Khamis, Mei 12, 2011

Laporan Lawatan Rasmi PMUKM Ke Jabatan-jabatan Pentadbiran (Siri 1)

Pada 10 Mei 2011, satu lawatan rasmi PMUKM ke beberapa jabatan pentadbiran di antaranya ialah Jabatan Bedahari, Pusat Perkembangan Pelajar, Pusat Islam serta Unit Kenderaan. Lawatan tersebut diketuai oleh Saudera Mohammad Abdullah, Timbalan Presiden PMUKM dan 9 orang MPP iaitu Saudara Arif, Helmi, Azlan, Faizal, Muslimah, Fahmi, Azidah, Noraini, Izzuddin serta beberapa orang Setiausaha Kerja (SUK).
Fokus utama lawatan tersebut dianjurkan bertujuan untuk membina hubungan kerjasama yang erat diantara PMUKM dengan pihak pentadbiran selain menekankan peranan PMUKM sebagai badan penghubung serta agen penyampai maklumat antara mahasiswa dengan pihak pentadbir. Selain itu, beberapa permasalahan serta persoalan berkaitan kepentingan mahasiswa telah dibangkitkan, antaranya:


Jabatan Bendahari


Antara isu yang cuba dibangkitkan dalam pertemuan PMUKM bersama Jabatan Bendahari adalah berkaitan isu yuran pengajian. Respon jabatan bendahari mengenai yuran penganjian mahasiswa adalah kekal dan tiada perubahan sejak dari tahun 1990. Namun begitu, Jabatan Bendahari mengingatkan mahasiswa bahawasanya jumlah bayaran yang dibayar mahasiswa itu adalah selepas ditolak subsidi pengajian yang ditawarkan oleh kerajaan. Jumlah tersebut masih lagi satu jumlah yang kecil daripada jumlah asal.

Tambahan pula, yuran pengajian mula dipakejkan sejak tahun 2009. Ini bertujuan bagi memudahkan pembayaran yuran serta pemotongan terhadap biasiswa, PTPTN serta bantuan-bantuan lain.

Berkaitan dengan isu yuran kolej yang sering menjadi persoalan, respon pihak bendahari menyatakan yuran kolej masih lagi kekal mengikut harga lama iaitu RM 2.50 kecuali yuran bagi kolej Keris Mas iaitu sebanyak RM 5 manakala bagi kolej zaaba adalah tertakluk kepada Al-Kausar. Namun begitu, mulai semester hadapan, yuran KKM akan diturunkan kepada RM 3.50 serta yuran bagi kolej-kolej lain akan diselaraskan harganya kepada RM 3.50 (hanya untuk pelajar baru).Bagi pelajar Siswazah yuran penginapan akan diselaraskan dan diturunkan dimana sebelum ini mereka terpaksa membayar 2 kali ganda untuk menginap.

Respon Jabatan Bendahari berkaitan isu hutang yang tertunggak, Jabatan Bendahari menyatakan mahasiswa yang didapati berhutang akan sentiasa digesa supaya menjelaskan bayaran melalui e-mail yang dihantar. Selain itu, bagi mereka yang masih tidak menjelaskan hutang, Jabatan Bendahari tidak akan menghalang mereka daripada menduduki peperiksaan serta mendapatkan slip peperiksaan.

Selain itu, Jabatan Bendahari juga ada menyediakan bantuan kewangan bagi mahasiswa yang dikasifikasi sebagai kes istimewa (tiada bantuan kewangan atas masalah tiada biasiswa, pinjaman PTPTN serta mereka yang ditarik biasiswa akibat keputusan PNGK di bawah paras). Bantuan tersebut hanya akan diberi selepas ianya diluluskan dalam mesyuarat tabung kewangan pelajar.

Pihak Jabatan Bendahari juga telah menyediakan kemudahan teknologi untuk membuat pembayaran. Pembayaran kini boleh dilakukan terus secara online, serta boleh juga dibuat melalui debit card. Ini bertujuan untuk menjaga keselamtan mahasiswa. Kini mahasiswa tidak lagi perlu membawa wang tunai untuk membuat pembayaran

Mengenai isu zakat, maklum balas dari pihak Jabatan Bendahari menyatakan zakat UKM diwujudkan bagi memungut zakat di sekitar kawasan kampus dan ianya mempunyai hubungan terus melalui zakat selangor.Selain itu, mahasiswa yang bertepatan dengan 4 asnaf ( fakir, miskin, fisabilillah, ibnu sabil [pelajar luar] termasuk mereka yang baru mendapat kerakyatan) digalakkan untuk memohon bantuan zakat hanya sekali setiap semester. Bantuan zakat kini boleh dipohon secara online, dan pemohon hanya perlu menghantar salinan pemohonan (hardcopy) ke one stop center (unit zakat) sebelum temuduga dibuat. Bagi para siswazah pula, permohonan hanya boleh dibuat melalui pusat pengurusan siswazah (PPS)

Bagi Mahasiswa yang mempunyai minat untuk menjadi usahawan, pihak Jabatan Bendahari ada menyediakan Tabung Usahawan Siswa dan mahasiswa boleh memohon modal sebanyak RM 500 bagi memulakan perniagaan.

Bagi mengelakkan dikenakan bayaran denda, mahasiswa diingatkan supaya mendaftar kursus awal dan sentiasa merujuk e-pelajar untuk info-info semasa.

PPP

Isu yang dibangkitkan adalah mengenai isu Learing Contract. Namun begitu, kebanyakkannya sudah terjawab ekoran bengkel Perlaksanaan Kokurikulum Berkredit Berasaskan Kontrak Pembelajaran yang disertai oleh PMUKM minggu lepas (rujuk sini) . Justeru, Pihak PPP melahirkan sekalung tahniah kepada PMUKM serta kebersediaan mereka untuk membantu PMUKM dalam menjaga kebajikan mahasiswa serta membina mahasiswa ke arah yang lebih baik.

Pusat Islam


Antara isu yang dibangkitkan kepada Pusat Islam adalah kes kecurian yang sering berlaku di Masjid UKM. Respon dari pihak Pusat Islam menyatakan bahawasanya mereka telah melihat perkara ini dengan serius. Tindakan telah diambil oleh Pusat Islam dengan memohon pemasangan CCTV di Masjid. Peruntukan untuk pemasangan CCTV telah pun diluluskan dan kini pemantauan dibuat oleh Jabatan Pengurusan Pembangunan (JPP) bagi memantau lokasi strategik untuk pemasangan CCTV. CCTV tersebut bakal dipasang dan dihubung terus kepada pegawai keselamatan UKM bagi tindakan segera.

Selain itu, Pihak Pusat Islam juga ada menyatakan mengenai penubuhan Biro Hal Ehwal Wanita dibawah Pusat Islam demi menjaga kemaslahatan Wanita. Pihak Pusat Islam sangat mengalu-alukan kerjasama di peringkat PMUKM bagi mendepani isu-isu seperti ini.

Isu lain yang dibangkitkan adalah berkaitan kebenaran untuk mahasiswa berkhutbah terutamanya bagi mahasiswa daripada Fakulti Pengajian Islam (FPI). Pihak Pusat Islam merespon akan membuat pertimbangan dalam hal ini oleh kerana jadual khutbah telah pun ditetapkan dalam jangka masa setahun.
Pihak Pusat Islam juga sangat mengalu-alukan mahasiswa-mahasiswa sekalian untuk membuat Learning Contract di Masjid UKM selain berharap agar Pusat Islam ini dijadikan tempat program dan tempat pengumpulan pelajar.

Unit Kenderaan

Perkara yang dibangkitkan dalam perjumpaan PMUKM bersama unit kenderaan adalah berkaitan sistem pengangkutan bagi mahasiswa yang menjalani semester pendek (short sem) dan laluan antara zaaba dan FST yang baru dibuat. Respon daripada unit kenderaan menyatakan bas yang disediakan hanyalah bas zon 3(merangkumi zon 2 dan zon U) dan bas 6k. Bagi laluan antara kolej Zaaba dan FST, pihak Unit Kenderaan masih lagi belum menyediakan perkhidmatan bas di laluan tersebut.

Selain itu, berhubung isu kekerapan bas ke kolej Ibu Zain, pihak Unit Kenderaan menyatakan kekerapan tersebut adalah mengikut persetujuan pengetua Ibu Zain. Jadualnya masih seperti biasa iaitu sejam sekali (malam) dan sekali pada waktu tengahari. Sebarang aduan ataupun penambahan kekerapan boleh dirujuk terus kepada pengetua kolej sendiri.

Berkaitan Isu pengangkutan Bas ke kawasan bangi, Unit Kenderaan tidak akan menyediakan kemudahan tersebut. Ini kerana terdapat beberapa aduan daripada syarikat-syarikat luar yang telah menyediakan perkhidmatan tersebut dan akan menganggu pendapatan mereka sekiranya ianya diteruskan.

Bagi perkhidmatan penempahan bas pula, kini Unit Pengangkutan telah menyediakan khidmat tempahan online bagi memudahkan mahasiswa untuk membuat tempahan. Tempahan tersebut hendaklah dibuat 7 hari sebelum program bagi memberi ruang untuk Unit Pengangkutan memproses pemohonan yang dibuat.

Selain itu, pihak Unit Kenderaan juga menegaskan sekiranya terdapat sebarang aduan mengenai perkhidmatan bas, Mahasiswa bolehlah terus merujuk Unit Kenderaan untuk tindakan lanjut.

Akhirnya, jutaan terima kasih dari pihak PMUKM atas kesudian pihak Jabatan Bendahari, PPP, Pusat Islam serta Unit Pengangkutan oleh kerana sudi menerima lawatan kami. Mudah-mudahan lawatan tersebut akan melancarkan gerak kerja pada masa akan datang.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI