Jumaat, Mei 20, 2011

Laporan Lawatan Rasmi PMUKM Ke Jabatan Pentadbiran (Siri 3)


Rentetan daripada siri Lawatan Rasmi PMUKM ke 6 buah unit dan jabatan utama di UKM, jelajah PMUKM diteruskan lagi pada 13 Mei 2011 ke kampus Kuala Lumpur pada sebelah pagi dan Cheras pada sebelah petangnya. Lawatan rasmi ini diketuai sendiri oleh Presiden PMUKM, Ahmad Muzzammil Muhd Hairi bersama-sama beberapa MPP lain iaitu Saudara Mohammad Abdullah, Ezuan, Saudari Noraini dan Azidah dari kampus induk Bangi. Turut serta MPP dari kampus KL dan Cheras yang komited iaitu Saudara Idrul, Kamarul Hatem, Nurul Akma dan beberapa orang Setiausaha kerja (SUK) mereka.

Berpaksikan kepada matlamat yang sama seperti lawatan-lawatan ke jabatan pentadbiran sebelum ini, PMUKM berharap untuk membina hubungan kerjasama yang erat dengan pihak pentadbiran lebih-lebih lagi kampus KL dan Cheras yang berada jauh dengan kampus induk selain menekankan peranan PMUKM sebagai badan penghubung serta agen penyampai maklumat antara mahasiswa dengan pihak pentadbir. Selain itu, beberapa permasalahan serta persoalan berkaitan kepentingan mahasiswa telah dibangkitkan, antaranya:

Fakulti Sains Kesihatan (FSK)

Antara isu yang cuba dibangkitkan dalam pertemuan pada pagi tersebut bersama Dekan Fakulti Sains Kesihatan yang dahulunya dikenali sebagai Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu iaitu Prof Dr. Salmaan H Inayat-Hussain adalah mengenai keterlibatan pelajar dari kampus KL dengan aktiviti yang dianjurkan oleh UKM yang kebanyakannya diadakan di kampus induk Bangi. Seperti yang kita sering dengar, kerap timbul isu mengenai kampus KL dan Bangi tidak bersatu dan ada pelajar di kampus KL yang berasa seperti dianak tirikan. Malah ada kenyataan yang mengatakan bahawa PMUKM cuba memisahkan antara mahasiswa kampus Bangi dan KL. Namun, perkara ini telah dijawab oleh Dekan FSK sendiri bahawa sistem pembelajaran antara kampus Bangi dan KL adalah berbeza. Masa bagi pelajar kampus KL yang terlalu padat menyebabkan pelajar kurang aktif untuk terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan lebih-lebih lagi yang melibatkan mereka perlu datang ke kampus Bangi memandangkan faktor tempat yang jauh. 


Prof Salmaan sendiri mengakui bahawa waktu yang diperuntukkan antara kampus Bangi dan KL adalah tidak sama berdasarkan pengalaman beliau yang pernah bekerja di kedua-dua kampus. Seharusnya isu ini tidak timbul. Sedangkan pelajar-pelajar FSKB sendiri sudah terlalu sibuk dengan program di kolej. Itu sebabnya mereka tiada masa untuk melibatkan diri ke kampus Bangi. Namun, menurut Dekan, pihak FSKB tiada masalah untuk melepaskan pelajar-pelajar FSK untuk terlibat dengan Pesta Konvokesyen. Melalui aktiviti inilah, seharusnya para pelajar mengambil kesempatan untuk merapatkan hubungan antara kampus induk dengan kampus KL.

Namun, hasil perbincangan, telah dipersetujui bersama sekiranya diadakan satu program khidmat masyarakat secara besar-besaran yang melibatkan semua pelajar kampus UKM baik di Bangi, KL mahupun Cheras.

Selain itu, masalah yang timbul di FSK adalah masalah penyelarasan bahasa dalam kuliah sebagai contoh pembelajaran yang menggunakan bahasa Melayu tetapi di dalam peperiksaan menggunakan bahasa English. Persoalan ini dijawab oleh Prof. Dr Salmaan agar pelajar mengadakan perbincangan bersama penyelaras kursus. Tambahnya lagi, sekiranya subjek itu di dalam English, sepatutnya pengajarannya juga perlu dalam English. Hanya nota sahaja yang bergantung kepada pensyarah sama ada dalam English mahupun Bahasa Melayu.

Mengenai isu masalah kewangan dan kebajikan pelajar di kampus KL, pelajar boleh meminjam kepada tabung kebajikan. Pelajar kampus KL tidak perlu bersusah payah untuk ke Bangi bagi urusan kebajikan, tetapi menurut pembantu tadbir FSK, pada setiap hari rabu, unit kaunseling yang terletak di Bangi akan datang ke kampus KL. Oleh itu, sebarang masalah, pelajar-pelajar boleh berjumpa dengan unit kaunseling dan akan disampaikan kepada Pejabat Bendahari di kampus induk Bangi.

Selain itu, isu pointer dan exam juga turut disentuh memandangkan sering kedengaran bahawa pelajar-pelajar di kampus KL mengalami masalah pointer. Menurut Prof Dr Salmaan H Inayat-Hussain, isu ini merupakan isu yang bersifat secondary. Katanya, sesiapa yang terpilih ke UKM khususnya bagi pengkhususan di KL seperti kedoktoran, farmasi dan sebagainya merupakan pelajar yang sudah sedia bijak dan mendapat keputusan yang cemerlang sebelum melanjutkan pelajaran ke UKM. Masalah ini terjadi kerana sikap mereka yang tidak bersungguh-sungguh. Pihak Dekan FSK amat berharap agar PMUKM dapat memainkan peranan untuk memberi gambaran kepada pelajar-pelajar tentang tanggungjawab mereka untuk belajar lebih-lebih lagi bagi bidang yang kritikal di kampus KL.

Pusat Perubatan Kampus Cheras (HUKM)

Antara isu yang diketengahkan adalah mengenai yuran pelajar kos kecemasan. Menurut MPP Idrul, antara aduan pelajar kecemasan ialah ketika mereka menetap di KTSN, mereka hanya perlu membayar yuran sebanyak RM600. Namun, apabila mereka dipindahkan ke KTDI, yuran mereka bertambah menjadi RM900 sedangkan apabila diteliti, tiada penambahan subjek berlaku sewaktu di KTSN dan KTDI. Menurut Dekan Pusat Perubatan, Prof Dato' Dr Raymond Azman Ali, setakat ini, pihak pentadbiran tidak menerima sebarang aduan mengenai perkara ini. Namun, beliau akan memastikan masalah ini diteliti secepat mungkin.

Selain itu, isu GL iaitu Guarantee Letter yang perlu diambil di Pejabat akademik oleh pelajar yang sakit juga diutarakan. Antara cadangan yang diberi adalah dengan menggunakan sistem kad matrik seperti yang telah dilaksanakan di Kampus Bangi dan cadangan ini amat dipersetujui oleh Prof Dato' Dr Raymond Azman Ali memandangkan menurut beliau, kakitangan di sana juga sekiranya sakit tidak perlu mengambil GL, dan perkara yang sama perlu diberikan kepada pelajar.

Mengenai projek laluan berbumbung dari Laman Media Wisma yang kebanyakannya dihuni oleh pelajar yang menghubungkan ke PPUKM juga telah dibangkitkan semula. Menurut Prof Zulkifli selaku Pengetua Kolej KTDI, perkara ini memang telah dibincangkan dan pihak PPUKM tiada masalah untuk meneruskan projek itu. Malah, pemasangan lampu di sekitar kawasan itu juga akan dijalankan. Namun, projek ini terhenti seketika setelah berlakunya penukaran TNC HEPA yang lama kepada yang baru. Dan katanya, beliau akan bincangkan semula mengenai projek ini bersama TNC HEPA yang baru iaitu Prof. Dr. Ir. Othman A. Karim bagi meneruskan perancangan projek yang telah dibuat bersama TNC HEPA sebelum ini.

Isu pointer yang dibincangkan bersama Dekan FSK juga turut diketengahkan kepada Prof Dato' Dr Raymond Azman Ali. Beliau berkata, para pelajar terlalu mengejar merit untuk menetap di kolej sehinggakan tercicir pelajaran. Tambah beliau lagi, selain itu, faktor desakan ibu bapa yang menyuruh anak mereka mengambil bidang doktor juga menjadi punca kegagalan pelajar yang tiada minat untuk meneruskan pembelajaran sehinggakan terpaksa mengulang tahun akhir sebanyak beberapa kali dan ada yang diberhentikan. 

Di samping itu, Prof Zulkifli selaku Pengetua KTDI telah mengambil peluang untuk mengutarakan kepada PMUKM mengenai kemudahan sukan di PPUKM yang amat kurang. Beliau berharap PMUKM dapat mengutarakan kepada pentadbiran induk di Bangi agar pelajar di PPUKM dapat keselesaan bagi kemudahan sukan yang baik. Selain itu, Dekan PPUKM dan juga Prof. Zulkifli berharap agar pihak pentadbiran PPUKM diberi ‘early warning’ atau makluman awal mengenai sebarang aktiviti yang memerlukan penghantaran pelajar PPUKM ke Bangi bagi merapatkan jalinan antara kampus Bangi dan Cheras. Mengenai pengangkutan pula, katanya pihak PPUKM sendiri yang akan menyediakan pengangkutan untuk ke Bangi sekiranya tidak melibatkan kuantiti yang terlalu ramai.

Akhirnya, jutaan terima kasih diucapkan dari pihak PMUKM buat pihak Kedekanan Fakulti Sains Kesihatan dan juga Kedekanan Pusat Perubatan Cheras atas kesudian menerima lawatan kami. Mudah-mudahan lawatan tersebut akan melancarkan gerak kerja pada masa akan datang.