PMUKM 2014/2015

Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti

Muhammad Sallehudin Bin Khalid

Presiden PMUKM Sesi 14/15

Universiti Kebangsaan Malaysia Varsiti Tercinta

Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan

Ucapan Tun Abdul Razak

Majlis Konvokesyen Pertama UKM

Jumaat, Julai 12, 2013

PMUKM DAN MMP: HAK DAN TANGGUNGJAWAB

Salam Ramadhan.

Baru-baru ini, kami daripada pihak PMUKM ada mengutarakan beberapa tuntutan berkenaan peranan kami semasa Minggu Mesra Pelajar UKM (MMP) serta wakil Persatuan Mahasiswa Fakulti bagi slot bersama fakulti kepada pihak Naib Cancelor UKM. Tuntutan ini merupakan hasil persidangan kesemua MPP PMUKM.


Saya tak akan sebutkan kandungan tuntutan tersebut selagi belum mendapat maklum balas dan respon daripada wakil pentadbiran. Kami punya sebab dan alasan yang kukuh bagi menyatakan tuntutan berkenaan peranan kami semasa MMP dan beberapa perkara lagi berkaitan MMP yang dilihat agak kabur dan tidak jelas.

MPP yang dipilih oleh mahasiswa/i sepatutnya diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam perancangan dan pengurusan MMP. Pada pandangan saya, ianya bukan sekadar peluang bahkan hak dan tanggungjawab MPP. Hak ini seolah-olah hilang tanpa kita sedar apabila Gabungan Mahasiswa UKM mula menguasai PMUKM bagi sesi 2010/2011.

Begitu juga dengan slot di fakulti, perwakilan Persatuan Mahasiswa Fakulti (PMF) sepatutnya diberikan kepercayaan penuh untuk mengendalikan dan menguruskan slot fakulti semasa MMP. Termasuklah menjadi tempat rujuk bagi mahasiswa/i baru di fakulti masing-masing.

Saya yakin, niat dan hasrat pentadbiran untuk melicinkan urusan dan perjalanan MMP. Jadi, saya mengharapkan agar ada respon dan maklum balas segera terhadap tuntutan yang telah kami kemukakan.

Autonomi Mahasiswa Merealisasi Falsafah Varsiti

Presiden PMUKM 12/13

Ahmad Shukran Shaharudin





Khamis, Julai 11, 2013

TAHNIAH & SELAMAT DATANG

Hari ini, pelajar lepasan STPM/setaraf  masing-masing telah dapat menyemak keputusan permohonan kemasukan ke IPTA bagi sesi pengajian 2013/2014. Ucapan tahniah kepada rakan-rakan yang berjaya menyambung pengajian ke menara gading. Bagi yang tak berjaya, masih ada peluang kedua.

Selamat datang juga diucapkan buat rakan-rakan yang bakal bergelar mahasiswa/i Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kehadiran anda ke perbukitan ilmu ini sangat dinanti-nanti. Pastikan anda sudah cukup bersedia untuk berpencak di alam kampus. Realiti kehidupan alam kampus sangat jauh berbeza dengan alam sekolah, dan juga matrikulasi. Bagi rakan-rakan lepasan diploma, mungkin anda sudah ada pengalaman hidup di alam kampus.

Bagi menyediakan bantuan dan pertolongan untuk melengkapkan persediaan anda ke UKM, kami telah mewujudkan satu facebook group. Group ini mengumpulkan rakan-rakan bakal mahasiswa/i UKM. Sebarang persoalan berkenaan UKM, biasiswa dan yang berkaitan dengannya akan cuba dijawab oleh wakil MPP PMUKM dibantu rakan-rakan senior UKM yang berautoriti.


FB Group


Selamat datang

SEMAKAN UPU

Menjadi satu impian dan cita-cita anak muda yang cintakan ilmu, untuk bergelar sebagai mahasiswa/mahasiswi dan menjejakkan kaki di menara gading sebagai pengemis ilmu.

Insha Allah, tengahari ini akan dibuka semakan keputusan bagi permohonan kemasukan ke IPTA bagi program Pengajian Ijazah Pertama bagi lepasan STPM/setarah sesi 2013/2014.

Banyakkan doa mudah-mudahan beroleh universiti pilihan. Selamat datang kepada bakal mahasiswa/i UKM.

Autonomi Mahasiswa Merealisasi Falfasah Varsiti

Presiden PMUKM 12/13


p/s: Semakan boleh dibuat mulai jam 12.00 tengahari






Rabu, Julai 10, 2013

PERUTUSAN RAMADHAN : RAMADHAN BULAN MUHASABAH

Alhamdulillah, puji-pujian kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Dalam keadaan kita yang sentiasa alpa, lalai daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba-Nya, Allah dengan penuh kasih sayang, masih beri kita peluang untuk terus menggalas tugas sebagai hamba-Nya. Peluang untuk terus hidup dalam bulan Ramadhan, penghulu bulan ini adalah antara rahmat dan nikmat yang Allah tak beri kepada semua hamba-Nya. Berapa ramai manusia di sekeliling kita, dipanggil lebih awal untuk bertemu Allah sebelum sempat bersua dengan Ramadhan.

Doa yang dimakbulkan

Keberadaan kita dalam Ramadhan hari ini sebagai alamat, tanda yang Allah dah makbulkan doa kita. Doa yang sering kita baca seawal Rejab lagi,

“Ya Allah berilah keberkatan kepada kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan”

Seharusnya kita sedar dan menginsafi akan hal ini, betapa Allah sangat sayang kepada hamba-Nya dan memakbulkan doa kita untuk terus hidup hingga ke bulan Ramadhan. Bahkan hal ini sepatutnya menjadi penguat kepada keyakinan dan keimanan kita terhadap keagungan dan kehebatan Allah.

Mesir di mata dunia

Sebelum tibanya Ramadhan, kita dikejutkan dengan satu peristiwa yang berlaku di bumi anbia’, bumi 
Kinanah, Mesir. Mesir suatu ketika dahulu pernah mengejutkan manusia seluruh dunia apabila rejim Hosni Mubarak berjaya digulingkan dengan kuasa rakyat, kini kembali menarik perhatian kita apabila Presiden Morsi yang dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi dirampas kuasanya oleh pihak tentera.

Perkara sebegini bukan pertama kali berlaku kepada gerakan Islam yang memilih jalur demokrasi sebagai medium perjuangan. FIS dan Reffah Party merupakan contoh yang dekat dengan kita, dinafikan hak untuk mentadbir setelah berjaya menang dalam pilihan raya. Muhasabah buat kita untuk sentiasa berhati-hati dalam meniti perjuangan yang penuh ranjau ini. Musuh Islam takkan pernah duduk senang melihat kejayaan dan kebangkitan Islam.

Saya mengajak untuk kita melihat apa yang berlaku hari ini sebagai satu proses pembelajaran yang telah Allah zahirkan pada pandangan kita. Amat rugi andai kita langsung tidak ambil pengajaran atas setiap peristiwa yang berlaku.

Ramadhan yang sangat singkat

Ramadhan sering kali disebut sebagai Sekolah Tarbiyah. Melalui Sekolah Tarbiyah ini, akan lahir manusia yang betul-betul bertaqwa. Ramadhan juga merupakan bulan yang padanya diturunkan Al-Quran kepada rasul yang kita cintai, Muhammad S.A.W. Al-Quran merupakan kitab yang padanya tidak ada keraguan dan menjadi petunjuk buat hamba Allah yang bertaqwa, seiring dengan  produk Sekolah Tarbiyah.

Rebutlah peluang yang Allah berikan pada kita, dan manfaatkan sebulan yang sangat singkat ini untuk kita gapai redha Allah. Sebulan yang singkat ini, tidak lain tidak bukan adalah bulan bagi mempersiapkan kita untuk mengharungi baki sebelas bulan ke hadapan sebelum kita bertemu semula dengan Ramadhan.

Mahasiswa cinta Ramadhan

Akhir kalam, saya mengajak rakan-rakan mahasiswa/i beragama Islam untuk sama-sama kita mencintai Ramadhan. Perasaan cinta ini akan menjadikan kita lebih menghargai sebulan yang singkat ini, seterusnya memanfaatkan Ramadhan dengan tidak membiarkan sesaat daripadanya berlalu tanpa amal ibadat.

Salam Ramadhan dan selamat berpuasa


Presiden PMUKM 12/13



Isnin, Julai 08, 2013

KEMBARA ILMU SMA SG PETANI KE UKM


6 Julai 2013, UKM Bangi – Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) menerima lawatan rasmi daripada guru-guru dan para pelajar dari Sekolah Menengah Agama Sungai Petani, Kedah bagi ‘Lawatan Kembara Ilmu’ di sekitar UKM.

Dalam lawatan ini turut dihadiri oleh badan mahasiswa Islam induk UKM iaitu Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM). Sesi lawatan dimulakan dengan pengenalan sekitar kawasan UKM seperti Perpustakaan Tun Seri Lanang, bangunan Pusanika, lawatan ke Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dan lain-lain. Seterusnya diteruskan dengan sesi taklimat dan perkongsian daripada MPP PMUKM dan wakil-wakil dari ISIUKM bersama para pelajar Sekolah Menengah Agama Sungai Petani di Auditorium Siswa, Bangunan Pusanika. Pelbagai perkongsian pengalaman, nasihat dan kata-kata dorongan diberikan semasa sesi santai bersama para pelajar tersebut.


“Pihak PMUKM mengucapkan selamat maju jaya dalam peperiksaan SPM yang bakal ditempuhi dan berbesar hati kiranya UKM menjadi pilihan utama untuk menyambung pengajian pada masa akan datang.”, kata Nur Afifah Abd Rahim, Naib Presiden I PMUKM. PMUKM mengucapkan ribuan penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung.





Autonomi Mahasiswa Merealisasi Falsafah Varsiti

Rabu, Julai 03, 2013

MAKLUMAN KEPADA PELAJAR TAHUN 3 FKAB SESI 2012/2013

Bagi pelajar Tahun 3 daripada Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB) Sesi 2012/2013 yang mengalami masalah pendaftaran Latihan Industri (LI), saudara/i boleh menyemak nama di dalam https://smp.ukm.my/smpweb/.

Jika tiada, sila emelkan no. matrik, nama, dan jabatan anda pada ila@eng.ukm.my selewat-lewatnya 5 Julai ini jam 10.00 pagi.

Mukhsen Abd Kadir
Pengerusi Biro Perhubungan dan Pengantarabangsaan
Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM)
YDP Pematra Ukm

AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI


SINOPSIS FORUM ADAKAH TPPA SATU BENTUK PENJAJAHAN MODEN AMERIKA? - Anas Alam Faizli

Trans Pacific Partnership (TPP).
Satu forum berkenaan TPPA telah dianjurkan bersama oleh badan bersama Blindspot, DPMM, MTUC, GBM, dan IKRAM bertempat di Dewan Perhimpunan Cina pada 27 Jun 2013, 8.00 malam.
Tiga panelis utama terdiri daripada Dr Rosli Yaakob, Cik Fifa Rahman dan Prof Nazari Ismail dibantu moderator Anas Alam Faizli telah berjaya mengemukakan pandangan masing-masing, tetapi pihak pengajur mendapat peluang mendengar sendiri maklumbalas daripada ketua perunding Saudara J Jayasiri. Penganjur sangat berterima kasih dengan kerjasama daripada ketua perunding.

Objektif Forum diadakan:
·         Memupuk kesedaran awam mengenai isu TPPA yang bakal memberi kesan besar kepada negara.
·         Mendesak kerajaan untuk memberi disclosure mengenai isu kandungan perjanjian TPPA.
·         Menubuhkan gabungan bertindak terdiri daripada NGO-NGO untuk membawa isu-isu TPPA.
·         Mendesak kelulusan perjanjian TPPA dibuat bukan di Kabinet tetapi melalui penelitian Parlimen / Jawatankuasa Khas Parlimen.
·         Memohon kerajaan memberikan keputusan kajian laporan penuh Cost Benefit Analysis yang dibuat oleh UNDP.

Antara tetamu yang hadir adalah YB Nurul Izzah, YB Saari Sungib, Dato Alayuddin (DPMM Putrajaya), Khalid Atan (presiden MTUC), Syed Shahir (bekas presiden MTUC), Wan Saiful Wan Jan (CEO IDEAS), Zul Fikri Zamir (Chairman TFTN), Syed Ibrahim (IKRAM), Ho Yock Lin (GBM), Tan Sri Abd Aziz (bekas pengerusi MAS), Puan Che Mazni (Pengarah Dasar & Penyelarasan FTA, MITI), ahli-ahli NGO dari IKRAM, ISMA, Penang Institute, MTUC, DPMM, MAPEM, KLSCAH, IRF, SUARAM, pensyarah dan pelajar Universiti serta ahli-ahli perniagaan.
Moderator, Anas Alam Faizli (Co-Founder BLINDSPOT) memulakan forum dengan memberikan sedikit latar belakang mengenai perjanjian TPPA dan sejarahnya, status penglibatan  Malaysia dan status terakhir perjanjian TPPA. Pusingan rundingan berikutnya akan diadakan di Kota Kinabalu, 15 – 22 Julai dan perjanjian dijangka ditandatangani Oktober 2013. Penting untuk memastikan bahawa perjanjian TPPA ini akan mengutamakan kepentingan kedaulatan negara  dan kebajikan rakyat – lebih dari apa2 manafaat perdagangan yang mungkin diperolehi dari perjanjian TPPA. Apapun manafaat perdagangan tersebut  boleh dipertikaikan – sayugia tidak wajar untuk menanggung risiko tinggi mengharungi satu perjanjian yang penuh dengan ranjau.
Antara isu pokok yang diambil perhatian adalah peningkatan kos ubat, pencorotan hak pekerja, isu rokok, artikel 153, kedaulatan undang-undang, SME, akta hak-cipta, penjajahan ekonomi dan isu HALAL.
Panelis, Cik Fifa Rahman (Policy Manager, Aids Council) seterusnya memberikan fakta dan bagaimana harga ubat akan naik dengan pemanjangan tempoh patent dan menyebabkan ubat generic (ubatan tidak punyai jenama) lebih lambat dihasilkan atau tidak langsung boleh dihasilkan disebabkan peraturan ‘evergreen’ yang boleh membenarkan patent di sambung sampai bila2.
Fifa menjelaskan beberapa dasar TPP yang akan menyebabkan ianya sukar untuk membuat ubatan generik yang lebih murah, termasuk data exclusivity. Dia juga menceritakan tentang harga ubatan kanser yang amat mahal (RM9,600-RM10,000) oleh kerana banyak ubatan kanser merupakan ubatan biologik (dihasilkan daripada bahan hidup), ia akan terikat dengan exclusivity untuk 12 tahun. Cik Fifa kemudiannya menjawap 2 soalan dan terpaksa meninggalkan majlis untuk program lain.
Panelis, Dr Rosli Yaakob menerangkan bahawa perjanjian TPP adalah di rangka berdasarkan konsep dan  rangka NAFTA (FTA antara US, Canada dan Mexico –yang ditandatangi pada 1994). Maka kita boleh menjangkakan kesan-kesan negatif yang boleh berlaku dibawah perjanjian TPP ini berdasarkan beberapa  pertikaian dan litigasi yang telah berlaku dalam perjanjian NAFTA tersebut. Begitu juga dengan FTA (perjanjian perdagangan bebas) antara US dan Peru.
Dr Rosli telah memberi contoh pertikaian antara syarikat US dan kerajaan Peru – dimana syarikat US itu telah menyaman kerajaan Peru sebanyak USD4.2 billion walaupun syarikat itu yang jelas telah mencemar sungai2 dengan racun2 kimia yang membunuh rakyat Peru terutama kanak2.
Malah syarikat seperti LYNAS juga boleh menyaman kerajaan Malaysia jika agensi alam sekitar menyekat operasi mereka dengan penguatkuasaan peraturan alam sekitar. Ini bermakna undang2 bagi keselamatan dan  kesihatan awam akan jatuh sekunder pada perjanjian TPP  tersebut.
Begitu juga dengan program sosio-ekonomi saperti affirmative action  juga akan terkesan dengan TPP.  Perolehaan kerajaan di bawah TPP tidak boleh dilaksanakan untuk tujuan affirmative action atau dasar sosial yang lain.
Panelis, Prof Nazari Ismail kemudiannya menerangkan kebaikan dan keburukan trade dan menceritakan bagaimana Rasulluah saw juga adalah seorang peniaga. Jadi Islam menyokong perniagaan bebas. Namun jika ada unsur yg merosakkan masyarakat Islam akan menyekatnya. Sebab itu perniagaan arak diharamkan. Sekarang ini suasana perniagaan dirosakkan akibat dua ciri utama – syarikat adalah besar dan hutang adalah banyak.
Akibatnya ialah suasana perniagaan yg menekakan masyarakat di mana berlaku pengangguran. Ini terutama di negara barat seperti Amerika dan eropah. Bermakna TPPA bukan penjajahan Amerika sebab rakyatnya juga merana. Punca utama masalah ialah sistem yang salah yang bertunjangkan industri kewangan. Apa yang perlu ialah perubahan kepada sistem yg menjadi konteks perniagaan sekarang.
Majlis kemudiannya menjemput Encik Jayasiri ketua perunding Malaysia naik ke pentas untuk sesi soal jawab. En Jayasiri menegaskan bahawa beliau adalah rakyat Malaysia dan akan cuba yang terbaik memastikan trade agreement ini memberi kebaikan kepada Malaysia. En Jayasiri menerangkan bagaimana kita perlu memahami kenapa patent disambung untuk Intellectual Property. Moderator menanyakan mengapakah itu perlu sedangkan industri ubat adalah antara yang paling untung di dunia dan patent 20 tahun sekarang sudah memadai.
Syed Shahir, bekas presiden MTUC kemudian bertanya mengapa TPPA dijalankan dalam keadaan rahsia dan jika baik mengapa ketua perunding Chile telah tarik diri? Moderator menambah soalan dimana Thailand juga pull-out oleh kerana capital control dan Australia pula mendapat pengecualian ISDS di mana syarikat tidak boleh menarik Australia ke International Tribunal dan mereka juga mendapat pengecualiaan ubat generik.
YB Saari Sungib kemudian menanyakan bagaimana TPPA akan mengesankan kerajaan negeri Selangor dimana pelaburan bernilai RM49.74 billion.
YB Nurul Izzah mengutarakan isu system yang lebih berstruktur seperti di Amerika Syarikat yang menubuhkan Trade Congress dan kumpulan istimewa untuk meneliti perjanjian TPPA untuk memastikan mereka mendapat yang terbaik daripada TPPA; tetapi adakah Malaysia melakukan perkara yang sama? Malah CBA yang dijanjikan oleh MITI juga masih belum diterima.
YB Nurul juga meminta agar sidang hadirin bersama MITI mendesak kerajaan Malaysia meratifikasi TPPA menerusi sebuah jawatankuasa parlimen yang dibentuk, mekanisme pemantauan ini bakal membantu Rakyat menilai serta memastikan keberkesanan TPPA.
Saudara Azlan telah menanya jika jurang antara miskin dan kaya tidak akan ditangani  dalam perlaksanaan ETP walaupun ekonomi dijangka berkembang hingga  mencapai RM 1,700 billion pada 2020 – tidak kah liberalisasi dibawah TPP ini akan menjadikan jurang kemiskinan lebih teruk lagi?
Saudara Zahir Hassan dari IKRAM mengatakan bahawa beliau tidak akan dapat tidur nyenyak selagi beliau tahu apakah bidang kuasa perunding-perunding daripada MITI.
Wakil MTEM, Sdr Aliff Basri pula mengadu mengenai jawapan yang mereka masih tunggu dari Menteri MITI setelah beberapa perjumpaan diadakan bersama beliau.
Sesi soal jawap diteruskan dan dijawap oleh kesemua panelis termasuk En Jayasiri. Forum kemudiannya ditutup dengan komitmen dari hadirin untuk meneruskan agenda dan objektif yang disarankan oleh BLINDSPOT serta rakan-rakan NGO (DPMM, MTUC, GBM, IKRAM dan lain-lainnya).

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.


AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI

Selasa, Julai 02, 2013

LAWATAN DARI UNIVERSITAS MULAWARMAN, INDONESIA

PMUKM, ISIUKM, dan mahasiswa/i
Universitas Mulawarman.
2 Julai 2013, UKM Bangi – Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) menerima lawatan rasmi daripada Yayasan Peduli Pemuda Indonesia Kalimantan Timur (Youth Care Indonesia Foundation) dan mahasiswa/i daripada Universitas Mulawarman. Rombongan ini diketuai oleh saudara Muhammad Napri, Ketua Youth Care Indonesia Foundation.


Dalam lawatan ini juga turut dihadiri oleh badan mahasiswa Islam induk UKM iaitu Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM). Sesi lawatan dimulakan dengan pengenalan sekitar kawasan UKM seperti di Perpustakaan Tun Seri Lanang, muzium-muzium UKM, dan lain-lain. Seterusnya diteruskan dengan sesi Perbincangan Meja Bulat antara PMUKM dan ISIUKM bersama mahasiswa Universitas Mulawarman. Pelbagai lontaran dan percambahan idea  yang berlaku semasa sesi persidangan tersebut.

“Pihak PMUKM berbesar hati menerima lawatan ini dan berasa bangga kerana UKM antara yang telah dipilih sebagai destinasi lawatan dalam program yang dianjurkan oleh Youth Care Indonesia Foundation.”, kata Ahmad Shukran Shaharudin, Presiden PMUKM. PMUKM juga ingin mengucapkan ribuan penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat sama ada secara lansung atau tidak lansung.
Lawatan ke PTSL UKM.
Lawatan ke Muzium UKM.
Sesi Perbincangan Meja Bulat.
AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI

Isnin, Julai 01, 2013

OPS MASYARAKAT MEGA (OMM) PMUKM

AJK Program OMM PMUKM.
29 Jun 2013, Bandar Baru Bangi – Program Ops Masyarakat Mega (OMM) anjuran Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) dengan kerjasama Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi berjalan dengan lancar. Program ini merupakan antara program yang dianjurkan oleh PMUKM mempunyai penglibatan mahasiswa/I bersama masyarakat luar.

Antara program yang dijalankan adalah gotong-royong membersihkan masjid, rewang, pameran bertemakan ‘Jom Masuk U’, pertandingan mewarna, dan lain-lain. Aktiviti kemuncak program adalah kuliah maghrib dan mendapat sambutan yang sangat memberansangkan. Pihak masjid berbesar hati bekerjasama bersama PMUKM dalam mengadakan kerjasama dalam program ini. Ini merupakan respon yang baik daripada masyarakat luar kampus kerana bersama-sama dengan masyarakat kampus mengadakan aktiviti.
Sesi gotong-royong.
Sesi gotong-royong.
Rewang bersama masyarakat.
Sesi pertandingan mewarna.
Pameran 'Jom Masuk U'.
Kuliah Maghrib.

AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI