Rabu, Disember 15, 2010

884 doktor perubatan letak jawatan

Seramai 884 orang pegawai perubatan telah meletakkan jawatan bagi tempoh 2007 hingga September lalu.

NONE
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, terdapat pelbagai faktor bagi peletakan jawatan itu antaranya ialah menerima tawaran sebagai tenaga pengajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta, mengikut pasangan ke luar negara, menerima tawaran pekerjaan lain dan masalah kesihatan.

Liow berkata, terdapat dua kategori peletakan jawatan iaitu peletakan jawatan dan pelepasan dengan izin untuk berkhidmat dengan agensi kerajaan lain seperti universiti dan pihak berkuasa tempatan.

"Daripada jumlah 884 yang meletak jawatan, seramai 757 pegawai perubatan meletak jawatan untuk tidak lagi berkhidmat dengan mana-mana agensi kerajaan manakala baki 127 lagi mendapat pelepasan dengan izin,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff pada persidangan Dewan Negara hari ini.

health 150904 doctor giving advise

Beliau berkata, pada tahun 2007, seramai 167 orang Pegawai Perubatan telah meletakkan jawatan manakala bagi tahun 2008 pula 303 orang.

"Walaubagaimanapun, bilangan Pegawai Perubatan yang meletakkan jawatan menunjukkan penurunan mulai tahun lalu yang mana jumlahnya adalah seramai 217 orang dan bagi tahun ini (sehingga September) seramai 197," katanya.

- Bernama