Selasa, Oktober 18, 2011

BUKU : Falsafah Keilmuan & Pembangunan Tamadun Dunia

Falsafah & Keilmuan
Perkataan ‘falsafah’ berasal daripada bahasa Greek. Perkataan asalnya ialah philosophia yang merupakan gandingan dua perkataan- philo yang bermaksud suka/gemar dan Sophia yang bermaksud kebijaksanaan. Oleh sebab itu philosophia bermaksud cinta akan kebijaksanaan yang memaknakan falsafah adalah bermaksud yang sama.

Ahli falsafah suka akan kebijaksanaan. Oleh sebab budaya falsafah bermula di Greek, maka rujukan yang berkaitan dengan falsafah adalah bermula daripada sumber di Greek. 
Falsafah Greek banyak dipengaruhi pemikiran ahli falsafah terkenal mereka seperti Socrates, Plato dan Aristotle. Kebijaksanaan yang dicari oleh ahli falsafah boleh dikenalpasti dengan mengkaji dialog antara Socrates dengan para juri yang membicarakan kes tuduhan yang dibuat ke atasnya

Wahai orang-orang Athens, aku hormat dan sayang kepada kamu; tetapi harus mematuhi Tuhan, bukan kamu. Dan ketika aku ada nyawa dan kekuatana aku tidak akan berhenti daripada mengamalkan ajaran dan mengajar falsafah, menggalakkan sesiapa jua yang aku temui dan berkata kepadanya dengan caraku; Kamu, kawanku – seorang rakyat Bandar yang hebat dan pintar Athens, tidakkah kamu rasa malu mengumpulkan begitu banyak wang, pangkat dan nama – dan tidak pedulikan kebijaksanaan dan kebenaran dan membaiki rohani kamu yang tidak pernah pedulikan atau ambil perhatian langsung ..?

Sejarah Pembangunan Dunia
Negara-negara Eropah dan Barat kini merupakan negara-negara yang maju dari sudut pembangunannya secara fizikalnya dan kini menjadi model bagi pembangunan negara-negara lain di dunia.

Pada suatu ketika dahulu negara-negara tersebut merupakan negara-negara yang mundur. Zaman kemunduran negara-negara Barat ini dikenali sebagai Zaman Medieval atau Dark Ages yang maksud literalnya ialah Zaman Pertengahan.

Kemunduran Zaman Pertengahan dapat dilihat menerusi perkataan medieval itu sendiri yang dikaitkan dengan kemudunduran dan kegelapan. Zaman Pertengahan di Eropah bermula dengan kejatuhan Empayar Rom Barat pada tahun 400 dan berakhir sekitar tahun 1500.

Sekitar tahun 400, suku kaum Jerman yang dikenali sebagai Barbarians telah menyerang tanah jajahan Rom. Pada ketika itu Empayar Rom kehilangan banyak kuasa dan tidak mampu lagi untuk menentang pencerobohan.

Suku-suku kaum yang menceroboh tanah jajahan Empayar Rom seperti Visigoth, Angles, Jutes, Saxons, Ostgogoths dan lain-lain membahagi-bahagikan Empayar Rom kepada beberapa kerajaan kecil. Banyak peraturan dan undang-undang Rom sebelum itu telah dimusnahkan oleh suku-suku kaum tersebut. Maka pada zaman tersebut secara ringkasnya ia digelar Dark Ages (Zaman Gelap)

Empayar Islam – Pengaruh Terhadap Pembangunan Barat
Ketika Eropah berada di Zaman Gelap, Sepanyol yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Islam sekitar tahun 711 – 1492 berada di zaman kemuncaknya. Sepanyol ketika itu mengalami pembangunan yang pesat dalam pelbagai bidang temasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan, peradangan, seni dan sastera di samping negara yang toleran dan berdiplomasi berbanding dengan keadaan negara-negara Eropah lain ketika itu.

Di dalam sebuah buku karangan James Burkse (1985:85) bertajuk ‘The Day When Universe Changed’, beliau menggambarkan bagaimana orang-orang Bandar di Eropah hidup sebagai; 

Penduduk Bandar membuang semua sampah mereka ke dalam longkang di tengah-tengah jalan yang sempit. Bau busuknya terlalu kuat, walaupun ia tidak dilihat. Tikar yang digunakan untuk menutup lantai mereka yang kotor bercampur baur dengan tahi dan air kencing.

Pada masa yang sama, Sepanyol yang merupakan sebuah negara Eropah yang mempunyai rupa bumi dan iklim yang serupa dengan negara-negara Eropah yang lain, sejahtera diperintah oleh kerajaan Islam. Hanya setelah 200 tahun diperintah oleh orang-orang Islam, Andalusia telah berubah menjadi pusat budaya, perdagangan dan pelancongan. 

Kecanggihan Teknologi Negara Islam Sepanyol
Sistem pengairannya yang ditiru daripada Syria dan negara Arab telah menukar wajah tanah yang kering kontang menjadi lading zaitun dan gandum. Orang-orang Islam telah membawa bersama mereka limau, lemon, terung, pisang, kapas, beras dan peach (Burkes, 1985:37).

Pada awal kurun ke Sembilan, negara Sepanyol merupakan permata Eropah dengan ibu negaranya Cordova dan menjadi pusat intelektual Eropah.

Pada masa yang sama dan kota London ketika itu adalah sebuah perkampungan kecil dan rumah-rumah mereka dibina daripada tanah liat (Digest, 1973:622).

Cordova ketika itu telah mempunyai penduduk seramai setengah juta orang yang menghuni 113,000 buah rumah. Di Cordova pada ketika itu terdapat 700 buah masjud dan 300 buah bilik mandi awam di pusat bandar dan sekitarnya. Jalan-jalan bandar telah diturap dan berlampu (Burkse,1985:38)

Rumah-rumah mereka mempunyai anjung yang dibuat daripada batu marmar untuk musim panas dan lubang udara panas untuk musim sejuk. Rumah-rumah mereka dihiasi dengan taman-taman dengan pancutan air dan dusun buah-buahan (Digest, 1973:622)

Kertas, bahan yang tidak diketahui Barat terdapat di merata-rata tempat. Terdapat kedai-kedai buku dan lebih daripada 70 buah perpustakaan (Burkse, 1985:38).

Keintelektualan & Budaya Keilmuan
Pada akhir alaf yang pertama, Cordova merupakan ‘telaga’ intelektual di mana orang-orang Eropah datang untuk ‘minum’. Pelajar-pelajar daripada England dan Perancis datang untuk belajar daripada sarjana Muslim, Kristian dan Yahudi untuk belajar ilmu falsafah, sains dan perubatan (Digest, 1973:622)

Di perpustakaan Besar Cordova terdapat lebih kurang 600 ribu manuskrip (Burkes, 1978:122) Masyarakat Andalusia pula bersikap toleran terhadap penganut agama lain kerana sikap ini adalah daripada ajaran Islam. “ribuan orang-orang Yahudi dan Kristian hidup dalam keadaan amaan dan harmoni dengan orang-orang Islam yang merupakan pihak yang memerintah” (Burkse, 1985:38)

Dalam konteks ekonomi pula, kemakmuran mereka tiada bandingan dengan negara-negara lain untuk ratusan tahun lamanya. Para bangsawan mereka menggalakkan pemilikan tanah persendirian dan menggalakkan orang-orang Yahudi untuk mewujudkan bank. Hanya sedikit atau tiada langsung paksaan untuk menganut agama Islam.

Selain daripada itu, muncul bandar-bandar setelit dan juga universiti-universiti yang berjaya menarik ramai pendeta Eropah datang untuk menuntut ilmu. Pelajar-pelajar Eropah ini menyebarkan ilmu yang dituntut di negara Sepanyol ke bahagian lain Eropah. Mereka datang ke Sepanyol untuk menuntut ilmu university-universiti teruatamanya dalam bidang matematik, astronomi, astrologi dan perubatan (Haskin, 1960).

Paul Kennedy dalam bukunya ‘The Rise And Fall Of The Great Power (1988:12) mengatakan bahawa orang-orang Islam telah mendahului Barat sebelum tahun 1500.

*Artikel tersebut dipetik daripada buku Falsafah Pembangunan oleh PM Dr Mohd Arif Kasmo
Empayar Ottoman merupakan lebih daripada daripada jentera ketenteraan. Ia bukan sahaja sebagai penakluk, kerajaan Ottoman telah mengasaskan kesatuan dalam agama rasmi, budaya dan bahasa di kawasan yang lebih luas daripada Empayar Rom, dan penduduknya lebih ramai. Berkurun sebelum tahun 1500, dunia Islam mendahului Barat dari segi budaya dan teknologi.

Bandar-bandar mereka adalah besar, dilengkapkan dengan lampu-lampu dan perparitan; ada di anatara bandar-bandar tersebut yang mempunyai universiti dan dan perpustakaan dan masjid-masjid yang indah menawan.

Dalam bidang matematik, kartografi, perubatan dan banyak aspek sains dan industry seperti kilang, pembuat senapang, rumah api, penternakan kud. Sitem perlantikan pengawal daripada pemuda-pemuda Kristian di Balkan melahirkan askar-askar yang berdedikasi. Toleransi terhadap bangsa-bangsa lain menyebabkan ramai orang Greek, Yahudi dan Kristian yang berbakat datang untuk berkhidmat kepada kerajaan.

Di bawah pemerintahan pemerintah seperti Suleiman I, satu birokrasi yang kuat telah menyelenggarkan 14 juta penduduk ketika Sepanyol mempunyai 5 juta penduduk dan England hanya mempunyai 2.5 juta penduduk.

Constantinople, pada zaman gemilangnya adalah lebih besar daripada mana-mana Bandar di Eropah dengan penduduk seramai 500 ribu orang pada tahun 1600 (Kennedy, 1988:12)

Kenyataan-kenyataan seperti itu menunjukkan bahawa Tamadun Islam pernah mengalami zaman gemilang dan sudah pasti tamadun yang gemilang tersebut mempunyai sistem pembangunan yang tersendiri.