Khamis, November 21, 2013

PEMBELIAN ZA’BA VS PENSTRUKTURAN YURAN KOLEJ KEDIAMAN




SATU PENANTIAN
Tanggal  1 November 2013 UKM secara rasminya telah mengambil alih Kolej Pendeta Za’ba (KPZ) dari pengurusan Kausar Corporation Sdn Bhd dan majlis pengambilalihan  telah berlangsung pada 20 November 2013 yang  disempurnakan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Shahabudin di Kolej Pendeta Za’ba. Dengan pengambilalihan ini UKM berkuasa penuh ke atas segala hal-hal berkaitan terutamanya yuran kolej yang tinggi serta menjadi rungutan mahasiswa sejak dahulu lagi. Usaha untuk mengambilalih pengurusan KPZ sudah lama dijalankan tetapi atas beberapa faktor proses ini berlanjutan untuk beberapa tahun. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak terutama Kerajaan Malaysia dan pihak Pengurusan UKM dalam pengambilalihan ini.

PENSTRUKTURAN YURAN KOLEJ KEDIAMAN

Pengambilalihan ini sudah tentunya menjadi pertanyaan kebanyakan penghuni KPZ, bilakah mereka akan menikmati yuran yang rendah seperti penghuni kolej lain? Pada peringkat PMUKM, kami yakin pihak Pengurusan UKM sudah ada perancangan penstrukturan yuran penginapan yang baik untuk kesemua kolej di UKM. Penstrukturan ini sememangnya  membawa pengurangan dalam yuran kediaman KPZ dan KKM. Berdasarkan prinsip ekonomi, “peningkatan perbelanjaan kerajaan akan juga membawa kenaikan cukai”. Justeru  pengurangan yuran kolej KPZ dan KKM ini perlu ‘ditampung’ dengan menaikkan yuran kolej lain. Penstrukturan yuran ini dilihat akan menaikkan yuran kolej kediaman yang mempunyai kadar RM2.50 yang merupakan yuran penginapan yang termurah dibandingkan IPTA sekitar Selangor.

PENAMBAHBAIKAN INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN KOLEJ

Persoalannya, sejauh manakah pengambilalihan dan penstrukturan yuran kolej ini dapat meningkatkan infrastruktur dan kemudahan kolej? Jika benar-benar yuran penginapan sebahagian kolej meningkat, sudah tentu penghuni kolej tersebut mahukan kemudahan yang lebih baik dengan kadar yuran penginapan yang tinggi. Dalam hal ini, pengurusan UKM perlu ada cetak biru apa yang pihak pengurusan UKM akan berikan sebaik penstrukturan yuran penginapan ini dilakukan. Cetak biru ini perlu diketahui mahasiswa/i dan menjadi satu janji di antara mahasiswa/i dengan pihak pengurusan UKM.

TINDAKAN PMUKM

Kami di peringkat PMUKM akan berjumpa dengan Jabatan Bendahari tidak lama lagi untuk mendapatkan maklum balas berkaitan perkara ini. Di samping itu, isu ini akan disuarakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kebajikan yang dipengerusikan sendiri oleh Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Shahabudin, untuk solusi yang menjamin serta melestarikan kebajikan mahasiswa/i UKM.




MUFADDAL BIN MUSTANSIR
MPP Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Tahun 3/4
Bendahari PMUKM Sesi 2013/2014
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::