Jumaat, Mei 02, 2014

TSUNAMI BUKU JALANAN : PEMBUDAYAAN AMALAN MEMBACA DALAM KALANGAN MAHASISWA



Pada 30 April 2014, UKM Bangi - Satu program berbentuk santai telah dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) di bawah Biro Pembangunan Mahasiswa iaitu Tsunami Buku Jalanan yang bertempat di Aras 3, Bangunan Pusanika. Program buku jalanan ini akan dilaksanakan bersama-sama pengasas buku jalanan terpilih yang ada di sekitar Selangor. Selain itu, program ini juga akan dihadiri oleh penduduk Bandar Baru Bangi. Penglibatan mereka adalah sangat penting untuk menyediakan satu platform interaksi antara mahasiswa dan juga masyarakat setempat. 


Satu medium dua hala disediakan untuk mahasiswa bertukar ilmu bersama penulis buku, pengasas buku jalanan, cendekiawan dan juga masyarakat setempat. Pertukaran ilmu tersebut adalah melalui pengucapan awam yang dilakukan oleh peserta-peserta yang hadir mengenai buku yang dibaca oleh mereka. Ianya juga adalah bertujuan untuk menggalakkan budaya membaca disamping meningkatkan keyakinan mahasiswa untuk berkomunikasi di hadapan orang ramai. 

Program ini dijalankan adalah untuk memupuk semangat membaca dalam kalangan mahasiswa di Ukm dengan menarik minat mereka dengan medium yang lebih ringan dan santai namun mempunyai kandungan yang berat untuk difikirkan. Hal ini berikutan, program buku jalanan kali ini membawakan perbezaan daripada buku jalanan sebelum ini yang mana penganjur telah memuatkan kandungan seperti perkongsian ilmu daripada penulis-penulis buku seperti Prof Che Husna Azhari yang juga merupakan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB). Selain mengetengahkan pensyarah, penganjur juga membuka peluang dan kebebasan kepada para pelajar untuk turut serta dalam menyampaikan idea mereka melalui perkongsian ilmu tersebut. 

Antara pelajar yang terlibat seperti Yasier Mahayudin, pelajar tahun tiga Sains Politik yang berkongsi mengenai ‘Membaca dan Revolusi’. Turut serta dalam perkongsian ini adalah pelajar daripada Fakulti Pengajian Islam iaitu Anis yang membawakan perkongsian ringkas mengenai ilmu falsafah. Bahkan juga, program ini disertai oleh Timbalan PKPIM iaitu Saudara Fazril yang membincangkan isu pembudayaan ilmu. Lebih hangat lagi, jemputan Benz Ali menaikkan suasana apabila membincangkan isu ‘Mahasiswa dan Membaca’. Sedikit intipati yang dapat dikongsi bersama adalah Benz Ali menyeru kepada mahasiswa untuk bukan sekadar membaca semata-mata bahkan menulis untuk mencambahkan lagi pemikiran sedia ada. Selain itu juga, Tsunami Buku Jalanan turut membawakan kepada mahasiswa bacaan puisi yang dideklamasikan oleh Dayang Nur Sakini, Maisarah, Razan dan juga Syazwana. Walau bagaimanapun, seorang jemputan iaitu Prof Datuk Dr Agus tidak dapat hadir lantaran mempunyai tugas lain di Putrajaya. 

Tsunami Buku Jalanan ini diharapkan dapat membantu mahasiswa untuk lebih progresif dan membantu melatih mahasiswa untuk membiasakan diri dengan pelbagai lapangan ilmu yang ada. Bahkan ini juga satu suasana dan keadaan yang baru untuk ditelesuri oleh mahasiswa di Ukm.







Fatin Zulaikha Hamdan
MPP Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Tahun 3/4
Biro Pembangunan Mahasiswa PMUKM sesi 13/14







::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::