Khamis, Mac 22, 2012

Pasaran kerja tahun 2012 dijangka lembab

KUALA LUMPUR 21 Mac - Prospek pasaran pekerja pada tahun ini dijangka lembab berikutan aktiviti ekonomi yang dijangka lebih perlahan.

Menurut Laporan Tahunan 2011, kadar pengangguran tahun ini dijangka meningkat kepada 3.2 peratus berbanding tahun lalu iaitu 3.1 peratus.

Kewujudan peluang pekerjaan akan lebih tertumpu kepada sektor dalam negara seperti perkhidmatan dan pembinaan kerana permintaannya dijangka kekal kukuh.


Bagaimanapun guna tenaga dalam sektor berorientasikan eksport mungkin terjejas akibat permintaan luar yang semakin lemah.


Pertumbuhan ekonomi tahun ini yang dijangka samar akan memberi kesan kepada keputusan firma terhadap kenaikan gaji dan pembayaran bonus.

Bagaimanapun, dasar gaji minimum yang akan dilaksanakan tahun ini sedikit sebanyak dapat membantu pekerja yang berpendapatan rendah , sementara Sistem Saraan Malaysia yang diperkenalkan akan membantu pendapatan sektor awam.

Menteri KPT nafi

Sebelum ini Menteri berkenaan, Datuk Seri Khaled Nordin menafikan dakwaan bahawa graduan Malaysia kurang daya kebolehpasaran.

Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun 2010, kira-kira 50.4 peratus atau 87,908 siswazah berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Ujarnya lagi, daripada 240,000 pelajar yang menamatkan pengajian setiap tahun, 24.6 peratus atau 42,995 siswazah gagal mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan.

Beliau menyalahkan keadaan itu disebabkan sikap memilih pekerjaan, bertukar-tukar pekerjaan dan ada di kalangan mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara.