Pada bulan Mac yang lalu, dalam usaha melicinkan perjalanan manifesto, saya mewakili Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) bersama Team Media Fakulti Pengajian Islam telah menghadiri Bengkel Media dan Penerangan anjuran Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS) yang bertempat di Perpustakaan Shah Alam, Selangor.
Bengkel yang disertai oleh 30 orang peserta ini terdiri daripada mahasiswa seluruh Selangor. Kami telah diberikan pendedahan berkaitan cara untuk memperluaskan dunia media melalui poster dan video. Kami juga diajar cara mereka poster, mengedit video, mengambil gambar (photoshoot) dan info-info berkaitan software Media.
Sesi bengkel dan perkongsian disampaikan oleh pihak kumpulan penceramah daripada “Ibtisam Studio”.
Bengkel ini membantu kami untuk memastikan pencapaian media yang menyeluruh bagi aktiviti dalam dan luar UKM selain mampu untuk mengetengahkan isu-isu yang mutakhir. Ia juga suatu keperluan bagi menyelaraskan kerja di peringkat Universiti agar sinergi dalam gerak kerja PMUKM dapat dibentuk. Pengisian bengkel ini menekankan bahawa betapa pentingnya media baru dimanfaatkan secara optimum untuk menyampaikan mesej yang tepat, ringkas dan interaktif berasaskan kepada kaedah yang kreatif dan inovatif. Menjadi kepentingan bagi sesebuah organisasi untuk membina rangkaian bersama pihak media cetak mahu pun elektronik untuk menggalakkan perhubungan selain mengambil peluang menyertai aktiviti sosial yang positif bersama media. Jalinan kerjasama ini bakal memudahkan masyarakat awam untuk mendapat liputan media yang meluas dan bebas demi menyampaikan matlamat serta harapan sesebuah organisasi.
Saya percaya bengkel ini berjaya membantu para peserta meningkatkan kemahiran berkaitan pengendalian media dan perhubungan awam. Media sewajarnya dimanfaatkan dalam mengetengahkan keperluan mahasiswa. Justeru, satu ikatan yang mantap perlu dibentuk di antara Universiti dan media luar bagi setiap isu agar maklumat yang baik dapat disampaikan.
Siti Nor Bahijah Mohd Zaki
MPP Umum Tahun 1/2
Biro Penerangan dan Komunikasi PMUKM Sesi 13/14
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::