Selasa, Mei 27, 2014

TAHNIAH PENGURUSAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA




24 April 2014, UKM Bangi - Merujuk kepada surat kelulusan DN00319/2014, saya selaku YDP PMUKM mengucapkan tahniah dan syabas buat pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana kembali mengiktiraf kebebasan akademik di institusi pengajian tinggi walaupun beberapa kampus lain tidak menunjukkan sikap sedemikian.


Maka perlu saya ungkapkan pengiktirafan kebebasan akademik sebagaimana yang terkandung dalam perundangan UKM sendiri:

“Kod ini adalah bertujuan untuk menjamin kebebasan akademik semua pelajar untuk meneroka dan menyelidik,belajar dan bersuara di khalayak ramai secara telus mengikut suara hati yang jujur tanpa perasaan takut akan dipersalahkan atau kemungkinan diambil tindakan” Kod Universiti Kebangsaan Malaysia (Tatakelakuan Aktiviti Politik Pelajar dan Badan Pelajar)

Saya percaya, sebagai sebuah gedung ilmu yang terulung, UKM sepatutnya menjadi pusat perbincangan yang sihat terhadap sebarang isu, lebih-lebih lagi isu negara bersesuaian dengan penubuhan UKM itu sendiri. Budaya perdebatan dan wacana perlu digiatkan lagi agar “solusi-solusi masak” mampu dihidangkan kepada rakyat demi membina negara Malaysia yang lebih baik.

Usaha ini akan menjadi sejarah setelah 16 tahun yang lalu, satu Debat Perdana yang mempertemukan wakil kerajaan dan pembangkang dalam satu pentas. Pada tahun 1998, Debat Perdana UKM yang mengupas tajuk “Wajarkah Mahasiswa Berpolitik?” telah diadakan di DECTAR UKM, memperlihatkan wakil UMNO dan wakil PAS mengetengahkan pendirian parti terhadap usul debat tersebut selain disaksikan oleh wakil-wakil mahasiswa untuk bersama dalam program bersejarah tersebut.

Diharapkan, pendirian ini dapat diteruskan oleh UKM bagi menjamin kebebasan akademik dalam kalangan warga UKM. Semoga UKM terus maju dalam usaha menjadi “Guardian of The Nation” dan seruan saya buat seluruh mahasiswa/I UKM, nantikan suatu lagi sejarah pentas politik tanah air di UKM.






Mustapha Kamil Husen Bin Abdul Kadir
MPP Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Tahun 3/4
YDP PMUKM Sesi 13/14






TINTA YDP PMUKM
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::