Isnin, Mei 16, 2011

NewsPortal : Tan Sri Dr Zulkefli Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Yang Baru

BANGI, 16 Mei 2011 - Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia, Tan Sri Dr Zulkefli A. Hassan telah mula menjalankan tugas sebagai Pengerusi baru Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menggantikan Tan Sri Dato’ Paduka Dr Mazlan Ahmad.

Suatu kenyataan Pusat Komunikasi Korporat hari ini berkata pelantikannya untuk tempoh selama 3 tahun hingga 15 Mei 2014 dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Khaled berkata pelantikan Zulkefli mampu menyumbang dan membawa UKM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang cemerlang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

Zulkefli, 59, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Simpang Empat, Alor Star dan pengajian menengahnya di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Dengan Kepujian dari Universiti Malaya pada tahun 1974, Ijazah Sarjana dari Bradford dan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Manchester pada tahun 1994.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai Penolong Setiausaha di Perbendaharan Malaysia (1974- 976) dan pernah bertugas sebagai Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (1976 –1979), Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Selangor (1979 – 1982).

Zulkefli turut menyandang pelbagai jawatan dari tahun 1982 sehingga 30 Jun 2005. Antaranya sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaaan/Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Melaka; Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pertanian; Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Jabatan Perdana Menteri; Pengarah Urusan JKP Sdn Bhd (anak syarikat Perbadanan Kementerian Kewangan); Timbalan Pengarah (Akademik) INTAN dan Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Beliau menyandang jawatan terakhirnya sebagai Ketua Setiausaha KPT pada 8 Disember 2005 sehingga bersara awal tahun ini.