Selasa, Jun 01, 2010

Kenyataan Rasmi MPP Mahasiswa UKM Mengutuk Tindakan Zalim Israel

MPP Mahasiswa mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis Israel yang menyerang kapal konvoi Mavi Marmara yang membawa bantuan ke Gaza melalui misi kemanusiaan Lifeline for Gaza (LL4G). Kekejaman dan sikap keganasan Israel di Perairan Antarabangsa Laut Mediterranean itu telah mengorbankan 20 nyawa dan menyebabkan puluhan penumpang yang tidak bersenjata tercedera.

Menurut laman sesawang LL4G, LL4G merupakan satu misi kemanusiaan yang membawa bantuan ke Gaza. Konvoi ini membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuklah ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Tiada sebarang bentuk senjata dibawa bersama konvoi ini walaupun untuk digunakan sebagai alat mempertahankan diri. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa konvoi ini adalah benar-benar sebuah konvoi bantuan kemanusiaan yang akan disampaikan oleh sukarelawan-sukarelawan dalam kalangan masyarakat awam.Semua objektif dan pergerakan konvoi ini adalah berpandukan kepada Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang maritim lain yang berkaitan. Antara lain, Resolusi 1860 menyebut :

a) menyeru kepada penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Gaza termasuk makanan, minyak dan kemudahan perubatan,

b) menggalakkan usaha-usaha membuka laluan dan mekanisma lain bagi tujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang berterusan,

c) menyeru semua negara untuk menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan dan ekonomi di Gaza, dan

d) mengecam semua bentuk keganasan dan serangan terhadap masyarakat awam dan semua bentuk terorisma.

Berdasarkan kepada fakta-fakta ini jelas Israel secara biadap telah melanggar undang-undang antarabangsa. Apatah lagi serangan ini berlaku di perairan antarabangsa dan dilakukan ke atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata yang datang secara aman. Tindakan Israel menginjak-injak prinsip kemanusiaan ini wajar mendapat kutukan dari seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan keadilan.

Menurut salah seorang MPP Mahasiswa, Saudari Nabilah Mohd Maiyidin," Kita selaku mahasiswa hendaklah berani tampil ke hadapan untuk sama-sama mempertahankan rakyat Palestin dan juga mereka yang menyertai misi kemanusiaan tersebut. Kita semua berhak bersuara. Kami mendesak kerajaan agar sama-sama bertindak menentang kezaliman Zionis. Perbuatan mereka sungguh kejam dan tidak boleh dibiarkan lagi", ujarnya, ketika diminta mengulas mengenai tindakan zalim Israel ke atas konvoi misi kemanusiaan LL4G.

Israel sememangnya tiada sebab dan tiada hak untuk menghalang konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza ini. Konvoi tersebut bertujuan untuk memberikan bantuan bukannya untuk melancarkan serangan. Justeru, mahasiswa berpendirian bahawa tindakan kejam zionis seharusnya dihentikan dan dihalang demi menjamin keamanan semua pihak. Sekali lagi, pihak MPP Mahasiswa mendesak kerajaan agar melancarkan tindakan yang sewajarnya seandainya kekejaman ini terus berlaku. " Saya tidak sanggup melihat saudara kita yang tidak berdosa diperlakukan dengan sebegitu rupa. Saya berharap, tindakan yang sewajarnya dapat diambil dan sebagai umat Islam, kita perlulah berusaha membantu mereka dengan melakukan Solat Hajat dan berdoa serta membaca Qunut Nazilah setiap kali selepas solat fardhu", ujar Saudari Nabilah lagi.

Secara tuntasnya, semua pihak termasuk kerajaan seharusnya cakna dengan isu ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Memandangkan tindakan pihak Israel yang keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan itu, MPP mahasiswa berharap agar pihak kerajaan mengambil langkah menghentikan kerjasama dengan APCO sebagai menunjukkan tanda protes terhadap kekejaman mereka.

Seperti yang diketahui, Syarikat APCO Worldwide merupakan sebuah syarikat yang dikatakan pro-Israel dan dilantik kerajaan Malaysia untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi secara menyeluruh. Oleh itu, dapat difahamkan bahawa APCO melibatkan kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Israel. Justeru,kerajaan haruslah menghentikan kerjasama ini dengan segera demi membela nasib rakyat Palestin dan mereka yang terbunuh dalam misi konvoi kemanusiaan ke Gaza yang diserang tanpa belas kasihan. Sekiranya kerjasama ini masih diteruskan, kerajaan Malaysia akan dilihat bersekongkol dengan pihak Zionis dan menyokong kekejaman itu dilakukan.

KENYATAAN BERSAMA

Muhamad Faiz b Ismail
Muhammad Syafiq b Abdul Aziz
Ou Yong Koh Beng
Wan Ahmad Fahmi b Wan Abdul Hamid
Khairul Anuar b Mat Lazim
Nik Ahmad Syafie b Raja Daud
Mohd Zaim Juwaidi b Jamaluddin
Nabilah bt Mohamad Maiyidin
Alia Suzana bt Asri
Mariah bt Zakaria
Sarzliana bt Soaidin
Nasiha bt Omar
Farih Najihah bt Hashim
Nur Ili bt Mohamad Tarmizi