Selasa, Mei 10, 2011

Bengkel Pelaksanaan Kokurikulum Berkredit Berasaskan Kontrak Pembelajaran

Pada 6-8 Mei 2011 yang lalu, seramai 6 orang wakil MPP UKM yang menghadiri Bengkel Pelaksanaan Kokurikulum Berkredit Berasaskan Kontrak Pembelajaran di Hotel Avillion, Melaka iaitu  saudara Ahmad Muzzammil Muhd Hairi selaku Presiden, Mohd Ezuan Mohd Saad (Setiausaha Agung), Nurazidah Mashan (Bendahari Kehormat), Phang Siew Chin (Naib Presiden 1), Mohamad Idrul Mohamad Daud (Pengerusi Biro Akademik). Turut menghadiri bengkel ini adalah Prof Dato' IR Dr Hassan Basri, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa serta semua Timbalan Pengetua Kolej, Timbalan Dekan Fakulti, Ketua-ketua Jabatan, dan lain-lain.

Antara objektif bengkel ini dilaksanakan adalah untuk:

  • Memberikan maklumat tentang konsep kontrak pembelajaran dan peranan pusat pembelajaran dalam melaksanakan aktiviti/projekk berasaskan kontrak pembelajaran.
  • Mendapatkan input dalam membina contoh aktiviti/projek kokurikulum berasaskan kontrak pembelajaran.
  • Memberi pemahaman dan kaedah penilaian kepada pelajar berasaskan kontrak pembelajaran.
  • Mendapat input dan maklumat tambahan dalam menambah baik kontrak pembelajaran yang sedang dijalankan.
Dalam bengkel ini juga, praktikal kepada kontrak ini dilaksanakan bermula dengan penyediaan kertas kerja program sehinggalah kepada tamatnya proses kontrak pembelajaran dan akhir sekali, setiap MPP dikehendaki membentangkan hasil kontrak pembelajaran kepada semua pentadbir UKM.

Apa Itu Kontrak Pembelajaran @ Learning Contract?

Kontrak pembelajaran dalam konteks UKM adalah persetujuan bersama antara pelajar dengan pensyarah/jurulatih berkaitan dengan aktiviti dan projek yang dirancang dan dilaksanakan untuk memenuhi keperluan 8 jam kredit dan mencapai 8 hasil pembelajaran yang telah ditetapkan iaitu:

  1. Sosial dan kebertanggungjawaban
  2. Komunikasi
  3. Pengurusan maklumat & pembelajaran sepanjang hayat
  4. Nilai, sikap, etika & profesionalisme
  5. Pemikiran kritikal, penyelesaian masalah & pendekatan saintifik
  6. Kepimpinan & kerja berpasukan
  7. Pengurusan & keusahawanan
  8. Kreatif & inovatif
Pihak PMUKM merasakan bahawa bengkel ini merupakan salah satu bengkel yang dapat memberi autonomi atau kebebasan akademik kepada mahasiswa/i di UKM dalam menyumbang ide. Usaha pihak pentadbiran UKM iaitu Dr Khaidzir selaku Pengarah Pusat Perkembangan Pelajar (PPP) dalam mencetuskan pelaksanaan program kontrak pembelajaran ini wajar dipuji.

PMUKM mengucapkan tahniah kepada pihak pentadbiran iaitu Naib Canselor, HEAA dan PPP yang telah terliat dalam melaksanakan kontrak pembelajaran ini. Namun begitu, PMUKM merasakan penambahbaikan terhadap kontrak pembelajaran ini amat relevan demi memastikan mahasiswa yang lahir dari acuan UKM ini adalah yang terbaik dan berkualiti.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI