Jumaat, Mei 27, 2011

UKM Sediakan Sistem Amaran Awal Kawal Tanah Runtuh







Oleh : Siva Selvam



BANGI, 26 Mei, 2011 – Korban tanah runtuh di asrama anak-anak yatim di Hulu Langat petang Sabtu 21 Mei lalu mungkin bertambah kiranya tiada nasihat dari seorang pakar bencana geologi UKM menghentikan penggunaan jentera berat membersih kawasan itu waktu itu.



Pakar itu, Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin yang meninjau kedudukan bumi di atas bukit kawasan tragedi itu pagi Ahad berikutnya mendapati pihak berkuasa menggunakan jentera berat untuk membersih tanah runtuh dan serpihannya.



Beliau bergegas menasihati kerja-kerja itu diberhentikan serta merta kerana seperti gempa bumi yang disusuli ‘aftershocks’ kejadian tanah runtuh juga menghadapi kemungkinan ‘aftershock’ demikian lebih-lebih lagi bila menggunakan jentera berat.



Beliau berkata sudah ada tanda-tanda bahaya seperti pokok tumbang, pecahan di tanah dan resapan air dari tanah. Cerun bukit yang menjunam masih amat berbahaya dan pergerakan jentera berat boleh menyebabkan tanah runtuh lagi. Beliau telah memberi input kepakaran mengenai kejadian itu dan telah pun menyerahkan laporan menyeluruh mengenainya kepada kerajaan.



Dr Tajul Anuar adalah penyelaras Program Bencana Geologi di Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, UKM (SEADPRI) yang ditubuhkan pada 1hb Jun 2008 untuk menjalankan penyelidikan holistik berkaitan bencana alam.



SEADPRI juga bertujuan membantu kerajaan membuat keputusan mengenai dasarnya terhadap bencana iklim, bencana geologi dan bencana teknologi serta memperbanyakkan kepakaran dan kemampuan tenaga kerja di peringkat tempatan, negeri, kebangsaan dan antarabangsa khususnya di Asia Tenggara.



Beliau kini sedang menyediakan suatu sistem amaran awal tanah runtuh yang boleh mengesan pergerakan tanah di tanah cerun bukit.



Alat Geoseismic Wireless Extenso Sensor System, atau Geo-WES itu asalnya diujudkan oleh sebuah syarikat tempatan, Rapid Matrix Sdn Bhd. Oleh kerana ia tidak mempunyai kepakaran geologi, ia telah mengundang Dr Tajul Anuar menyertainya.



Dr Tajul Anuar berkata beberapa prototaip sistem amaran awal itu telah pun disediakan dan diuji di empat cerun antara Gerik dan Kuala Kangsar di Perak dan telah mengesan satu pergerakan tanah di tempat ujian itu.



Alat ini boleh memberi amaran awal kepada pusat-pusat memantau bila berlaku pergerakan tanah. Ia dapat mengesan pergerakan tanah walaupun hanya satu milimeter.



Pengetahun awal mengenai sesuatu pergerakan tanah membolehkan pusat memantau menghantar amaran awal melalui SMS kepada pihak berkuasa bersangkutan serta penduduk sekitarnya mengenai kemungkinan berlakunya tanah runtuh.



UKM sedang menyediakan memorandum persefahaman (MoU) dengan Rapid Matrix untuk menyediakan sistem itu yang boleh diguna di semua bentuk cerun bukit.



Prof. Tajul Anuar dan pakar-pakar lain dalam Program itu telah menyumbang kepakaran, nasihat dan perundingan kepada beberapa agensi kerajaan selain dari menasihati orang awam dan pemaju perumahan mengenai pemilihan tapak untuk binaan perumahan terutamanya bila hendak memilih tapak di cerun bukit. Syarikat-syarikat pembinaan kini sering mendapatkan khidmat nasihat mereka terutamanya mengenai pembangunan di tanah cerun bukit.



Beliau juga menerangkan bahawa di Malaysia, tumpuan mengenai bencana demikian diberi kepada usaha mengukur paras hujan, tetapi cara yang sebaiknya ialah untuk mengawasi pergerakan tanah yang benar-benar berlaku.



Kos membaikpulih kawasan dilanda tanah runtuh menjangkau lebih RM10 juta, tetapi sistem pengawas demikian hanya berharga lebih kurang RM100,000 saja.



Antara objektif Program Bencana Geologi SEADPRI ialah untuk menukar kaedah pengurusan bencana sekarang yang memberi tumpuan ke atas pendekatan tindak balas atau respons kepada usaha mencegah, menghalang atau mengurangkan bahaya akibat bencana demikian.



SEADPRI berpandangan perlunya diujudkan pengurusan menyeluruh (holistic) untuk menggantikan apa yang berlaku sekarang, iaitu respons secara ad hoc kepada sesuatu kecemasan. Program Bencana Geologi sedang menyediakan pelan pengurusan demikian itu.



Ia termasuk menganalisis tanah runtuh dari segi penaksiran risiko, elemen-elemen yang terlibat seperti komuniti dan infrastruktur dan bidang-bidang yang patut diberi keutamaan bagi mencegah pembaziran kos dan sumber.



Strategi mengurangkan kejadian tanah runtuh juga mengandungi, antara lain, dasar-dasar serta penubuhan pusat setempat di peringkat kerajaan tempatan untuk memproses permohonan pembangunan di cerun bukit. Pusat itu mesti melibatkan badan-badan teknikal kerajaan.



Strategi pengurangan berstruktur pula harus merangkumi pembinaan tembok penahan, mengenal dan mengendali aliran keruntuhan dan memberi tumpuan lebih kepada kesedaran orang awam. 



“Usaha pendidikan mesti bermula di peringkat sekolah. Media juga berperanan besar memberi penerangan kepada orang awam terhadap bahaya pembangunan di cerun bukit dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil,” tegas Dr Tajul Anuar.



Kajian menunjukkan bahawa antara tahun 1973 dan 2007, lebih daripada 200 tanah runtuh berlaku di Malaysia yang mengorbankan sehingga 500 nyawa dan kerugian hingga RM3 billion kepada ekonomi negara.