri-negeri yang ditindas inilah membuatkan mereka bersikap acuh dan pesimis terhadap hasrat memperkukuh sebuah negara Persekutuan ini. Jelasnya kita tidak boleh menyalahkan mereka dan seharusnya berusaha menjana tenaga, fikiran serta terus beriltizam membasmi penindasan tersebut.

Jika ada di kalangan kita yang mahu Sabah dan Sarawak mengikis sikap 'parochial' dan kenegerian, kita di Semenanjung juga tidak boleh bersikap 'parochial' dan tidak lagi memandang rendah kepada kedua-dua negeri itu. Apabila semua pihak bersetuju untuk membuang sikap memperjuangkan satu kaum atau satu negeri dan akhirnya bersikap terbuka menerima pandangan orang lain, hanya pada saat itu kita akan benar-benar merdeka sebagai satu entiti yang bernama Malaysia.

Justeru di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) menyeru semua mahasiswa khususnya mahasiswa UKM yang berasal dari serata negeri di Malaysia supaya berganding bahu membentuk silaturahim yang hakiki dan tidak berkepentingan sama sekali. Pemimpin kita terdahulu mengagaskan penubuhan Malaysia bukan bertujuan mengisi tembolok masing-masing, justeru kita sebagai pewaris negara berdaulat ini seharusnya menjayakan lagi visi dan misi tersebut demi menggapai kejayaan yang lebih bermakna.

Selamat Hari Malaysia.

Dengan ingatan tulus ikhlas dari ;


Gabungan Mahasiswa
Universiti Kebangsaan Malaysia

Bangi. 16 September 2010.

Ahad, September 12, 2010

Mahu ubah kuasa, fahamkan anak muda - A.Samad Said

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Golongan muda perlu diberi faham tentang isu semasa terutama situasi politik kerana mereka sahaja yang boleh merubah bentuk kuasa politik negara, tegas Sasterawan Negara, Datuk (Dr) A. Samad Said.

Menurutnya, harapan tidak banyak boleh diletakkan kepada kalangan dewasa kerana mereka sudah bersikap dan selesa dengan keadaan itu seperti menjadi pengundi Umno atau bukan.

Sebaliknya, jelas beliau lagi, golongan muda merupakan faktor perubah kuasa negara kerana selain ramai, mereka masih belum mempunyai pegangan politik taksub seperti kalangan dewasa.

Pak Samad berkata demikian ketika menjadi panelis forum bertajuk Persoalan Masa Depan Umat Di tanganmu anjuran Teras Pengupayaan Melayu (Teras) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dekat sini kelmarin.

Turut menyertai forum sempena himpunan tahunan ke 13 Teras itu adalah Editor Majalah Sabili, Indonesia, Herry Nurdi dan Juara Akademi Nasyid 2009, Azhar Atan dengan Saudara Saidi sebagai moderator.

Hanya melalui undi di dalam pilihan raya sahaja boleh diubah kuasa dalam negara ini dan golongan muda adalah perubah yang mesti diberi faham.

Antaranya mereka perlu disedarkan, kenapa dalam lebih lima dekad negara merdeka dengan enam perdana menteri, enam timbalan perdana menteri dan kebanyakan menteri adalah Melayu, kenapa keadaan kita masih lagi perlu 'menjerit',” tegas Samad.

Tanpa merubah kuasa, tambahnya, tidak ada apa-apa perubahan yang boleh dilakukan dan dalam masa sama, tidak timbul masalah tidak mengenang budi pemerintah yang ada atau tidak mahu kepada kemajuan.

Tambahnya, apa lagi yang boleh diharapkan kepada mereka yang sudah menghilangkan ekuiti Melayu daripada RM50 bilion kini hanya tinggal sekitar RM2 bilion sahaja?

Sebelum itu, Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid telah menyampaikan ucaptama bertajuk Saatnya Generasi Pewaris Bangsa Bersiap Memimpin Kebangkitan Ummah yang telah menggaris agenda bertindak yang perlu disegerakan.

Cikgu Azmi menyatakan negara kini sedang dipacu ke arah pembangunan berasaskan kreteria pertumbuhan ekonomi bukan kepada kualiti keinsanan di mana kemajuan sasaran diukur dengan tahap pendapatan bukan pengkayaan fikiran dan budaya.

Pencapaian yang dikejar adalah projek berskala mega buka berhemat dan sederhana dalam membangunkan keperluan asas rakyat, tranformasi yang diwar-warkan adalah untuk menyertai persaingan global bukan untuk mengukuhkan tradisi bukan keupayaan diri sendiri sesuai dengan sosio budaya.

“Prasarana kesihatan dibangunkan lebih terdorong untuk menjadikan negara hub pelancongan perubatan bukan untuk mendahulukan kesihatan asasi rakyat.


Kini riuh rendah dengan projek super mewah dari gedung 100 tingkat kepada hub hiburan malam. Padahal sudah dijeritkan berkali-kali, ada rakyat tidak cukup makan, ada tidak mampu sekolahkan anak, keluarga tinggal di bawah jambatan dan ada kampung bakal dilenyapkan atas nama pembangunan,” tegasnya.

Justeru, beliau mengemukakan pembinaan khairo ummah seperti dasar pegangan hidup kukuh berpaksi soal pengabdian kepada Allah, asas nilai rohani dan keutuhan akhlak, kemajuan dalam meningkatkan taraf hidup mesti memelihara agama, akal, nyawa, harta dan akhlak serta pembangunan dalam apa bentuk mesti berkonsepkan insan sebagai penjaga amanah alam dengan segala sumbernya.

Rabu, September 08, 2010

Perutusan Bersama Aidilfitri 1430 H


PERUTUSAN BERSAMA AIDILFITRI 1430H
MPP MAHASISWA & MT GABUNGAN MAHASISWA UKM


بسم الله الرحمن الرحيم

لله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه

Pertama dan selamanya, marilah kita panjatkan rasa syukur kepada Allah S.W.T yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat kembali kepada fitrah setelah melalui fasa tarbiyyah di bulan Ramadhan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Penyelamat Ummah, Rasulullah S.A.W yang telah menyempurnakan misi da’wah ke atas manusia agar kembali kepada fitrah mereka.

Rakan-rakan mahasiswa sekalian,

Sesungguhnya kita telah melalui fasa tarbiyyah tahunan di bulan Ramadhan yang disebut-sebut sebagai penghulu segala bulan. Selama tiga puluh (30) hari hidup ini menyaksikan pertarungan sengit antara diri yang menuntut fitrah suci dan nafsu yang menuntut agar hidup seolah tidak bertuhan. Kita percaya ramai di kalangan kita bersungguh untuk menjayakan tarbiyyah ini, namun seharusnya rasa kehambaan ini tidak bermusim. Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W;

"اتق الله حيث ما كنت"

Maksudnya: Bertaqwalah kamu di mana sahaja kamu berada.


Rakan-rakan mahasiswa sekalian,

Ingin dipesani, bukti kejayaan tarbiyyah Ramadhaniyyah yang telah dilalui, kita tidak akan menjadi golongan Ramadhaniy yang hanya merasa dirinya hamba ketika di bulan Ramadhan sahaja. Namun malangnya selepas berlalu bulan itu, rasa hamba tersebut hilang dan kembali menjadi manusia yang lupa Penciptanya. Jadilah kita antara golongan yang komited terhadap cara hidup Islam, disebut sebagai golongan Rabbaniy. Dengan semangat berkhidmat untuk agama tidak bermusim, bahkan hidup sebagai hamba perlu diatur persembahannya untuk Allah S.W.T agar hari ini lebih baik dari hari semalam.

Jika dahulu Allah menurunkan wahyu kepada para nabi dan rasul demi peringatan untuk manusia terhadap dosa noda yang telah mereka lakukan, namun setelah ketiadaan para utusan Allah, adakah mesej peringatan tersebut terus terhenti? Umum mengetahui kini ummat manusia menghadapi pelbagai bala bencana. Sebagai tanda soal buat kita, adakah itu bukan mesej peringatan dari Allah? Pelbagai penyakit diturunkan sebagai contoh mudah, bukankah itu ‘bahasa’ Allah untuk mengingatkan kita betapa jauh kedudukan manusia umumnya dan orang-orang Islam khususnya dari kehidupan Rabbaniy acuan Nabi? Kita percaya semua di kalangan kita tahu erti bala di dalam Islam. Ia bukan sekadar bencana alam atau rencatan sistem kehidupan , sebaliknya ia adalah peringatan dari Allah atas perilaku manusia. Semakin jauh manusia dari cara hidup ajaran agama, semakin berat misi perjuangan yang perlu dipikul.

Sahabat seperjuangan GMUKM sekalian,

Apabila disebut tanggungjawab perjuangan, ia merupakan topik serius yang memerlukan perhatian yang serius kita bersama. Imam Hasan al-Banna menyebutkan di dalam karangan-karangan beliau, sesungguhnya hidup ini sifatnya berkorban bukan hanya menadah tangan dan berserah nasib. Itulah sifat pejuang dan penda’wah yang menjulang panji ketuanan agama. Mereka mempunyai daya tahan dan jati diri yang tinggi, bersedia untuk berdikari dan memberi.

Dalam pada itu golongan penda’wah juga disebut sebagai ejen penyatu ummat berdasarkan firman Allah;
“واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا واذكروا نعمة الله عليكم إذ كنتم أعدآء فألف بين قلوبكم”
(Surah Ali Imran 103)

Maksudnya : Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan jangan berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (di zaman jahiliyyah) berpecah belah, kemudian Allah satukan hati-hati kamu.

Sesungguhnya penyatuan hati hanya dapat dicapai dengan kesungguhan kita berpegang sepenuhnya dengan ajaran agama yang sebenar. Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) dari awal penubuhannya, sehingga kini dan dengan izin-Nya akan selamanya berusaha membawa arus gelombang mahasiswa-mahasiswi dengan acuan Islam.

Namun diingatkan bukanlah apabila dikatakan kita inginkan membawa acuan Islam, maka semua mahasiswa akan terus dipaksa menerima Islam sepenuhnya. Ingin ditekankan di sini Islam menganjurkan manusia saling bertolak ansur dan bekerjasama di samping tidak tergesa-gesa melakukan perubahan. Setiap isu di kampus atau peringkat nasional boleh kita perhalusi untuk dibincangkan. Justeru Gabungan Mahasiswa UKM mengambil sikap terbuka dalam menerima sebarang komen dan cadangan penambahbaikan daripada mana-mana pihak.

GMUKM bukanlah seperti yang digembar-gembur oleh sesetengah pihak bahawa hanya dimonopoli mahasiswa Melayu Islam, tetapi kita turut mempunyai ‘front’ bagi bukan Islam yang menuntut mahasiswa-mahasiswa bukan Islam untuk sama-sama kita memperjuangkan isu kebajikan mahasiswa kampus UKM seperti DEMA dan JKMI yang pernah suatu masa dahulu turut menggemilangkan Gabungan Mahasiswa.

Sungguhpun pelbagai tribulasi yang telah dilalui, kini kita tetap masih mampu melangkah ke hadapan membawa agenda kebajikan sejagat dengan gemblengan tenaga baru seperti daripada Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN), Membina Mahasiswa Penggerak Ummah (MAMPU), Kumpulan Aktivis Independen (KAMI) dan Angkatan Siswi Dinamis (AKSIS). Ini membuktikan kesatuan hati kita guna untuk menyahut seruan Allah melalui ayat berikutnya;

"ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر"
(Ali Imran 104)

Maksudnya : Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan menegah dari yang mungkar.

Rakan-rakan mahasiswa UKM sekalian,

Samada mahu ataupun tidak mahu, kita perlu menyedari harapan ummat terhadap golongan terpelajar seperti kita amat tinggi. Masyarakat tidak mengharap agar kita membawa balik karung emas lambang kemegahan ataupun pakaian ilmu yang si pemakainya buruk akhlak. Sebaliknya apa yang diharapkan semata-mata agar kita mampu menjadi ejen perubah masyarakat supaya kembali kepada fitrah asal kejadian manusia yang bertuhan dan sedar diri bahawa dirinya hamba.

Teman-teman mahasiswa yang dikasihi sekalian,

Di musim ini, kita ditarbiyyah oleh Allah dalam keadaan senang. Ramadhan dihampar ketenangan beribadah, juadah berbuka yang mudah diperolehi dan pelbagai. Menyambut Syawal dengan debaran gembira dapat menyucikan diri kembali kepada fitrah.

Bandingkanlah antara nasib kita dan nasib saudara-saudara kita yang ditindas. Tanah air mereka diceroboh dan hidup mereka hancur disebabkan keghairahan penguasa dunia yang lagaknya seperti tuhan. Bumi tertindas Palestin, Chechnya, Afghanistan serta Gaza dan banyak lagi bumi umat Islam tertindas yang belum diperhati dunia. Jadikanlah memori hidup mereka sebagai memori hidup kita.

Tarbiyah Ramadhan mengajar kita untuk mengingati saudara-saudara kita di sana. Janganlah kita hanya sekadar ditarbiyah tetapi kesedaran itu masih belum timbul. Lakukanlah tindakan yang membuktiukan bahawa kita menyedari akan keadaan tersebut. Sebagai membuktikan kesungguhan, GMUKM dengan tanggungjawab kebajikan atas nama Islam sehingga kini meneruskan usaha membantu mereka semampu mungkin. tulah kekuatan yang ada hasil daripada kesatuan hati yang kita pupuk selama ini.

Ber-GM Lebih Baik! Semoga slogan ini akan terus kita jayakan di setiap peringkat kerana kita adalah GMUKM. Tiada yang mustahil untuk kita capai sekiranya kita bersatu mengembleng tenaga. Sempena hari lebaran ini sama-samalah kita mengenang nasib ummat Islam yang tertindas, moga-moga dengan kesedaran tersebut meledakkan semangat kita agar terus istiqamah dalam jalan da’wah ini demi melihat kalimah LAILAHAILLAH tertegak dan dijulang tinggi.


Salam Syawal 1431H,

Siru ala barakatillah…


Perutusan Bersama MT & MPP Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM)

Pengerusi GMUKM : Mohd Hafiz Bin Abd. Razak
Presiden MAMPU : Ahmad Firdaus Bin Ahmad Azam
Presiden KAMI : Muhammad Hilman Bin Idham
Presiden GMLN : Mohd Fadhlan Bin Sugiman
Presiden AKSIS : Nabilah Binti Mohd Maiyidin

MPP Umum -
Muhamad Faiz b Ismail
Muhammad Syafiq b Abdul Aziz
Nabilah bt Mohamad Maiyidin
Alia Suzana bt Asri

MPP Fakulti -
FUU : Ou Yong Koh Beng
FFar : Mariah bt Zakaria
FPer 1/2 : Nasiha bt Omar
FPer 3/4/5 : Farih Najihah bt Hashim
FPI 1/2 : Mohd Zaim Juwaidi b Jamaluddin
FPI 3 : Nik Ahmad Syafie b Raja Daud
FPend 1/2 : Wan Ahmad Fahmi b Wan Abdul Hamid
FPend 3/4 : Khairul Anuar b Mat Lazim
FKAB 3/4 : Sarzliana bt Soaidin
FSKB 3/4 : Nur Ili bt Mohamad Tarmizi

Selasa, September 07, 2010

Al-Fatihah


Dukacita dimaklumkan bahawa En. Mohamad Mustafa Mokhtar, Timbalan Pendaftar JPPel UKM telah kembali ke Rahmatullah jam 6.30 pagi ini, 7 September 2010 (Selasa). Kepada warga UKM yang ingin menziarahi ahli keluarga Allahyarham, berikut adalah alamat kediaman, No.19, Jalan 2/2B, Seksyen 2, Bandar Baru Bangi.

Warga UKM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah.

Isnin, September 06, 2010

MPP Zaim : Jangan lupa sahkan masuk 'exam'

5 Sept - MPP Mohd Zaim berpesan kepada rakan-rakan mahasiswa UKM supaya mengambil hikmah dan mengadaptasikan 'modul ibadah' sepanjang bulan Ramadhan ke dalam kehidupan mahasiswa dalam 11 bulan yang seterusnya.

" Mari kita lihat 'modul-modul' yang telah disusun Allah seperti menahan nafsu dengan berpuasa serta mengerjakan qiyamulail (solat malam) di dalam bulan Ramadhan ini. Terdapa bermacam-macam ibadah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad (SAW) dan sahabat-sahabat dulu. (Ibadah ini) tidak saja-saja, (tapi) ada hikmah tersembunyi." ujar MPP Zaim yang ditemui Wartawan PM-UKM lewat petang semalam.

" Mari kita lihat ibadah tarawih itu sendiri. Kalau ikut logiknya, sudahlah penat seharian berpuasa, (ditambah) pula kita kena tarawih. Walaupun sunat, tapi Allah sengaja 'umpan' kita untuk banyakkan ibadah dengan ganjaran pahala berlipat kali ganda. Dan sengaja Allah 'offer' peluang ini hanya dalam bulan Ramadhan. Semua ini mengajar kita erti sebenar berpuasa itu. Bukan sekadar berlapar dahaga, tetapi berpuasa menuntut kita untuk meningkatkan amalan lagi."

" Harapan saya, di akhir-akhir Ramadhan ini, jangan kita sudahi ibadah puasa kita dengan biarkan ia lalu begitu saja. Nabi SAW, diriwayatkan para sahabat, begitu bersungguh-sungguh mengejar ganjaran di akhir Ramadhan ini, sehingga diceritakan meninggalkan terus tempat tidur Baginda (SAW). Lagi nak habis Ramadhan, lagi Baginda bersungguh-sungguh.." ujar beliau mengakhiri pertemuan.

MPP Sarzliana Soadin pula ketika dihubungi Wartawan PM-UKM pula menyampaikan salam kepada rakan-rakan mahasiswa kerana beliau baru sahaja menamatkan Latihan Industri. Beliau dalam nada yang sama, mengharapkan rakan-rakan mahasiswa sedar dan mampu menjadikan Ramadhan yang akan berlalu ini sebagai titik mula perubahan dalam diri.

" Puasa yang kita lalui sekarang, jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja. Walaupun sudah agak lambat, (tetapi) kita jangan tinggalkan terus. Isikan masa lapang, sesudah selesai membantu keluarga di kampung dengan membaca Al-Quran atau sekurang-kurangnya berzikir. Niatkan juga untuk membantu keluarga sempena raya ini, hanya kerana Dia (Allah). Sekurang-kurangnya itulah ibadah yang kita mampu buat dalam kesibukan menyambut raya ini. "

" Di kesempatan ini, saya selaku MPP Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina , Sarzliana bt Soaidin ingin mengucapkan selamat berpuasa, dan selamat menyambut hari raya Aidilfitri yang dijangka pada hari Jumaat nanti. Semoga puasa dan Ramadhan yang kita lalui kini, akan menjadikan kita termasuk dalam golongan bertaqwa sepertimana yang dijanjikan oleh Tuhan. "

" Juga diingatkan selepas kita kembali daripada cuti raya ini, kita hanya ada masa sebulan sahaja sebulan masuk 'exam'. Tidak banyak masa yang kita ada untuk belajar. Lagi satu, jangan lupa buat pengesahan masuk 'exam' bermula esok (6 September) sehingga 15 September." MPP Sarzliana mengingatkan rakan-rakan mahasiswa sebelum mengakhiri perbualan dengan Wartawan PM-UKM melalui telefon lewat malam tadi.