PMUKM 2014/2015

Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti

Muhammad Sallehudin Bin Khalid

Presiden PMUKM Sesi 14/15

Universiti Kebangsaan Malaysia Varsiti Tercinta

Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan

Ucapan Tun Abdul Razak

Majlis Konvokesyen Pertama UKM

Rabu, April 30, 2014

UKMKL : PROGRAM MEGA USAHA PELAJAR PERUBATAN SOKONG MASYARAKAT





[ PROGRAM MEGA ]
Alhamdulillah.
Program Mega anjuran Pelajar Tahun 2 Fakulti Perubatan UKM telah berjaya berlangsung dengan jayanya pada 19-20 April 2014 dan 25-27 April 2014 .Program amal ini telah bekerjasama Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia dan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM). Untuk pengetahuan semua ,sebahagian dari keuntungan program ini akan disalurkan kepada Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia. Pelbagai subprogram yang menarik telah bernaung dibawah Program Mega , antaranya adalah :

* 19-20 April 2014 :Karnival Mega di Astaka Tasik Titiwangsa
* 19 April 2014 : Pertandingan Futsal MEGA di Setapak
* 20 April 2014 : Larian Amal " Be A Runner" di Tasik Titiwangsa bersama Persatuan
Orang Cacat Penglihatan
* 25 April 2014 : Forum "Pandang belakang,pandang depan,dimana kita?" oleh
saudara Aiman Azlan & saudara Afiq Sazlan
*26 -27 April 2014 : UKM Open Tennis Tournament di Gelanggang Tenis Titiwangsa

Jutaan terima kasih kepada pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, penaja program,penyelia program, krew MEGA , saudara Aiman Azlan , saudara Afiq Sazlan dan pihak DBKL atas kerjasama yang dijalankan untuk memeriahkan lagi program MEGA.

Ucapan syabas dan tahniah dari pihak PMUKM kepada semua krew program MEGA kerana telah bertungkus-lumus untuk menjayakan program ini. Semoga program MEGA ini dapat memberi manfaat kepada krew dan masyarakat sekeliling. insya Allah.







Nur Aliya Huzaidy
MPP Fakulti Perubatan Tahun 1/2
Biro Penerangan dan Kkomunikasi PMUKM Sesi 13/14






::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::

LARIAN AUTISME : MPP FPER 1/2 TURUN PADANG !

6 April 2014, UKM KL :  PROGRAM LARIAN AUTISME 

Alhamdulillah , selesai sudah Program Larian Autisme 2014 di Taman Tasik Titiwangsa ,pada 6 April 2014. Syabas dan tahniah kepada penasihat program , penaja-penaja dan ahli jawatankuasa Larian Autisme kerana telah berjaya melaksanakan program hebat ini.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada YABhg. Datin Paduka Seri Hjh. Rosmah Mansor atas kesudian beliau untuk bersama-sama meraikan program Larian Autisme 2014.
Program dimeriahkan lagi dengan kedatangan Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali , Naib Canselor UKM bersama Timbalan-Timbalan Naib Canselor UKM .

Pelbagai aktiviti menarik telah berlangsung hari ini seperti Senam Seni Autism , Larian Amal , karnival , persembahan flashmob oleh pelajar Permata Pintar UKM dan AJK Program Larian Autisme dan sesi persidangan media bersama YABhg. Datin Paduka Seri Hjh. Rosmah Mansor .

Alhamdulillah , tahniah diucapkan sekali lagi kepada pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Semoga program amal ini dapat membantu meningkatkan lagi sumbangan dan kesedaran masyarakat terhadap golongan autisme.
Insya Allah.






Nur Aliya Huzaidy
MPP Fakulti Perubatan Tahun 1/2
Biro Penerangan dan Komunikasi PMUKM Sesi 13/14







::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti ::

Sabtu, April 19, 2014

MEDIA : IMPAK DUNIA ALAM MAYA

 
Pada bulan Mac yang lalu, dalam usaha melicinkan perjalanan manifesto, saya mewakili Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) bersama Team Media Fakulti Pengajian Islam telah menghadiri Bengkel Media dan Penerangan anjuran Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS) yang bertempat di Perpustakaan Shah Alam, Selangor. 

Bengkel yang disertai oleh 30 orang peserta ini terdiri daripada mahasiswa seluruh Selangor. Kami telah diberikan pendedahan berkaitan cara untuk memperluaskan dunia media melalui poster dan video. Kami juga diajar cara mereka poster, mengedit video, mengambil gambar (photoshoot) dan info-info berkaitan software Media. 


Sesi bengkel dan perkongsian disampaikan oleh pihak kumpulan penceramah daripada “Ibtisam Studio”. 

Bengkel ini membantu kami untuk memastikan pencapaian media yang menyeluruh bagi aktiviti dalam dan luar UKM selain mampu untuk mengetengahkan isu-isu yang mutakhir. Ia juga suatu keperluan bagi menyelaraskan kerja di peringkat Universiti agar sinergi dalam gerak kerja PMUKM dapat dibentuk. Pengisian bengkel ini menekankan bahawa betapa pentingnya media baru dimanfaatkan secara optimum untuk menyampaikan mesej yang tepat, ringkas dan interaktif berasaskan kepada kaedah yang kreatif dan inovatif. Menjadi kepentingan bagi sesebuah organisasi untuk membina rangkaian bersama pihak media cetak mahu pun elektronik untuk menggalakkan perhubungan selain mengambil peluang menyertai aktiviti sosial yang positif bersama media. Jalinan kerjasama ini bakal memudahkan masyarakat awam untuk mendapat liputan media yang meluas dan bebas demi menyampaikan matlamat serta harapan sesebuah organisasi. 

Saya percaya bengkel ini berjaya membantu para peserta meningkatkan kemahiran berkaitan pengendalian media dan perhubungan awam. Media sewajarnya dimanfaatkan dalam mengetengahkan keperluan mahasiswa. Justeru, satu ikatan yang mantap perlu dibentuk di antara Universiti dan media luar bagi setiap isu agar maklumat yang baik dapat disampaikan.






Siti Nor Bahijah Mohd Zaki
MPP Umum Tahun 1/2
Biro Penerangan dan Komunikasi PMUKM Sesi 13/14
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::

Jumaat, April 18, 2014

SIMPOSIUM JEBAT : SATU PERMULAAN MELAHIRKAN MAHASISWA KRITIS

18 April 2014, UKM Bangi - Pihak PMUKM berbesar hati dan mengalu-alukan penglibatan mahasiswa/i UKM dalam menganjurkan program yang mampu mewujudkan suasana keilmuan di dalam UKM.

PMUKM sendiri telah mengadakan beberapa siri Suara Kampus yang menjadi platform perbincangan golongan cendekiawan. Selain itu, Tsunami Buku Jalanan yang bakal berlangsung pada 30 April 2014 nanti, akan menjadi medan berkumpulnya golongan muda yang bakal mengupas secara kritis tentang ilmu daripada pelbagai genre buku. 

Salah satu paksi pembawakan PMUKM pada sesi 2013/2014 adalah keintelektualan dengan meletakkan fakulti sebagai pusat kegiatan kecemerlangan. PMUKM berusaha bekerjasama dengan persatuan mahasiswa fakulti dan kelab-kelab pengajian dalam menjalankan program berorientasikan akademik dan wacana ilmu. Penganjuran Simposium seperti ini merupakan salah satu langkah mewujudkan mahasiswa/I UKM yang mampu melontarkan idea-idea dalam ruang disiplin ilmu masing-masing. Apa yang lebih penting, usaha murni ini merupakan salah satu langkah mahasiswa bagi menyelesaikan masalah-masalah dan isu yang berlegar di sekitar masyarakat. 

Harapannya, agar simposium yang dijalankan ini dapat mewujudkan persepakatan dan jalinan kerjasama di antara mahasiswa/i dari UKM dan Universti yang terlibat. Simposium ini bakal menjadi saksi bahawa mahasiswa/i pada hari ini sudah matang dan mampu berbicara secara rasional tentang isu-isu semasa. Tidak mustahil jika setiap kertas kerja yang dibentangkan oleh mahasiswa/i sepanjang simposium ini berlangsung akan menjadi rujukan ahli politik, pembuat dasar dan mahasiwa/i negara luar. Simposium ini akan menjadi lakaran baru bidang pendidikan dalam melahirkan golongan pemikir muda negara. Justeru itu, PMUKM akan sentiasa mendokong dan meletakkan keutamaan dalam membantu usaha mahasiswa/i untuk menganjurkan lebih banyak program yang bercorakkan keilmuan, kepimpinan mahasiswa dan berimpak tinggi seperti yang dijalankan oleh PESEPSI.








Mustapha Kamil Husen Abd Kadir
MPP Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Tahun 3/4
Yang Dipertua PMUKM Sesi 13/14
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::

Rabu, April 16, 2014

JALINAN KERJASAMA : LAWATAN PENANDA ARAS INSTITUT PENDIDIKAN GURU PEREMPUAN MELAYU MELAKA

13 April 2014, UKM Bangi - PMUKM telah menerima kunjungan daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) Perempuan Melaka sebagai suatu lawatan penanda aras bersama MPP PMUKM. Dalam pertemuan tersebut, pelbagai isu dan permasalahan telah dikongsi selain mencari solusi yang sewajarnya. Antara isu yang menarik perhatian dalam diskusi tersebut adalah berkenaan sistem pendidikan terutamanya isu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menjadi kebimbangan kepada para guru terutamanya untuk memastikan PBS yang dijalankan menepati kayu ukur yang ditetapkan.

Selain itu, YDP PMUKM iaitu Saudara Mustapha dan saudara Syed Najib selaku MPP Fakulti Pendidikan turut memberi pandangan terhadap isu penempatan guru termasuklah di IPG yang kian hangat diperkatakan. Perjumpaan ini membawa kepada perkongsian pendapat tentang taraf institusi perguruan dan universiti. Seterusnya, pelajar IPG Perempuan Melaka turut berkongsi idea dan cadangan dalam menjadikan para pelajar IPG berdaya saing bersama mahasiswa di IPT lain.
 

Lawatan penanda aras dari IPG Perempuan Melaka bersama PMUKM diharap dapat memberi input yang baik dan berguna hasil diskusi dan pertukaran pandangan yang dilakukan.
 





Syahidatul NurAmirah Abd Karim
MPP Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Tahun 1/2
Timbalan Setiausaha Agung PMUKM Sesi 13/14
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::

Selasa, April 08, 2014

HARKEB : PENTAS MEMAHAMI DUNIA KERJAYA ANDA





2 dan 3 April 2014, UKM Bangi - Satu lagi program di bawah anjuran PMUKM bersama PEMATRA, PHI, PMFST, dan PERTAMA iaitu Hari Kerjaya Bersepadu (HARKEB) telah diadakan dengan jayanya. Program ini telah diadakan selama dua hari bermula 2 hingga 3 April 2014 di Dewan Canselori Tun Abdul Razak (DECTAR). Antara aktiviti menarik yang disediakan adalah Booth Exhibition oleh semua syarikat yang terlibat, Career Talk, serta Interview Session yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat tertentu. Sebanyak 30 buah syarikat telah menyertai HARKEB pada kali ini.

Hari Kerjaya Bersepadu ini diadakan bertujuan bagi meningkatkan kepercayaan masyarakat dan syarikat luar mengenai  mutu graduan kelahiran UKM dalam pelbagai segi termasuklah kebolehan multi-skill, bakat kepimpinan yang menyerlah dan daya saing. Selain itu, program ini diharap dapat menyediaka platform  bagi mahasiswa/i UKM  untuk mendapatkan   pekerjaa selepa mereka menamatkan pengajian.

Selama dua hari berlangsung, program ini telah mendapat sambutan yang memuaskan  daripada mahasiswa/i pelbagai fakulti. Menurut rekod kami, jumlah kehadiran mahasiswa tahun akhir seramai kira-kira 600 orang. Rekod ini membuktikan bahawa mahasiswa UKM masih lagi tidak memandang program kerjaya merupakan program yang penting bagi mereka sebelum menempuh alam kerjaya kelak. Saya mengharapkan agar lebih banyak penyertaan mahasiswa UKM untuk program-program kerjaya pada masa akan datang. Tidak kira anjuran PMUKM mahupun organisasi lain. Harapan saya, program-program kerjaya  bukan sekadar satu pameran kerjaya, tetapi sebagai satu platform yang membantu mahasiswa/i UKM untuk lebih memahami dunia kerjaya yang pastinya berbeza dari alam universiti dan menjanjikan cabaran yang lebih besar.


















Muhammad Sallehuddin Khalid
MPP Umum Tahun 3/4
Naib Yang Dipertua PMUKM Sesi 13/14






::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::

Ahad, April 06, 2014

JALINAN KERJASAMA :LAWATAN PENANDA ARAS SRC UTP DI UKM


4 April 2014, UKM Bangi - Satu perjumpaan di antara Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia(PMUKM) bersama- sama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Petronas (SRC UTP ) telah diadakan dengan jayanya. Perjumpaan tersebut merupakan satu penanda aras daripada SRC UTP terhadap PMUKM berkenaan pembawaan PMUKM sepanjang sesi 2013/2014.

Perjumpaan dimulakan dengan sesi memperkenalkan diri diantara PMUKM dan SRC UTP, seterusnya Naib YDP PMUKM, Saudari Nur Afifah Bt Abdul Rahim memperkenalkan UKM secara amnya kepada SRC UTP. Selain itu , saudara Mustapha Kamil Husen Abd Kadir memberi penjelasan berkenaan sejarah dan latar belakang penubuhan PMUKM dan perubahan corak kepimpinan yang berlaku bermula dari tahun 1970 sehingga sekarang dan gagasan dan agenda yang dibawakan PMUKM sesi kali ini.

Seterusnya YDP SRC UTP, Faris Suhaimi menjelaskan visi dan misi yang ingin dibawa selepas 2 bulan dilantik menjadi mpp di UTP. Selain itu, pihak PMUKM turut memberi pandangan tentang corak politik yang perlu dibawa oleh mahasiswa kedua-dua kampus menurut ideologi politik masing-masing.

Perjumpaan ini diakhiri dengan soal jawab yang dikemukan oleh kedua-dua kampus. Ternyata pihak SRC UTP ternyata tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengurusan kewangan daripada Tabung PMUKM dan Skim Dana Persatuan (SDP) yang diperkenalkan PMUKM sesi kali ini. MPP PMUKM turut membawa SRC UTP ke Pejabat Majlis Perwakilan Pelajar PMUKM di aras 5 untuk melihat bagaimana PMUKM mengurus tadbir tugas.



Barisan kepimpinan SRC UTP turut melahirkan hasrat agar PMUKM jalinan kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.PMUKM mengucapkan selamat maju jaya kepada SRC UTP.







Puteri Nor 'Adilah Binti Mohd Zarudin
MPP Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Tahun 1/2
Biro Perhubungan dan Antarabangsa PMUKM Sesi 13/14
::Bersama Mahasiswa Memacu Varisiti::

SUARA KAMPUS II : KUPASAN ANTARA SISTEM PENDIDIKAN DAN DAYA MAJU MAHASISWA


TEASER : Suara Kampus II Pendidikan : Jalan Mati Selepas Universiti
Rakaman Suara Kampus II (Bahagian 1)
Rakaman Suara Kampus (Bahagian 2)
27 Mac 2014, UKM Bangi -  yang lalu, Biro Pembangunan Mahasiswa di bawah Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) telah mengadakan satu program iaitu Suara Kampus Siri Kedua. Program Suara Kampus kali ini membincangkan mengenai elemen penting di dalam negara iaitu berkenaan dengan sistem pendidikan. Tajuk Suara Kampus Siri Kedua ini adalah Pendidikan : Jalan Mati Selepas Universiti.

            Tajuk ini mengupas perihal sistem pendidikan di negara yang kita gunakan seolah-olah membentuk generasi seperti robot yang mana setiap tindak tanduk itu dicorakkan oleh sistem. Tidak dapat dinafikan terdapatnya kelonggaran dan peluang yang diberikan kepada pelajar untuk bersuara dan bertindak namun masih dikekang hebat. Universiti seolah olah medium yang melahirkan robot yang tahu bertindak tetapi masih dikawal oleh suatu kawalan pusat. Keputusan yang dibuat juga banyak dipengaruhi oleh sistem dan universiti. Perkembangan mahasiswa seolah olah disekat. Jalan mati yang diberikan ke atas tajuk ini bukan hanya merujuk kepada pengangguran semata-mata bahkan ia merujuk kepada mati dalam hak mahasiswa, bahkan juga mati dalam membuat keputusan hala tuju pembawakan sebagai seorang mahasiswa.

            Ringkasan kecil dari panelis iaitu Dr Zawawi Ismail iaitu pensyarah dari Universiti Malaya menyatakan bahawa, pendidikan adalah satu siri kehidupan yang berterusan yang mana manusia memerlukan ia sebagai satu penerusan kepada kelangsungan hidup. Tambahan lagi, universiti bukan sahaja tempat mendapatkan latihan bahkan merupakan tempat mencungkil idea dan kredibiliti. Bagi beliau, inilah ruang lapangan yang wajar dimanfaatkan oleh para mahasiswa untuk bertindak lebih matang dan bergerak lebih kehadapan untuk memastikan apa yang diperoleh bukan sahaja berguna kepada diri sendiri bahkan dapat dimanfaatkan kepada masyarakat kelak apabila keluar dari medan universiti. Menurut beliau lagi, pendidikan tidak sahaja terhenti di universiti bahkan selama mana seseorang itu hidup dan terus mengutip ilmu.

            Dr Maszlee Malik iaitu pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berpendapat bahawa pendidikan bukan sekadar bergantung kepada sistem pendidikan sahaja bahkan dalam era globalisasi ini, pendidikan turut bergantung kepada media. Dalam erti kata lain ini menunjukkan bahawa penggunaan media pada masa kini amat berperanan penting dalam membantu sistem pendidikan mendidik dan membangunkan faktor dalaman seperti sistem pemikiran seseorang mahasiswa itu. Beliau berkata, sekiranya media hanya mempamerkan input-input yang tidak membangun dan memberangsangkan idealis mahasiswa untuk berfikiran sewajarnya maka sedikit sebanyak hal ini akan membantutkan daya maju mahasiswa tersebut. Selain itu juga, mahasiswa perlu mengkaji segala maklumat yang dapat agar tidak menyebarkan maklumat yang salah kerana mahasiswa adalah agen penerangan utama kepada masyarakat.

            Walau bagaimanapun, beliau turut meluahkan rasa sedihnya apabila kebanyakan universiti tidak memberi kebebasan kepada mahasiswa dalam membuat keputusan yang mana banyak perkara yang mahu dilakukan oleh pelajar tidak diluluskan dan kadangkala hal ini melemahkan kekuatan dalaman pelajar tersebut kerana kurangnya sokongan sosial daripada pentadbiran yang seharusnya memahami bahawa inilah masa yang sepatutnya untuk dimanfaatkan oleh pelajar dalam membentuk pembangunan kendiri mereka. Akhir penghujahannya, beliau menekankan bahawa mahasiswa perlu lebih banyak meneroka iaitu membaca dan mengkaji dengan lebih mendalam kerana setiap ilmu yang dikutip bukan sekadar diperoleh di dalam dewan kuliah semata-mata.

            Panelis seterusnya iaitu Pn Fadhlina yang memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpendapat bahawa mahasiswa dilihat sebagai generasi “mata sebelah” kerana bergerak tanpa ilmu yang kurang atas sebab kurangnya minat membaca dan membedah buku. Bagi beliau, sistem pendidikan ada;ah satu sistem yang sangat penting dan semasa di universiti inilah mahasiswa perlu mencari dan terus mencari apa yang dimahukan untuk digunakan selepas bergraduasi. Beliau yang sependapat dengan Dr Zawawi menyatakan bahawa pendidikan itu perlu dijulang kerana pendidikan merupakan satu elemen kritikal dan penting dalam sesebuah kehidupan individu. Beliau mengakhiri dengan menyatakan bahawa mpembacaan mahasiswa perlu dipertingkatkan dan berusaha mencari identity untuk kegunaan masa hadapan. Universiti bukan jalan mati kerana landasan ilmu yang diperoleh akan dilalui sepankang hayat kehidupan manusia.

            Pada konklusi daripada ketiga-tiga panel mengenai pendidikan negara yang mempengaruhi masa hadapan mahasiswa adalah benar dan menyatakan bahawa atas daya mahasiswa itu untuk berusaha mengubah sesuatu yang dilihat hambar kepada sesuatu yang luar biasa. Melihat kepada kadar pengangguran yang meningkat sememangnya tidak paling tidak ia adalah berdasarkan kepada masalah peribadi mahasiswa itu sendiri yang mana mereka gagal untuk menempatkan diri sendiri kedalam pasaran kerjaya. Walau bagaimanapun, pengagihan sumber tenaga kerja di Malaysia perlu dikaji semula dan dipertingkatkan lagi ke arah yang lebih progresif untuk membendung isu ini. 


 

Biro Pembangunan Mahasiswa
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::

Sabtu, April 05, 2014

KEBAJIKAN SISWI : PMUKM BANTU STELLA FEP

SUMBANGAN DERMA KEBAJIKAN SISWI FEP SAKIT BUAH PINGGANG



1 April 2014, UKM Bangi – Satu perjumpaan bagi penyerahan hasil kutipan derma kebajikan kepada saudari Stella Tan Shu Wen, iaitu siswi dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) tahun 3 yang mengalami penyakit buah pinggang telah diadakan di Pejabat PMUKM. Turut hadir Naib Yang Dipertua PMUKM, saudari Nur Afifah Abd Rahim dan MPP Biro Kebajikan iaitu saudari Hasyimah Ibrahim. Jumlah sumbangan yang berjaya dikumpulkan adalah sebanyak RM3325.00.

Hasil kutipan derma tertinggi dari fakulti adalah sebanyak RM930.40 iaitu dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) manakala dari kolej pula sebanyak RM853.85 dari Kolej Burhanuddin Helmi (KBH). Kutipan derma secara keseluruhan adalah hasil kerjasama daripada wakil siswi dan kebajikan dari pelbagai kolej dan fakulti. PMUKM merakamkan sebesar-besar penghargaan kepada semua wakil yang membantu dalam kutipan derma ini.

Untuk makluman, saudari Stella menerima rawatan setiap minggu yang memakan kos sebanyak RM1500.00 bagi setiap kali rawatan tersebut dijalankan. Sumbangan derma dari warga UKM ini diharap dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang dipikul oleh saudari Stella sekeluarga dan kami mendoakan kesejahteraan serta kesembuhan segera kepada Stella.



Hasyimah Ibrahim
MPP Umu Tahun 1/2
Biro Kebajikan dan Sosial PMUKM sesi 13/14


Nur Afifah Abdul Rahim
MPP Umum Tahun 3/4
Timbalan Yang Di pertua PMUKM Sesi 13/14
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::