Sabtu, Mei 28, 2011

UKM NewsPortal : Malaysia Baiki Kedudukan Di Indeks Keamanan Dunia

Oleh Anis Yusal YusoffFelo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), UKM

New York, 28 Mei, 2011- Kedudukan Malaysia dalam senarai indeks keamanan global (Global Peace Index-GPI) telah meningkat kepada tempat ke19 tahun ini daripada nombor 22, tahun lalu.


Ini adalah peningkatan kedudukannya yang kelima berturut-turut sejak tahun 2007.

Suatu laporan Institute for Economics and Peace (IEP) yang menghasilkan GPI, menyebut Malaysia sebagai sebuah negara yang telah berjaya menguruskan keamanan dengan baik, mendahului Singapura sejak tahun 2010. Singapura berada di kedudukan 24 tahun ini, 5 tangga di bawah Malaysia.

Daripada segi skor, Malaysia berjaya mendapat 1.467 angka (mengikut skala 1 terbaik dan 5 terburuk)) manakala Singapura diberi angka 1.585. Negara tercorot di dunia yang dikaji adalah Somalia di kedudukan 153 dengan skor 3.379.

Laporan itu memuji Malaysia kerana daripada majoriti negara dunia yang semakin menurun dilihat dari segi keamanannya, Malaysia berjaya memperbaiki hubungannya dengan jiran serta menjaga kestabilan politik negara dengan lebih baik.

Senarai itu juga meletakkan Malaysia di tempat tertinggi dalam GPI, dikalangan negara-negara Asia Tenggara dan kedua tertinggi di Asia, di belakang Jepun.

Malaysia juga berada hanya satu anak tangga di bawah Australia yang menduduki tempat ke 18.

Laporan itu telah dibincangkan dalam satu panel diskusi mengenai Keamanan Dunia yang diadakan di Sekretariat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York Rabu kelmarin.

Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), UKM dan Anis Yusal Yusoff, Felo Utama, KITA hadir dalam perbincangan itu sebagai tetamu IEP.

Mereka juga telah berkongsi pengalaman Malaysia dalam menguruskan keamanan serta bagaimana projek KITA MESRA, suatu sistem amaran awal yang telah dibina di KITA dapat membantu memantau dan menjaga kesepaduan di kalangan rakyat Malaysia berdasarkan kertas kajian yang mereka tulis bersama dengan tajuk: "Managing Peace in Malaysia: a case study".

Kertas kajian kes itu akan diterbitkan oleh IEP sebagai bacaan tambahan kepada laporan GPI.