Rabu, September 17, 2014

CERAPAN 16 SEPTEMBER 1963


16 September 2014, UKM Bangi- Bagi penduduk Negeri Sabah dan Sarawak setiap kali 16 September merupakan hari yang dinanti-nantikan kerana tarikh tersebut merupakan titik permulaan kepada satu perubahan yang amat besar dalam kedua wilayah ini. Ketika kecil dahulu, tarikh 31 Ogos dan tarikh 16 September merupakan hari yang dinanti-nantikan kerana akan bercuti sekolah namun setelah menjadi dewasa, kedua-dua tarikh ini menjadi persoalan diri iaitu mana satu yang lebih memberikan makna signifikan kepada diri ini. Minda ini mula mencari jawapan lantaran mendapat perkongsian sendiri dari seorang ayah yang merupakan graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang sejarah dan seorang pak cik yang merupakan graduan University of Illinois, USA.

Perkongsian tersebut membuatkan diri ini untuk mencerap sebuah buku yang pernah diharamkan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia yang berjudul “The Golden Son of The Kadazan” hasil tulisan Bernard Sta Maria dan diterbitkan buat pertama kali pada tahun 1978 di Negeri Melaka. Justeru pada 16 September 2014 saya cuba untuk meneliti buku tersebut bagi mencari maksud sebenar penggabungan empat wilayah di dalam Asia Tenggara bagi membentuk sebuah negara iaitu Malaysia. Buku tersebut berkisarkan tentang mendiang Datuk Peter Joinod Mojuntin atau lebih dikenali sebagai Datuk Peter J. Mojuntin. Insan ini menjadi perbincangan penulis kerana merasakan sumbangan besar mendiang dalam berperanan bagi membawa Sabah bersama-sama Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk Malaysia.

Saya tidak berminat untuk berkongsi cerita batang tubuh mendiang kerana sememangnya saya amat mengagumi sifat dan semangat juang beliau. Saya lebih berminat untuk mengetengahkan skrip-skrip perjuangan beliau sepanjang berjuang demi anak bangsa Negeri Sabah dan julangan beliau dalam mengimpikan Malaysia yang adil dan demokratik. Perjuangan beliau tidak lama lantaran sebuah kemalangan yang turut menyebabkan kematian para pejuang Negeri dan Negara termasuk Tun Fuad Stephens. Kemalangan yang dimaksudkan ialah kemalangan kapal terbang MAS 737 dari Labuan ke Kota Kinabalu yang terjadi pada 6 Jun 1976. Kemalangan ini juga antara sebab lain perjanjian di antara PETRONAS, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan dilihat sebagai satu bentuk penjajahan baru kepada Sabah.

Bagi memulakan cerapan ini, adalah lebih sesuai untuk kita melihat kepada keinginan Sabah untuk merdeka. Cetusan idea ini lahir melalui Tun Fuad Stephens setalah tamatnya perang dunia ke II. Cerita kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 meniupkan semangat besar kepada Tun untuk mentadbir sendiri tanah tumpahnya daripada penjajahan British. Tun juga menyedari dua ancaman terbesar terhadap Sabah iaitu tuntutan Presiden Marcos, Filipina terhadap wilayah Sabah dan tekanan daripada Presiden Seokarno yang akhirnya mencetuskan gerakan konfrontasi Indonesia kepada Sabah. Bagi mencapai merdeka Sabah memerlukan asas dan sokongan yang padu. Sehubungan dengan itu, pengisytiharan penubuhan Malaysia oleh Perdana Menteri, Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman pada Mei 1961 di Singapura telah memberikan ruang dan harapan baru buat Tun Fuad. Sejurus sahaja mendengar pengisytiharan tersebut, Tun Fuad telah menulis surat menyatakan kegembiraan terhadap cadangan Perdana Menteri Malaya ketika itu. Surat itu telah dikhabarkan kepada umum dan Tunku Abdul Rahman telah menjemput Tun Fuad ke Kuala Lumpur bagi membincangkan berkenaan hal tersebut. Perkara yang menarik ialah melalui bantuan Lee Kuan Yew ketua pimpinan Singapura ketika itu, barulah Tun Fuad akhirnya bersetuju dengan idea penggabungan empat wilayah tersebut kepada sebuah negara yang dikenali sebagai Malaysia.

The United National Kadazan Organisation (UNKO) adalah parti yang telah ditubuhkan oleh Tun Fuad, dan di sinilah insan yang bernama Datuk Peter Mojuntin memainkan peranan yang besar. Datuk Peter merupakan setiausaha agong UNKO dan Tun mengalami masalah besar bagi meyakinkan kepada Datuk Peter Mojuntin berkenaan gagasan Malaysia, setalah beberapa kali mencuba akhirnya Datuk Peter bersetuju dengan ketegasan beliau bahawa kepentingan anak bangsa Sabah mestilah diutamakan. Antara parti-parti politik penting yang wujud juga semasa itu ialah United Sabah National Organisation (USNO) yang dipimpin oleh Tun Datu Mustapha, National Pasok Momogun Organisation (NPMO) oleh Dato G. S. Sundang. Secara rasminya, pada 20 November 1961 cadangan Malaysia telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan beberapa persetujuan telah dimeterai dan antara yang utama ialah satu jawatankuasa bagi menilai pandangan penduduk Sabah dan Sarawak. Jawatankuasa ini dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold. Datuk Peter telah diberikan tugasan besar bagi menyediakan sebuah memorandum bagi menyatakan perasaan masyarakat asli ataupun anak jati dan masyarakat cina di Sabah lantaran satu ketakutan bahawa masyarakat di Tanah Melayu akan mengambil alih sektor-sektor utama di Sabah seperti pentadbiran,ekonomi dan hak-hak mereka di Sabah. Setelah memorandum diselesaikan dan dibentangkan di hadapan Suruhanjaya Cobbold, maka Perjanjian 20 Perkara di antara Sabah dan Persekutuan Tanah Melayu telah di persetujui dan orang yang paling memahami isi-isi dan perlaksanaan perjanjian tersebut ialah Datuk Peter Mojuntin kerana sebahagian besar kandungan perjanjian 20 Perkara itu adalah berpandukan kepada memorandum yang telah disediakan oleh beliau. Maka pada 16 September 1963 terbentuklah sebuah negara baru iaitu Malaysia.

25 September 1963 Datuk Peter merupakan ahli Parlimen bagi mewakili Sabah. Pada waktu itu, Tun Datu Mustapha merupakan Yang Di-Pertua Negara Sabah (sekarang Yang Di-Pertua Negeri) dan Tun Fuad Stephens meruapkan Ketua Menteri Sabah. Dalam perkhidmatannya yang singkat sebagai ahli parlimen, beliau telah mewakili Malaysia ke persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBBB). Perwakilan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap Sabah, selain menjadi orang Sabah pertama yang berucap di Persidangan PBBB beliau merupakan contoh belia yang berani kerana pada waktu tersebut beliau hanya berumur 24 tahun. Tujuan utama beliau ke persidangan tersebut ialah bagi membidas tuduhan Kerajaan Indonesia yang menyatakan bahawa penubuhan Malaysia merupakan satu bentuk penjajahan yang baru di rantau ini. Sekembalinya beliau daripada persidangan tersebut, di dalam dewan Parlimen Malaysia beliau menceritakan pengalaman di dalam persidangan PBBB dan dengan tegas menyatakan pendirian mewakili rakyat Sabah yang mana Sabah tidak ada sebarang kaitan dengan konfrontasi Kerajaan Indonesia Seokarno. Dengan lantang beliau menyatakan bahawa Sabah dan Sarwak sangat terjejas lantaran konfrontasi itu dan mencadangkan tindakan yang segara dilaksanakan bagi menangani permasalahan itu. Sekali lagi beliau menyatakan sokongan padu kepada pembentukan kerajaan Malaysia dan terus berusaha bagi menjaga kepentingan negara.

Politik Sabah merupakan sebuah perjalanan yang sangat unik, secara peribadi saya menyifatkan ahli-ahli politik sewaktu Sabah berusaha mendapatkan kemerdekaan dan mereka yang bekerja keras dalam membentuk negara maju Malaysia adalah lebih matang dan berpendidikan berbanding mana-mana ahli politik Sabah sekarang. Dalam konflik-konflik yang wujud, saya dapati Datuk Peter tetap bertegas dengan asas penubuhan Malaysia. Contohnya ketika Singapura mengambil keputusan untuk keluar daripada Malaysia membentuk negara sendiri, Tun Fuad dan Datuk Peter adalah antara orang yang paling kecewa kerana satu pencabulan terhadap gagasan Malaysia telah berlaku. Sabah dengan sengajanya telah dikecualikan daripada perbincangan berkenaan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menyingkirkan Singapura daripada Malaysia. Tindakan tersebut menyebabkan UPKO terpaksa memikirkan kembali kedudukan Sabah di dalam Malaysia. Maka pelbagai tomahan dan tuduhan telah dilontarkan kepada pimpinan UPKO antaranya, UPKO didakwa membawa konsep “Malaysian Malayasia” yang kononnya tidak menghormati agama dan bangsa yang pelbagai. Maka pada 13 September 1965 Tunku telah terbang ke Sabah dan telah mengisytiharkan penukaran Ketua Menteri Sabah justeru Tun Datu Mustapha telah diumumkan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru. Datuk Peter mengambil keputusan untuk tidak memberikan sebarang komen untuk situasi tersebut, beliau terus komited untuk membawa perjuangan beliau demi “Malaysian Sabah”.

Perjanjian penubuhan Malaysia juga semakin kabur ketika “General Election” pertama Sabah yang memerlukan kepada pemilihan 32 perwakilan. Setelah beberapa kali ditunda, akhirnya peliharanya berjaya diadakan. Namun kali ini UPKO dan USNO memilih laluan yang berbeza. Permasalahan yang wujud menyebabkan pimpinan tertinggi parti memilih untuk berbeza pendapat. Sering kali terjadi perbalahan di antara Tun Fuad dan Tun Datu Mustapha. Tun Fuad menyaksikan permasalahan ini tidak memberikan sebarang kebaikan kepada pembangunan Sabah. Kepentingan Tuntutan 20 Perkara tidak berupaya untuk dilaksanakan lalu beliau mencadangkan agar ahli UPKO dibubarkan dan masuk ke dalam USNO. Mungkin pada waktu itu, Tun Fuad menyaksikan ancaman dan cabaran yang lebih besar sekiranya UPKO terus mengekalkan identitinya. Datuk Peter tidak juga menentang namun tidak juga bersetuju, lantaran perjuangan anak jati Sabah adalah keutamaannya. Zaman pemerintahan Tun Datu Mustapha menyaksikan ketegangan yang besar dalam Sabah. Sejarah menunjukkan AGAMA telah digunakan untuk kepentingan politik. Saya sendiri sebagai seorang Islam melihat tindakan ini seperti tidak wajar, namun untuk menyalahkan kepada sejarah adalah tidak berasas kerana peristiwa tersebut harus membentuk Sabah yang lebih matang. Umum mengetahui bahawa Datuk Peter juga merupakan antara pimpinan yang beragama Kristian dan merupakan pemimpin nombor satu umat Kristian di Sabah. Kes-kes mubaligh Kristian yang dihalau keluar daripada Sabah telah menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Kristian. Tawaran bagi sesiapa yang memeluk Islam dengan bantuan dan jawatan menyebabkan umat Kristian seolah-olah berada di persimpangan dan tidak dapat membuat satu keputusan yang jelas.

Kepercayaan beliau terhadap Perjanjian 20 Perkara tersebut yang berdasarkan memorandum yang disiapkan oleh beliau sendiri, telah memaksa beliau menulis surat kepada Tun Fuad bagi memandang penukaran agama secara besar-besaran ini sebagai satu permasalahan yang bercanggah dengan penubuhan Malaysia. Kerana seolah-olah usaha beliau tidak memberikan sebarang kesan yang besar, beliau mengambil keputusan untuk fokuskan kepada pembangunan Sabah, sehinggakan ketika ditanya oleh pengikutnya sama ada mereka perlu menukar agama atau tidak, beliau menjawab mereka bahawa untuk sampai kepada tuhan, ada banyak jalan dan caranya, agama itu ialah menyerahkan diri kepada tuhan dan sekiranya kamu menukar keimanan kamu dengan kebendaan maka itu bukan agama. Perkara ini juga dijelaskan oleh beliau dalam satu surat yang panjang kepada Tun Datu Mustapha bertarikh 29 Mac 1972. Dalam perenggan terakhir surat tersebut beliau menyatakan “ untuk Sabah menikmati keamanan dan keharmonian, rakyat perlu belajar untuk menjadi seorang rakyat Malaysia yang bangga. Ini hanya akan terjadi sekiranya mereka memahami, belajar dan menghormati adat dan kepercayaan orang lain.” Politik Sabah terus berubah dan berubah, semasa Tun Datu Mustapha satu tuduhan baru wujud menyatakan bahawa sekali lagi Sabah akan keluar dari kesatuan Malaysia dan Tun Datu Mustapha akan menjadi Sultan-nya. Semua ini tidak berlaku kerana Sabah masih lagi sebahagian besar daripada Malaysia. Setelah tragedi 6.6.6 tidak lagi ada orang yang benar-benar berdiri teguh dalam mempertahankan kepentingan Sabah itu sendiri. Sangat sedih kerana tidak mampu untuk berjumpa dengan mereka apatah lagi membaca nukilan mereka mahupun sejarah mereka kerana tidak wujud dalam mana-mana buku sejarah arus perdana di Malaysia.

Secara peribadi tarikh 31 Ogos seperti pimpinan Sabah terdahulu merupakan tarikh di mana harapan kepada pembebasan penjajahan menampakkan cahayanya. Manakala, tarikh 16 September adalah tarikh dan titik permulaan bagi segala-galanya. Dua-dua tarikh ini mempunyai maksud yang tersendiri namun diri ini memilih 16 September kerana kesatuan telah dimanifestasikan buat kali yang pertama pada detik tersebut. Saya berpendapat Sabah adalah faktor yang besar dalam membentuk Malaysia dan saya benar-benar yakin tanpa Sabah bersetuju kekal di dalam Malaysia, kemudahan pada hari ini tidak dapat di capai terutamanya untuk rakyat Sabah sendiri. Secara prinsip perjuangan, Tuntutan 20 Perkara belum lagi direalisasikan, dan menjadi tanggungjawab anak muda Sabah untuk terus membawanya dalam prinsip perjuangan bagi membentuk Malaysia yang adil dan demokratik. Keputusan untuk keluar daripada Malaysia adalah satu tindakan yang “memalukan” kerana para pemimpin terdahulu tidak pernah mengizinkannya. Namun pimpinan sekarang perlu mengakui telah lama “mengabaikan” Sabah kerana sudah terbukti pelbagai polisi-polisi yang diwujudkan akhirnya memberikan keburukan yang terbaru ancaman lanun di perairan Sabah. Para pimpinan Sabah perlu berhenti menjadi pengampu dan berdiri atas dasar perjuangan terdahulu yang jauh lebih teguh dan membumi. Saya sempat menghadirkan diri dalam satu persidangan meja bulat berkenaan “Malaysian 11th Plan” anjuran ASLI di Parlimen. Rancangan yang di bincangkan penting namun tidak terdapat sedikit pun perkaitan tentang Sabah dan Sarawak. Justeru pemahaman kita harus dirubah. Malaysia bererti Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bukan lagi Malaysia yang hanya Melayu dan Persekutuan Tanah Melayu. Di sini Lahirnya Sebuah Cinta.





Mustapha Kamil Husen Abdul Kadir
MPP Fakulti Kejuruteran dan Alam Bina Tahun 3/4
Yang Dipertua UKM Sesi 13/14





::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::