Selasa, Mei 27, 2014

YDP PMUKM : SEJENAK BERSAMA PERDANA MENTERI MALAYSIA



2 Mei 2014, UKM Bangi -  Kedatangan “mengejut” Perdana Menteri Malaysia ke UKM pada hari jumaat yang lalu telah memeriahkan suasana UKM. Usai menunaikan solat jumaat, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan diiringi Naib Canselor UKM Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali sempat bersalaman dengan para jemaah yang hadir. Selepas itu, sesi jamuan makan diadakan dan saya berkesempatan untuk duduk semeja dengan beliau.


Sambil menikmati jamuan, beberapa perkara menjadi topik perbincangan kami. Antara perkara yang sempat kami bincangkan ialah berkenaan dengan pembangunan universiti. Pokok utama yang dibincangkan ialah kaedah dan langkah yang paling berkesan dalam membina hubungan antara universiti dan industri. Dalam hal ini , YAB Dato’ Seri menjadikan beberapa universiti di Amerika sebagai contoh terbaik. Sememangnya wujud jaringan sedemikian di UKM, UKM-MTDC misalannya, tetapi masih perlu difikirkan kaedah yang sangat sesuai.

Perbualan bertambah menarik apabila saya mendapat respon Perdana Menteri terhadap perhimpunan Bantah GST pada 1 Mei 2014. Jelas beliau, “Bantah GST adalah semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan”. Pihak kerajaan menantikan “intellectual Argument” daripada pihak pembangkang. Beliau menambah, “sekiranya mereka membantah GST, apakah alternatif yang mereka mampu sediakan? Pembangkang sekadar melaungkan kos sara hidup tinggi, harga barang naik dan sebagainya.” Saya memberi respon denagan mengemukakan perkongsian daripada Ahli Parlimen Serdang Dr. Ong Kian Ming, bahawa saya pernah bertanya kepada beliau tentang alternatif dariada pihak PR sekiranya mereka menolak GST. MP Serdang tersebut menjawab ringkas dengan membanteras ketirisan sepertimana dalam laporan Audit Negara 2013, kita mampu menyelamatkan sejumlah wang yang lebih banyak daripada kutipan GST setiap tahun. Dato’ Seri Mohd Najib menjelaskan lagi bahawa laporan audit negara masih mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diteliti. Namun begitu, belum sempat Dato’ Seri menghabiskan huraiannya, teman-teman semeja yang lain menjelaskan kelebihan dan kebaikan GST yang dilihat sebagai jalan terbaik kerajaan dalam meningkatkan “Revenue Income” negara pada masa akan datang.

Saya cuba mencelah perbualan mereka sekali lagi dan bertanya kepada Perdana Menteri berkenaan dengan isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) bersama Amerika. Beliau menjawab bahawa sebenarnya perjanjian tersebut merupakan suatu langkah bijak dalam “investment”. Kini, hanya ada 12 negara yang terlibat. Beliau memberi bayangan pada masa akan datang sekiranya ada 20 buah negara yag terlibat, pastinya akan memberi keuntungan kepada negara. Sekali lagi, teman-teman di meja menyokong respon tersebut. Jelas Dato’ Seri lagi, kita masih dalam tempoh perbincangan untuk menjelaskan beberapa perkara. Perjanjian perkongsian TPP belum mendapat kata putus yang muktamad. Dato’ Seri menegaskan, sebelum ini kita pernah mengadakan perjanjian Free Trade Agreement (FTA) bersama kerajaan Turki, tetapi mereka (Pembangkang) tidak pernah membantah .

Dato’ Seri meluahkan perasaan kekecewaan terhadap PERKASA yang menuntut agar “reward” kepada pelajar yang mendapat “First Class Degree” bagi peminjam PTPTN dimansuhkan. Menurut beliau, kita kena mengurangkan nilai “Ethnicity” dalam pengurusan kerajaan. Dato’ Seri menambah ada banyak cara yang beliau telah lakukan demi membantu bumiputra di Malaysia. Perkongsian beliau terpaksa dihentikan atas kekangan masa. Kemudian, Naib Canselor UKM memberikan cenderahati kepada beliau atas tanda penghargaan dan penutup majlis.

Persoalan dan perkongsian yang saya cuba tujukan tidak dapat dibahas panjang. Demi menyahut saranan NC UKM dalam merealisasikan UKM sebagai “Guardian of the Nation”, PMUKM akan terus berusaha untuk memastikan Forum Perdana pada 10 Mei 2014 dilaksanakan agar perkongsian sihat daripada ahli akademik, pembangkang serta pihak kerajaan dapat dinilai oleh masyarakat dalam membuat keputusan yang jelas.





Mustapha Kamil Husen Abdul Kadir
MPP Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Tahun 3/4
YDP PMUKM Sesi 13/14







TINTA YDP PMUKM
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::