Selasa, September 06, 2011

MPM Idrul : Ayuh Cipta Sejarah UKM

Lumrah bagi seorang insan yang bercita-cita tinggi untuk melanjutkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada awam mahupun swasta. Rata-rata mengakui detik inilah merupakan saat-saat penting, yang bakal mencipta sejarah kehidupan mereka di masa akan datang.

Bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sesi pendaftaran pelajar baru bagi ambilan sesi 2011-2012 secara rasmi akan akan bermula pada 7 September 2011 (Rabu) nanti dengan seramai 2860 orang pelajar baru dijangka bakal mendaftar nanti. Di peringkat Biro Akademik & Keintelektualan, saya selaku Pengerusi Biro amat berharap mahasiswa yang berjaya terpilih untuk mendaftar nanti akan mengambil ruang dan peluang untuk rakan-rakan mahasiswa baru untuk bersama-sama mencipta sejarah kegemilangan dan kecemerlangan masing-masing di bumi varsiti tercinta ini.

TAFSIRAN KONSEP 'KEILMUAN'
Sedari dulu, mahasiswa mempunyai kedudukan yang tersendiri di sisi masyarakat ekoran mereka memiliki latar belakang pendidikan yang lebih baik di kalangan yang lain. Oleh hal demikian, mahasiswa-mahasiswi harus disedarkan bahawa pelajaran yang mereka kecapi di universiti harus digunapakai dan dimanfaatkan secara menyeluruh melalui penglibatan mereka bersama masyarakat di luar kelak.

Mahasiswa baru juga diharapkan tidak membuat tafsiran konsep ‘KEILMUAN’ di alam menara gading ini dengan hanya memahami konsep ilmu itu boleh didapati di dewan kuliah dan tutorial sahaja, akan tetapi komitmen dan insiatif mahasiswa perlu diperluaskan kepada konsep 'self-driven' yang mengkehendaki mereka mencari, menimba dan menggali sebanyak mungkin ilmu di universiti yang adakalanya lebih mudah diperoleh di luar dewan kuliah.

UBAH SIKAP YANG MERUGIKAN
Suka untuk saya ingatkan juga kepada semua mahasiwa supaya singkirkan segala sikap yang negatif, seperti sikap malas, suka ambil lewa dan suka bertangguh. Amalan ini jelas tidak sesuai untuk dipraktikkan di dalam budaya kerja di luar sana.

Sebaliknya, ayuh kita hayati keseronokan dalam kesulitan kita mengejar dan mengutip ilmu pengetahuan ketika alam kita ini yangbergelar seorang 'pelajar'. Segala-galanya bermula disini, dengan kenangan dan cabaran yang menuntut banyak pengorbanan dan kecekalan, sekaligus membentuk personaliti dan karektor diri yang positif.

Saya selaku Pengerusi Biro Akademik dan Intelektual rasanya belum terlambat untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada mahasiswa baru yang akan mendaftar bagi sesi akademik 2011-2012 ini.

Selamat menempuh alam baharu diucapkan kepada rakan-rakan mahasiswa baru semua ke pembukitan ilmu Universiti Kebangsaan Malaysia ini. Semoga kita bakal bersama-bersama mencipta seribu satu kenangan dan sejarah lagi di bumi UKM tercinta ini.


"Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti"


Mohamad Idrul bin Mohamad Daud
Pengerusi Biro Akademik & Keintelektualan
Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM)
Fakulti Perubatan Tahun 4