|
Prof Yasmin berucap di syarahan Perdana |
KUALA
LUMPUR, 12 Okt 2012 – Seorang Professor di Jabatan Biokimia Fakulti Perubatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM) mendapati bahawa sejenis tumbuhan alga
berpotensi melawan dan mematikan sel kanser.
Professor Dr Yasmin Anum Mohd Yusof yang telah banyak melakukan
penyelidikan terhadap alga berkata alga jenis Chlorella Vulguris (CV) didapati
boleh mengurangkan pembiakkan sel kanser hati malah dapat mempengaruhi apotosis
sel kanser itu.
Berucap di syarahan Perdana beliau di sini hari ini, Prof Yasmin
berkata sejenis tumbuhan alga boleh mendatangkan fenomena apotosis ia itu
mematikan sel.
Sel barah diketahui kerana kemampuannya untuk bercambah dengan
cepat selain mempunyai daya tahan yang kuat melindungi dirinya dari sebarang
bahan yang mengancamnya. Sel barah juga turut mematikan sel-sel sihat dan
mengkitar semula sel itu menjadi sel barah.
Professor Yasmin berkata apa yang menakjubkan mengenai CV adalah
ia memberikan tindakan yang sama tetapi mematikan sel barah serta menukarkanya
menjadi sel sihat.
Dengan itu ia mampu mengembalikan sel barah menjadi sel sihat
semula. Tindakan seperti ini hanya dapat di lihat dalam rawatan kimoterapi,
yang mempunyai banyak kesan sampingan negatif seperti menggugurkan rambut.
Kajian yang telah dijalankan Prof Yasmin dan pasukan penyelidiknya
ke atas binatang menunjukkan manfaat sampingan oleh alga itu yang perlu di beri
perhatian oleh saintis dunia.
Kajiannya turut menunjukkan bahawa CV mampu mengurangkan inflamasi
dalam binatang yang mengidap barah hati.
“Kajian kami juga menunjukkan CV mempunyai kesan anti inflamasi
pada tikus yang teraruh dengan kanser hepar,” katanya.
Selain itu alga CV juga mampu melambatkan proses penuaan,
mempercepatkan rawatan luka dan melindungi DNA daripada dirosakkan oleh radikal
bebas yang terhasil dari penyakit kencing manis.
Beliau dan pasukannya juga telah menemui cara untuk meningkatkan
nutrien dalam alga dengan mengawal kadar karbon dioksida dan pengcahayaan yang
berikan kepada alga yang dikultur.
Prof Yasmin dan pasukannya turut mendapati bahawa kadar nurtrien
dalam CV yang dikultur akan meningkat dengan banyaknya apabila kadar karbon
dioksida dinaikkan dari 1 hingga 10 peratus dan pengcahayaan ditambah dari 12
jam hingga 24 jam.
Mereka telah membiakkan alga mereka sendiri dengan mengkulturnya
dalam sebuah kolam binaan yang di tempatkan di atas bangunan Fakulti Sains
Kesihatan terletak ditengah bandar Kuala Lumpur.
Hasil penemuan mereka itu, Prof Yasmin berkata mereka berhasrat
mengkultur alga dalam bio reaktor pula.
Pengkulturan alga dalam bio-reaktor adalah dengan membiakkan alga
dalam tiub kaca. Cara ini lebih efisien kerana kualiti air dapat dikawal.
Oleh sebab bio-reaktor, membolehkan alga dihasilkan dengan
banyaknya, ia akan memerlukan kuantiti karbon dioksida yang besar. Kegunaan ini
dapat pula membantu mengurangkan fenomena pemanasan global.
Prof Yasmin adalah seorang pakar alga dan sering dijemput untuk
memberi ceramah di luar negara. Beliau telah menghaslkan lebih 75 artikel yang
diterbitkan dalam jurnal di mana 34 daripadanya adalah jurnal terindeks ISI.
Turut hadir pada syarahannya itu ialah Naib Canselor UKM, Prof Tan
Sri Dato' Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Dekan Fakulti
Perubatan, para pelajar, anggota keluarga dan rakan-rakannya.
Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti