Rabu, Jun 08, 2011

NewsPortal : UKM menjalankan persediaan asas untuk saintis nuklear tempatan

Foto oleh Kamarul, FST, UKM

BANGI, 8 Jun, 2011 - UKM hari ini menandatangani surat minat yang membolehkan penempatan staf akademik serta mahasiswanya ke Universite Bordeaux, sebuah universiti di Perancis.

Usaha itu adalah selaras dengan usaha UKM membantu Malaysia membina keupayaan tenaga manusia berpengetahuan dalam penggunaan kuasa nuklear untuk menjana tenaga.

“UKM ingin bekerjasama dengan Universiti Bordeaux secara jangka panjang kerana kepakaran Perancis dalam pembangunan kuasa nuklear hingga berjaya memenuhi sehingga 75 peratus daripada keseluruhan permintaan tenaga negara itu,” kata Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof Dr Shahidan Radiman.

Beliau telah merasmikan kursus “summer school” UKM-Universite Bordeaux selama tiga hari di sini hari ini mengenai asas tenaga nuklear.

Prof Shahidan menyebut bagaimana Perancis membangunkan kebolehan untuk menjadikan tenaga nuklear selamat dan berfaedah. Selaras dengan fokus UKM membangunkan tenaga manusia berkaitan pengetahuan asas dan gunaan fizik nuklear, serta pembangunan terkini dalam bidang itu termasuk aplikasi laser.

Beliau menyebut kerjasama Perancis dengan negara-negara di Asia Tenggara untuk membangunkan tenaga nuklear. Stesen menjana tenaga nuklear yang pertama di Vietnam akan beroperasi pada tahun 2020, manakala Indonesia juga menunjukkan minat mengadakan tenaga nuklear.

Prof. Shahidan dan Prof. Dr. Philippe Quentin, Professor Emeritus bagi Fizik di Universite Bordeaux telah menandatangani surat minat tersebut untuk bekerjasama mengenai sains dan teknologi nuklear dan asas tenaga nuklear.

Selain dari menghantar staf dan mahasiswa UKM dari Pusat Pengajian Fizik Gunaan di Fakulti Sains dan Teknologi ke Perancis, perjanjian itu membolehkan penghantaran pakar-pakar dari Pusat Pengajian Nuklear Bordeaux-Gradignan di universiti Perancis itu ke UKM.

“Summer school” yang sedang berlangsung di sini adalah yang kedua di adakan selepas yang pertamanya pada 2009 mengenai asas pelbagai guna tenaga nuklear.

Perjumpaan ‘summer school’ itu yang dianjurkan Pusat Pengajian Fizik Gunaan, UKM bertujuan menyebarkan pengetahuan dan menyediakan kelompok kritikal para penyelidik dan saintis dalam teknologi nuklear sebagai persediaan untuk stesen janakuasa nuklear yang pertama di Malaysia yang dijangka beroperasi pada tahun 2021.

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof Dr Sahrim Ahmad berkata sains dan teknologi nuklear sudah menjadi komponen penting dalam ekonomi Malaysia terutama dengan penggunaan yang bertambah dan meluas teknologi penyinaran dalam sektor perubatan, industri dan minyak dan gas.

UKM akan menggalakkan para saintis mudanya yang menyertai program sarjana dan PhD di UKM, mengadakan penyelidikan bersama UKM-Bordeaux dalam masa terdekat.

Pengerusi Pusat Pengajian Fizik Gunaan, Prof Madya Dr Muhamad Samudi Yasir berkata UKM adalah universiti tempatan yang tunggal mengadakan program sarjana muda untuk sains nuklear.

“Kami sedang mengkaji memanjangkan program sarjana muda dari tiga tahun kepada empat, dan juga mengadakan pengajian paska siswazah untuk menggalakkan kurikulum kejuruteraan dan penyelidikan nuklear.”

Selain dari staf dan mahasiswa Pusat Pengajian Fizik Gunaan, peserta-peserta lain di “summer school” tersebut adalah daripada Tenaga Nasional, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom, Agensi Nuklear Malaysia, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Teknologi Malaysia.

Sebanyak 440 stesen jana kuasa nuklear sedang beroperasi di dunia, dan Asia dipandang sebagai arena utama untuk pengembangan tenaga nuklear, dengan tidak kurang daripada 40 projek dalam perancangan dan pelaksanaan – 24 di China, enam di Korea Selatan, empat di India, dua di Taiwan dan masing-masing satu di Pakistan, Jepun, Iran dan Vietnam.