BANGI, 15 Dis (Bernama) - Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Tan Sri Dr Kamal Hassan dan Prof Dr Looi Lai Meng Rabu diumumkan sebagai penerima anugerah Profesor Ulung.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika membuat pengumuman itu berkata setiap penerima diberi elaun tambahan RM10,000 selain gaji bulanan gred tertinggi turus dan geran penyelidikan.
Katanya Profesor Ulung merupakan ikon dan sarjana yang boleh dicontohi dan boleh dianggap milik negara kerana sumbangan mereka selepas ini sewajarnya merentasi institusi pengajian tinggi yang mereka wakili.
"Gelaran profesor merupakan satu gelaran yang eksklusif, hanya mereka yang berilmu dan diiktiraf di kalangan rakan akademik sahaja yang dapat menggunakan gelaran tersebut (tetapi) sebaik sahaja mereka meninggalkan institusi pengajian tinggi, gelaran tersebut tidak lagi boleh digunakan," katanya pada majlis penganugerahan Profesor Ulung itu di sini.
Shamsul Amri merupakan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala Kamal pernah menjadi Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 1999 hingga 2006.
Beliau kini bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, UIAM.
Looi adalah Profesor Kanan Patologi di Universiti Malaya.
Menurut Khaled, pelantikan Profesor Ulung ini merupakan tindakan proaktif kementerian selepas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 pada Mac lepas bagi memperbaiki skim perkhidmatan akademik khususnya profesor.
Katanya peranan dan aktiviti Profesor Ulung di masa hadapan tidak sahaja terbatas faedahnya kepada kalangan pensyarah, pelajar dan juga universiti malah tersebar luas kepada institusi kerajaan, organisasi awam dan juga masyarakat tempatan.
Sambil menyifatkan mereka sebagai milik negara, Khaled berkata penganugerahan ini meskipun bertujuan mengiktiraf tetapi bukanlah bersifat seperti Anugerah Pencapaian Sepanjang Hidup tetapi satu dorongan untuk mereka menyumbang lebih banyak lagi kepada negara.
"Jika enam bulan yang lalu, kita telah menyaksikan penubuhan Majlis Profesor Negara yang jelas menggambarkan pengiktirafan kerajaan terhadap 1,550 profesor untuk menjadi intelektual awam dan pemikir negara dan kini, dengan penganugerahan Profesor Ulung pada hari ini, pengiktirafan terhadap mereka semakin tinggi dan terserlah lagi," kata Khaled.
Menurut beliau, memandangkan pensyarah merupakan golongan cerdik pandai dan pemikir, jika lebih ramai jumlahnya, pasti ia memberi gambaran yang lebih baik kepada negara.
"Harapan kita adalah lebih ramai generasi muda yang berkelayakan terdorong untuk menyertai profesion pensyarah dan menjadi pelapis kepada kelompok intelektual sedia ada," kata Khaled.
Katanya kementerian percaya dengan adanya inisiatif dan insentif seumpama ini, universiti juga tidak akan menghadapi masalah di masa akan datang khususnya dalam menarik minat profesor-profesor yang berkelayakan bagi dipertimbangkan lantikan ke gred berkenaan.