Khamis, Mac 01, 2012

PMUKM bersama JAKSA, PMF bincang isu kebajikan

29 Feb – Satu mesyuarat telah disusun oleh PMUKM di bawah portfolio Naib Presiden III (Kolej, Fakulti & Persatuan Anak Negeri) bersama-sama dengan JAKSA Kolej Kediaman dan wakil Persatuan Mahasiswa Fakulti (PMF) pada Rabu lalu.

Mesyuarat tersebut yang bermula kira-kira pukul 9.30 malam telah diadakan di Bilik Gerakan Hal Ehwal Pelajar UKM dan telah berjaya menghimpunkan hampir 20 orang wakil JAKSA dan PMF untuk bertukar-tukar pendapat dan perkembangan terkini di persatuan masing-masing


Secara keseluruhan kebanyakan kolej kediaman dan PMF bakal mengadakan aktiviti bersifat mega pada semester ini memandangkan kesesuaian masa yang ada.

Untuk rekod, antara aktiviti menarik di kolej-kolej yang bakal menanti warga UKM adalah seperti Festival Sanjungan Satria (FESSAT) anjuran Kolej Tun Husein Onn, Festival Kolej Aminuddin Baki (Feskab), Karnival Teknologi Kejuruteraan (KTK) anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan (PEMATRA) dan pelbagai lagi program menarik yang kini sudah siap disusun.

Mesyuarat yang dipengerusikan Naib Presiden III, saudara Faizal bin Ahmad turut membuka ruang kepada hadirin membangkitkan pelbagai masalah termasuk isu kebajikan di kolej kediaman dan fakulti masing-masing.

Kebanyakan isu yang diutarakan dijawab sendiri oleh Presiden PMUKM, saudara Ahmad Muzzammil bin Muhd Hairi bagi memberikan penjelasan dan terperinci berkaitan isu kebajikan.


Saudara Muzzammil turut menyentuh tentang peruntukan sumbangan yang disediakan oleh PMUKM sesi kali ini kepada setiap persatuan sama ada di fakulti mahupun kolej kediaman untuk menganjurkan sebarang program bermanfaat dan berteraskan keilmuan.

Peruntukan sebanyak RM 200 dan berbentuk barangan (sekiranya ada) telah lama diperuntukkan bagi mana-mana persatuan yang ingin menjalankan program, tetapi mungkin kurang diambil berat oleh wakil-wakil persatuan.

Isu air di kolej kediaman

Isu air yang menjadi krisis di UKM dua bulan yang lepas turut dibangkitkan dalam mesyuarat ini.

Untuk makluman, kebanyakan kolej kediaman di kampus UKM Bangi awal tahun ini mengalami masalah bekalan sehingga menjejaskan persiapan para pelajar yang menduduki peperiksaan akhir semester satu ketika itu.

Pihak PMUKM walaubagaimanapun pantas mengenengahkan isu tersebut sehingga mendapat maklum balas segera daripada pihak pembekal air.

"Kami di peringkat PMUKM akan cuba mengusahakan membawa isu-isu kebajikan yang masih lagi berbangkit ke peringkat atasan Universiti dan di peringkat luar.

"(Kita) Berterima kasih di atas pandangan dan idea yang diberikan (oleh wakil persatuan/JAKSA) kepada pihak kami untuk bersama-sama kita menyelesaikan masalah kebajikan di UKM," respon saudara Muzzammil.

Turut hadir bersama mesyuarat tersebut adalah Setiausaha Agung PMUKM, Mohd Ezuan bin Mohd Saad.




Pihak wakil JAKSA dan PMF yang ditemui mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi membuat pertemuan ini untuk membincangkan permasalahan yang timbul dan telah diselesaikan secara musyawarah di antara pemimpin tertinggi pelajar.

Pihak PMUKM dalam pada itu juga memohon maaf kepada JAKSA dan PMF sekiranya terdapat isu-isu yang masih belum diselesaikan lagi oleh pihak PMUKM dalam membawa agenda kebajikan mahasiswa.


“BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI”