Rabu, Oktober 26, 2011

Membina Kemahiran Membuat Keputusan

Kita sentiasa membuat keputusan dalam hidup. Keputusan yang dibuat kadangkala mendatangkan kesan positif dan kadangkala sebaliknya.

Perbincangan dan keputusan yang dibuat secara kolektif sering kali mendatangkan kesan yang baik pada kita dan orang lain. Justeru Islam menekankan supaya musyawarah dilakukan sebelum membuat sebarang keputusan. Dalam surah Ali-Imran ayat 159 AIah berfirman,

"Maafkanlah mereka, mohonlah keampunan bagi mereka serta bermusyawarahlah bersama mereka dalam urusan (duniawi). Selepas kamu membulatkan tekad bertawakallah kepada Allah..”

Keputusan yang baik adalah yang praktikal, berkesan dan mudah dilaksanakan. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya nabi jika diberi pilihan antara dua perkara akan memilih sesuatu yang lebih mudah selagi mana ia ia tidak membawa kepada dosa..”

Dalam membuat keputusan, pendapat majoriti tidak boleh diterima apabila ia bercanggah dengan dasar-dasar Al-Quran dan Sunnah.

Dalam surah al-An'am ayat 116, Allah berfirman, “Jika kamu menurut kehendak kebanyakan manusia di atas muka bumi mereka akan menyesatkan kamu."



James M. Higgins di dalam bukunya yang bertajuk 101 Creative Problem Solving Techniques berkata, “ Kemahiran menyelesaikan masalah secara kreatif adalah keperluan pada hari ini. Individu yang lebih inovatif dalam sesebuah organisasi biasanya lebih berjaya dan mampu berkembang." Antara teknik membuat keputusan dan menyelesaikan masalah yang boleh dilaksanakan, seperti yang dicadangkan oleh James M. Higgins adalah:

1. Camelot. Teknik ini menuntut individu menentukan objektif terbaik yang hendak dicapai, disusuli dengan perbincangan berhubung dengan kekuatan yang diperlukan bagi mencapai objektif itu.

2. Fishbone Diagram. Ia diasaskan oleh profesor Ishikawa dari Universiti Tokyo. Teknik ini menggunakan lakaran seperti tulang ikan bagi mengenal pasti masalah pokok yang dihadapi oleh pejabat ataupun institusi serta punca-punca yang menyumbang kepada masalah itu. Selepas semuanya dikenal pasti, perbincangan dibuat bagi menyelesaikan masalah itu.


3. Brainstorming. Ia diasaskan oleh Olex Osbom dari syarikat Batten, Barton, Durstine and Osborn. Dalam sesi brainstorming, setiap ahli mesyuarat diminta memberikan pandangan berhubung dengan masalah yang ingin diselesaikan secara terbuka tanpa sekatan.

4. Scenario Writing. Ia adalah perbincangan kreatif berhubung dengan senario yang dijangkakan berlaku pada masa akan datang. Selepas senario itu dikenal pasti, perbincangan seterusnya difokuskan bagi menyusun strategi menghadapi senario itu.

5. Mind Mapping. Ia dipopularkan oleh Tony Buzan dari Methods Group di Englald. Teknik ini dapat gunakan oleh setiap individu dengan menulis masalah pokok dan mencabangkan masalah itu kepada masalah-masalah ranting seperti ranting-ranting pokok. Daripada peta itu, dapat dikenal pasti persamaan dan kaitan antara satu masalah dengan masalah lain.