Esok 27 April 2014, bertempat di Dewan Tun Canselor, Universiti Malaya, dengan berkonsepkan “Town Hall” satu sesi dialog antara Presiden Barack Obama dan pimpinan belia di Malaysia akan diadakan. Saya selaku YDP PMUKM telah dijemput serta mewakili suara mahasiswa UKM untuk menghadiri sesi dialog tersebut. Justeru, saya akan menggunakan peluang dan ruang ini untuk mendapatkan info dan maklum balas secara langsung daripada Presiden Amerika Syarikat tersebut. Kunjungan terakhir presiden dari negara ‘helang putih’ itu, ialah pada tahun 1966 semasa jawatan tersebut digalas oleh Presiden Lyndon Baines Johnson.
Kedatangan Presiden Obama ke Malaysia telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat. Wujud sebahagian golongan masyarakat yang merasa bangga terhadap presiden tersebut sehinggakan ingin menamakan sebuah jalan di Malaysia bersempena dengan nama beliau. Manakala, ada juga yang menentang dengan menggelar Presiden Obama sebagai “The True Terrorist”.
Tercetusnya respon-respon sebegini lantaran persoalan hubungan antara Malaysia-Amerika, lebih-lebih lagi apabila kerajaan Malaysia bersetuju untuk terus terlibat dalam perbincangan Perjanjian Trans – Pacific Partnership (TPPA). Selain itu, dasar dan polisi Amerika terhadap isu-isu di Timur Tengah, demokrasi dan pemburuan pengganas turut menjadi elemen dalam reaksi yang ditimbulkan. Justeru, kedatangan Presiden Obama ke Malaysia pastinya terus menjadi buah mulut rakyat Malaysia.
Jalinan diplomatik dengan negara luar perlu dalam membina kekuatan negara. Dalam hal ini, saya tertarik dengan hubungan diplomatik yang dimetrai diantara Perdana Menteri Turkey, Recep Tayyip Erdogan bersama Presiden Barack Obama berkenaan beberapa isu penting berkenaan dengan hubungan ekonomi dan politik diantara Turki dan Amerika. Obama dan Erdogan juga bersetuju untuk menghentikan keganasan dan mendapat kesepakatan untuk menghalau Bashar Assad keluar daripada bumi Syria. Setelah hubungan tersebut termetrai, ia tidak pernah menjejaskan prinsip Erdogan dalam mentadbir Turki.
Kritikan Barat terhadap layanan kerajaan Turki terhadap demonstrasi di Taksim Square tidak menjejaskan Erdogan dalam meneruskan agendanya. Malah, beliau juga merupakan pemimpin pertama yang tidak menerima rampasan kuasa terhadap Presiden Morsi dan berprinsip untuk setia bersama mempertahankan demokrasi di Mesir. Sesungguhnya hanya pemimpin dan rakyat yang mampu mempertahankan keunggulan negara, bukan negara asing yang datang dengan kepentingan sendiri.
Semoga pertemuan bersama Presiden Obama pada hari esok akan memberikan manfaat buat saya untuk dikongsikan bersama kepada rakan-rakan mahasiswa. Saya juga yakin, bahawa isu-isu kritikal yang berlaku diantara Malaysia dan Amerika akan dapat disuarakan dan dibincangkan secara lebih mendalam semasa sesi dialog tersebut.
Mustapha Kamil Husen Bin Abdul Kadir
MPP Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Tahun 3/4
YDP Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia
Sesi 13/14
TINTA YDP PMUKM
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::