Selasa, Disember 07, 2010

Salam Maal Hijrah 1432H


Satu Muharam Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi Dan Umat Islam
Dari Kota Mekah Ke Kota Madinah

Atas Keyakinan Dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin Dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta Dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta

Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan

Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang Zaman
Untuk Sepanjang Zaman


MPP Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) mengucapkan 'Selamat menyambut Tahun Baru Hijrah' atau lebih kita kenali sebagai Awal Muharram 1432H. Dengan tema '1Malaysia 1Ummah' apa yang boleh diharapkan kepada ummah hari ini khususnya di Malaysia adalah sama-sama kita berusaha menjadikan tahun baru ini lebih baik dari tahun lalu. Jadikan ia satu permulaan untuk ke jalan kebaikan dan meninggalkan segala kemungkaran. Ambillah ibrah hijrah yang sebenar seperti hijrah nabi kita yang kita sayangi Nabi Muhammad SAW. Amin.

Sesungguhnya, kesan langsung peristiwa hijrah pada zaman Nabi Muhammad SAW ialah menyelamatkan umat Islam daripada tekanan dan siksaan orang kafir Mekah. Itu semua sudah maklum. Namun hikmah yang lebih besar ialah Rasulullah SAW berjaya membangunkan ummah yang semakin kuat dan hebat; sebelum diteruskan lagi selepas kewafatannya oleh para sahabat, dan diperluaskan di zaman pemerintahan Ummaiyah dan Abbasiah.

Justeru perlu diambil iktibar, biarpun baginda SAW dan para sahabat tertekan berada di bawah kezaliman kaum kuffar di tanah air sendiri, maka baginda SAW berstrategi bergerak ke negeri lain, menyusun langkah kembali dan sesudah berjaya membina kekuatan anggota yang diperlukan; tanpa melupakan peranan kebergantungan kepada Ilahi, yang akhirnya baginda SAW dan para sahabat berjaya membuka kembali tanah air yang dicintai iaitu Makkatul Mukarammah tanpa menumpah setitis darah pun.

Ini sekadar pesanan buat teman-teman, rakan-rakan seperjuangan gerakan di luar sana. Tidak kisah apa dasar gerakan kita sama ada gerakan mahasiswa, gerakan agama, gerakan politik mahupun apa-apa gerakan; serta atau apa posisi kita di dalam gerakan tersebut. Perlu diambil ibrahnya bahawa inilah yang dimaksudkan strategi. Apa yang sebenarnya kita boleh ambil pengajaran ringkas daripada hijrah baginda SAW dan para sahabat;

(i) kadang-kala kita terlalu tertumpu kepada pembinaan kekuatan fizikal sehingga kita terlupa kepada pembinaan kerohanian. Harus dingatkan sengaja Tuhan lambatkan kemenangan kita semata-mata ingin melihat kita insaf dan akhirnya melutut kembali bertaubat dan bertawakkal kepada-Nya. Dan setelah kemenangan dicapai, jangan lupakan-Nya. Sentiasa ingati-Nya kerana Dia lah Pemegang segala-galanya; Pemilik sekalian alam, terdahulu, kini dan selamanya.

(ii) tinggikan syiar Islam daripada yang lain. Kedapatan hari ini gerakan terlalu menumpukan kerja-kerja politik (tidak kira dilabelnya 'politik nilai' , 'politik kebajikan' hatta 'politik demokrasi tulen') , sehingga kita terlupa hakikat dan falsafah sebenar perjuangan yang kita laungkan. Lupakah kita kepada ayat Al-Quran; "Barangsiapa membantu agama Allah pasti Allah akan membantu kalian "

(iii) fokus dalam meletakkan, menunai dan melunaskan kembali segala visi, misi dan objektif serta janji-janji dalam manifesto terdahulu. Kedapatan ahli gerakan hari ini yang semakin lupa dengan asas dan dasar gerakan mereka sendiri. Sekadar pesanan buat semua ahli gerakan khususnya gerakan mahasiswa hari ini; bukan sekadar di UKM tetapi seluruh IPTA dan IPTS, jangan lupa atau buat-buat lupa akan segala benda asas dan dasar ini semua kerana dikhuatiri teman-teman yang selama ini meletakkan kepercayaan kepada kita akhirnya akan berpaling setelah kita sendiri khianati asas dan dasar yang dilaung-laungkan selama ini. Dan usah dikenang jika mereka pergi jauh daripada kita kerana kita dahulu yang jauh daripada dasar gerakan kita sendiri.

Justeru adalah lebih baik kini kita membuka mata seluas-luasnya meletakkan asas dan dasar yang jelas mengenai apa sebenarnya yang boleh kita lakukan selaku ahli gerakan. Tidak kisah di mana posisi gerakan kita dan posisi kita di dalam gerakan tersebut,apa yang lebih penting marilah sama-sama kita memainkan peranan yang membina dan terus membina di samping kita mengekalkan keimanan, nilai kerohanian dan persaudaraan sejati, kita memainkan peranan menyumbang secara positif kepada pembangunan manusia, sekali gus memakmurkan bumi Allah ini. Bukankah itu tujuan kita dijadikan ?

Akhir kalam, sama-samalah kita berdoa semoga tahun Hijrah yang sudah berlalu memberikan kita pengajarannya untuk menempa kekuatan di tahun yang baru pula, dan semoga kita sentiasa diberkati Allah dan diberi petunjuk dalam melaksanakan perintahnya dan meninggalkan larangannya.

"Ya Allah, Engkaulah Yang Kekal, Yang Qadim lagi Azali dan di atas kelebihan Engkau Yang Besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang sesungguhnya telah mendatangi kami; kami memohon kepada Engkau pemeliharaan padanya daripada syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan kami memohon pertolongan dari nafsu yang banyak mendorong kepada kejahatan dan kami memohon kepada-Mu untuk melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mendekatkan diri kami kepada-Mu.

Ya Allah, Tuhan yang merubah segala keadaan, ubahlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dengan kekuasaan dan kurnian-Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Moga-moga Allah S.W.T mencucuri rahmat dan sejahtera kepada junjungan kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sahabat-sahabat sekalian.

Ya Allah, Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta hindarilah kami dari azab api neraka. Amin."