Rabu, Jun 29, 2011

Mahasiswa Perlu Ambil Hikmah Peristiwa 27 Rejab

Umum mengetahui peristiwa yang berlaku pada malam 27 Rejab tahun yang ke-11 selepas perlantikan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul berlaku peristiwa yang bersejarah dalam Islam iaitu Isra' dan Mi'raj. Ketika itu, Rasulullah berada dalam kesedihan di atas kematian dua individu yang banyak membantunya dalam menegakkan Islam iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan Isterinya Saiyidatina Khadijah (r.ha). Pada masa yang sama, umat Islam berada dalam tekanan dan pemulauan kaum kafir Quraisy. Pada saat kegundahan itulah Rasulullah SAW diperintahkan oleh Allah Ta'ala untuk menjalani Isra' dan Mi'raj dari Masjidil Haram di Mekkah ke Baitul Maqdis di Palestin, kemudian naik ke langit yang tujuh hingga ke Sidratul Muntaha dalam tempoh hanya satu malam sahaja.

Allah SWT telah mengabadikan peristiwa ini di dalam Quran dengan firmanNya dalam surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud: "Mahasuci Dia (Tuhan) yang memperjalankan hambaNya suatu malam dari Masjidil Haram (di Mekkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya pertanda-pertanda Kami. Bahawa Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat."

Peringatan Isra' dan Mi'raj akan selalu membukakan kenangan di Tanah Palestin, tempat yang menjadi tujuan Isra' Rasulullah SAW dari Mekkah serta menjadi titik tolak Mi'raj ke Sidratul Muntaha. Dengan kata lain, setiap kali kita mengulangi kisah Isra' dan Mi'raj, pasti ingatan kita tidak akan dapat dipisahkan dengan Palestin.

27 Rejab 583 hijrah: Pembebasan Al-Quds oleh Salahuddin Al-Ayyubi
Bumi Al-Quds telah dibebaskan pada hari Jumaat 27 Rejab 583H bersamaan dengan 2 Oktober 1187 selepas 88 tahun di bawah jajahan tentera Salib. Pembebasan ini dilakukan oleh pihak muslimin di bawah kepimpinan Salahuddin al-Ayyubi, seorang pemimpin yang kuat berpegang pada agamanya, berperibadi mulia dan seorang yang beramal soleh.

Pembebasan bumi Al-Quds ini tercapai setelah tentera Islam bejaya mengalahkan tentera Salib Kristian dalam peperangan Hittin di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi. Jumlah tentera Islam ialah 12,000 orang sementara tentera salib 50,000 orang dipimpin oleh Guy of Lusignan dan Raymond III of Tripoli. Jumlah tentera Islam dalam pembebasan Baitul Maqdis pula tidak sampai 12,000 orang sementara pihak tentera salib 60,000 orang.

Peperangan ini dinamakan peperangan Hittin kerana ia berlaku di Kampung Hittin, di kaki Bukit Hittin, yang terletak di antara Tiberias dan An-Nasirah. Akhirnya tentera Salib telah tewas. Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat ditawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan, dalam peperangan ini dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini.

Dalam tempoh dua bulan selepas Salahuddin mencapai kemenangan di Hittin, tentera Islam di bawah kepimpinan Salahuddin mengambil keputusan untuk memasuki bandar dan ibukota Al-Quds. Sebanyak lima puluh buah bandar dan perkampungan yang pernah berada di bawah penjajahan tentera Salib telah berjaya dimerdekakan dalam tempoh yang terlalu singkat. Namun begitu, objektif sebenar yang dijanjikan oleh Salahuddin Al-Ayyubi kepada umat Islam ialah untuk membebaskan Al-Quds (Baitul Maqdis) dari kongkongan musuh-musuh Islam.

Untuk tujuan tersebut Salahuddin meneruskan perjalanannya bersama dengan angkatan tentera ke arah Al-Quds (Baitul Maqdis) dan berjaya mengepungnya selama seminggu sehinggalah pasukan tentera pertahanan kota menyerah diri menyebabkan Salahuddin berjaya memasukinya pada hari Jumaat bersamaan 27 Rejab 583H.

Sebaik sahaja tentera Islam berjaya memasuki Al-Quds, Salahuddin Al-Ayyubi mengambil tindakan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Saiyidina Umar bin Al-Khattab (r.a) semasa kali pertama beliau berjaya memasuki Al-Quds. Beliau membuat perjanjian dengan semua masyarakat yang tinggal di sana seperti penganut agama Kristian supaya menjaga kehidupan mereka, kehormatan mereka dan hartabenda mereka.

Faktor Kemenangan Tentera Salahuddin al-Ayyubi
Sebab-sebab kemenangan di situ adalah banyak. Yang utama ialah kepimpinan Salahuddin al-Ayyubi sendiri kerana beliau mempersembahkan keseluruhan hidupnya untuk jihad di jalan Allah. Aqidah Islam telah memenuhi keseluruhan jiwanya, perasaannya bernyala-nyala dengan aqidah Islam dan tidak beriman dengan yang lain selain dari Allah. Beliau seorang yang amat toleransi, amat merendah diri, sederhana pakaian dan makanan, membelanjakan setiap sen yang sampai ke tangannya untuk jihad dan lain-lain kepentingan umat Islam, tidak memberi perhatian pada mata benda dunia sama ada harta, istana atau lain-lainnya sehinggalah apabila beliau wafat tidak meninggalkan sebarang harta. Tidak ada emas atau perak di dalam simpanannya kecuali satu Dinar dan empat puluh tujuh Dirham sahaja.

Salahuddin al-Ayyubi meninggal dunia pada 7 Safar 589 hijrah, kira-kira dua tahun selepas berlakunya peperangan Hutain yang berjaya membebaskan Baitil Maqdis. Umurnya ketika itu 56 tahun. Semasa berjihad Salahuddin al-Ayyubi selalu membawa sebuah peti tertutup yang amat dijaganya. Orang terdekat menyangka terdapat berbagai batu permata dan benda berharga tersembunyi didalamnya.Tetapi selepas wafatnya apabila peti dibuka maka yang ditemui hanyalah sehelai surat wasiat dan kain kafan yang dibeli dari titik peluhnya sendiri dan sedikit tanah.

Apabila surat itu dibuka tertulis " Kafankanlah aku dengan kain kafan yang pernah dibasahi air zam-zam ini, yang pernah mengunjungi kaabah yang mulia dan makam Rasulullah s.a.w. Tanah ini ialah sisa-sisa masa perang, buatkanlah darinya ketulan untuk alas kepalaku di dalam kubur"

Dari tanah tersebut dapat dibuat 12 ketulan tanah yang hari ini terletak di bawah kepala Salahuddin al-Ayyubi. Setiap kali Salahuddin al-Ayyubi kembali dari berperang yang dimasuki bertujuan berjihad kepada Allah, beliau akan berusaha mengumpulkan tanah-tanah yang melekat pada muka dan pakaiannya dan meletakkannya di dalam peti
rahsia itu.

Anak muda dituntut ambil hikmah Peristiwa 27 Rejab
Kemenangan dari sudut kacamata Islam bukanlah dengan terdapatnya suara majoriti yang menjadi penyokong di kalangan rakyat. Tidak juga dengan memiliki teknologi pembangunan yang pesat atau ekonomi yang kukuh mahupun kekuasaan yang padu di dalam jentera pentadbiran negara.

Umat Islam mencapai kegemilangannya di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. sehinggalah di zaman khulafa-arrashidin dan empayar-empayar Islam selepasnya. Umat Islam dahulu menang kerana mereka adalah merupakan terjemahan amali kepada agama suci ini yang bergerak di atas muka bumi. Apabila umat Islam mula mengenepikan agamanya dan meninggalkan ajarannya, mereka telah diserbu oleh berbagai umat lain,mereka telah bertukar menjadi seperti buih di dalam arus. Umat Islam telah ditinggikan oleh Allah dengan Islam dan tidak akan mencapai ketinggian selain dari Islam.

Tumbangnya Empayar Othmaniyyah pada tahun 1924 membuka ruang kepada Israel menakluki bandar suci Al-Quds pada bulan Jun 1967 di mana dalam masa tidak sampai enam hari umat Islam ditewaskan. Kekalahan yang amat memalukan bagi semua umat Islam. Sehingga sekarang umat Islam masih lagi gagal membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Zionis.

Sejarah Islam membuktikan bahawa hanya pemimpin yang kuat berpegang teguh pada agama Islam dan merupakan teladan-teladan peribadi dan beramal soleh yang mampu mencipta kejayaan dan mampu menyekat kemaraan musuh yang terdiri dari Yahudi dan Nasrani, musuh utama umat Islam.Salahuddin al-Ayyubi umpamanya seorang pemimpin yang kuat berpegang pada agamanya, berperibadi mulia dan seorang yang beramal soleh telah berjaya membebaskan al-Quds tersebut.

Penutup
Jadikan pengajaran dan iktibar dari peristiwa Isra’ dan Mikraj sebagai langkah untuk membersihkan serta membentuk sahsiah diri kita dengan kembali ke jalan Allah dan meninggalkan perbuatan keji yang sia-sia. Peristiwa Isra’ dan Mikraj terjadi cuma sekali sepanjang sejarah hidup Nabi Muhammad SAW. Namun apa pun, iktibar dan ibrah peristiwa ini harus kita dalami dan hayati sepanjang hari-hari dalam kehidupan kita 24/7.


BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

Wan Ahmad Fahmi Wan Abdul Hamed
Pengerusi Biro Kerohanian & Pembangunan Insan PMUKM
MPM Kerusi Umum Tahun 3/4