Jumaat, Oktober 28, 2011

Karnival Ilmu Anak Muda '11 (KAMU'11) Raikan Anak Muda

Posted by MPM Aida Rahayu

Berlalu sudah program terbesar anjuran NGO mahasiswa islam iaitu Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS). Program 2 hari ini merangkumi pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk melahirkan anak muda yang berdaya saing dari segi keilmuan. Selaku Timbalan Pengerusi Penerangan GAMIS, saya bergerak secara langsung dalam Karnival Ilmu Anak Muda 2011 (KAMU'11)


SIDANG MAHASISWA
Cukup mengujakan apabila dalam Sidang Dewan Mahasiswa yang melibatkan Majlis Perwakilan Mahasiswa dari IPTA/IPTS seluruh Malaysia. 30 orang MPM dihimpunkan dalam sidang tersebut bagi membahas usul masing-masing. Speaker dewan adalah Saudara Ridzuan, mantan MPM Universiti Malaya mengemudi sidang dewan.


Usul yang dibangkitkan adalah mengenai isu negara dan mahasiswa sebagai contoh pemansuhan AUKU, Bajet 2012, PTPTN, PRU 13, Perpaduan Nasional, 'Good Governance' dan sebagainya. Perbahasan usul berakhir dengan resolusi dari setiap kampus mempamerkan perkongsian pendapat di kalangan anak muda dalam segenap aspek dan kepentingan umum sekaligus membuktikan mahasiswa mampu berfikiran kritikal mencorak masa depan negara.

Serentak dengan Sidang Dewan Mahasiswa, Sidang Gerakan Mahasiswa Islam turut diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) juga. Sidang ini juga menghimpunkan pendokong gerakan mahasiswa islam dari pelbagai kampus. Berkesinambungan dengan Sidang Gerakan Mahasiswa Islam ini, Simposium Dakwah Kampus (SIMDAK) diadakan pada keesokan harinya melibatkan pembentangan kertas kerja dakwah di kampus dan persoalan akidah.


BENGKEL PERSONALITI UNTUK WANITA
KAMU turut meraikan pelbagai lapisan masyarakat antaranya kaum wanita dengan Bengkel Personaliti Anggun menampilkan Saudari Muna Izzah dan Heliza Helmi mencuit hati dan mempamer pemakaian tudung mengikut syariat melalui demo yg diadakan.


Tamatnya bengkel anggun, KAMU membawakan kepada masyarakat 'Forum Syurga Cinta' menampilkan Ust Zaharuddin Abdul Rahman, Prof Dr Muhaya, dan Imam Muda Ashraf (Moderator). Sangat mendapat sambutan ramai! Soalan-soalan dari para penonton kebanyakannya meminta panduan dari panel untuk kahwin muda. Heliza Helmi tidak ketinggalan untuk mengikuti forum ini juga.


 
SUKAN 'STREET SOCCER' & KONSERT GEGAR ANAK MUDA
KAMU tidak mengenepikan golongan anak muda yang lazimnya minat bidang kesukanan. KAMU menghidangkan pertandingan 'Street Soccer' yang mendapat penglibatan dari 20 pasukan daripada pelbagai kawasan Negeri Selangor.


Kecaknaan anak muda terhadap isu-isu di Palestin juga diterapkan melalui slot bersama Ust Syed Norhisham (Mursyid Imam Muda) dan pelancaran tabung Palestin. Pada malam penutup, perasmian penutupan oleh Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor lalu diteruskan dengan Konsert Gegar Anak Muda yang dibintangi kumpulan Nowseeheart, Al-Farabi dan Amy Search.



PENUTUP
KARNIVAL ILMU ANAK MUDA 2011 (KAMU'11) ini menjadi bukti anak muda cintakan keintelektualan dalam menggarap masa depan Islam dan negara. Di samping HIMPUN merupakan sebahagian agenda KAMU'11, GAMIS menyokong HIMPUN kerana ia sebagai gambaran keprihatinan masyarakat terhadap isu akidah walaupun ia bukanlah sebagai penyelesai masalah akidah umat Islam Malaysia dengan hanya berhimpun selama 2 jam itu. 

Ini kerana anak mudalah bakal menjadi pemimpin yang dapat menggubal undang-undang enakmen akidah bagi membendung gejala murtad.

Anak muda amat berperanan dalam menjana rakyat ke arah masyarakat yang dinamik, berintegriti dan bersatu padu. Anak muda merupakan pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan. Anak muda hari ini juga merupakan gambaran negara pada masa hadapan.

Disediakan oleh,

Aida Rahayu Binti Mohd Badri
Pengerusi Biro Informasi & Penerangan
Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM)
merangkap
Timbalan Pengerusi Penerangan
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)