Ahad, April 06, 2014

SUARA KAMPUS II : KUPASAN ANTARA SISTEM PENDIDIKAN DAN DAYA MAJU MAHASISWA


TEASER : Suara Kampus II Pendidikan : Jalan Mati Selepas Universiti
Rakaman Suara Kampus II (Bahagian 1)
Rakaman Suara Kampus (Bahagian 2)
27 Mac 2014, UKM Bangi -  yang lalu, Biro Pembangunan Mahasiswa di bawah Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) telah mengadakan satu program iaitu Suara Kampus Siri Kedua. Program Suara Kampus kali ini membincangkan mengenai elemen penting di dalam negara iaitu berkenaan dengan sistem pendidikan. Tajuk Suara Kampus Siri Kedua ini adalah Pendidikan : Jalan Mati Selepas Universiti.

            Tajuk ini mengupas perihal sistem pendidikan di negara yang kita gunakan seolah-olah membentuk generasi seperti robot yang mana setiap tindak tanduk itu dicorakkan oleh sistem. Tidak dapat dinafikan terdapatnya kelonggaran dan peluang yang diberikan kepada pelajar untuk bersuara dan bertindak namun masih dikekang hebat. Universiti seolah olah medium yang melahirkan robot yang tahu bertindak tetapi masih dikawal oleh suatu kawalan pusat. Keputusan yang dibuat juga banyak dipengaruhi oleh sistem dan universiti. Perkembangan mahasiswa seolah olah disekat. Jalan mati yang diberikan ke atas tajuk ini bukan hanya merujuk kepada pengangguran semata-mata bahkan ia merujuk kepada mati dalam hak mahasiswa, bahkan juga mati dalam membuat keputusan hala tuju pembawakan sebagai seorang mahasiswa.

            Ringkasan kecil dari panelis iaitu Dr Zawawi Ismail iaitu pensyarah dari Universiti Malaya menyatakan bahawa, pendidikan adalah satu siri kehidupan yang berterusan yang mana manusia memerlukan ia sebagai satu penerusan kepada kelangsungan hidup. Tambahan lagi, universiti bukan sahaja tempat mendapatkan latihan bahkan merupakan tempat mencungkil idea dan kredibiliti. Bagi beliau, inilah ruang lapangan yang wajar dimanfaatkan oleh para mahasiswa untuk bertindak lebih matang dan bergerak lebih kehadapan untuk memastikan apa yang diperoleh bukan sahaja berguna kepada diri sendiri bahkan dapat dimanfaatkan kepada masyarakat kelak apabila keluar dari medan universiti. Menurut beliau lagi, pendidikan tidak sahaja terhenti di universiti bahkan selama mana seseorang itu hidup dan terus mengutip ilmu.

            Dr Maszlee Malik iaitu pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berpendapat bahawa pendidikan bukan sekadar bergantung kepada sistem pendidikan sahaja bahkan dalam era globalisasi ini, pendidikan turut bergantung kepada media. Dalam erti kata lain ini menunjukkan bahawa penggunaan media pada masa kini amat berperanan penting dalam membantu sistem pendidikan mendidik dan membangunkan faktor dalaman seperti sistem pemikiran seseorang mahasiswa itu. Beliau berkata, sekiranya media hanya mempamerkan input-input yang tidak membangun dan memberangsangkan idealis mahasiswa untuk berfikiran sewajarnya maka sedikit sebanyak hal ini akan membantutkan daya maju mahasiswa tersebut. Selain itu juga, mahasiswa perlu mengkaji segala maklumat yang dapat agar tidak menyebarkan maklumat yang salah kerana mahasiswa adalah agen penerangan utama kepada masyarakat.

            Walau bagaimanapun, beliau turut meluahkan rasa sedihnya apabila kebanyakan universiti tidak memberi kebebasan kepada mahasiswa dalam membuat keputusan yang mana banyak perkara yang mahu dilakukan oleh pelajar tidak diluluskan dan kadangkala hal ini melemahkan kekuatan dalaman pelajar tersebut kerana kurangnya sokongan sosial daripada pentadbiran yang seharusnya memahami bahawa inilah masa yang sepatutnya untuk dimanfaatkan oleh pelajar dalam membentuk pembangunan kendiri mereka. Akhir penghujahannya, beliau menekankan bahawa mahasiswa perlu lebih banyak meneroka iaitu membaca dan mengkaji dengan lebih mendalam kerana setiap ilmu yang dikutip bukan sekadar diperoleh di dalam dewan kuliah semata-mata.

            Panelis seterusnya iaitu Pn Fadhlina yang memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpendapat bahawa mahasiswa dilihat sebagai generasi “mata sebelah” kerana bergerak tanpa ilmu yang kurang atas sebab kurangnya minat membaca dan membedah buku. Bagi beliau, sistem pendidikan ada;ah satu sistem yang sangat penting dan semasa di universiti inilah mahasiswa perlu mencari dan terus mencari apa yang dimahukan untuk digunakan selepas bergraduasi. Beliau yang sependapat dengan Dr Zawawi menyatakan bahawa pendidikan itu perlu dijulang kerana pendidikan merupakan satu elemen kritikal dan penting dalam sesebuah kehidupan individu. Beliau mengakhiri dengan menyatakan bahawa mpembacaan mahasiswa perlu dipertingkatkan dan berusaha mencari identity untuk kegunaan masa hadapan. Universiti bukan jalan mati kerana landasan ilmu yang diperoleh akan dilalui sepankang hayat kehidupan manusia.

            Pada konklusi daripada ketiga-tiga panel mengenai pendidikan negara yang mempengaruhi masa hadapan mahasiswa adalah benar dan menyatakan bahawa atas daya mahasiswa itu untuk berusaha mengubah sesuatu yang dilihat hambar kepada sesuatu yang luar biasa. Melihat kepada kadar pengangguran yang meningkat sememangnya tidak paling tidak ia adalah berdasarkan kepada masalah peribadi mahasiswa itu sendiri yang mana mereka gagal untuk menempatkan diri sendiri kedalam pasaran kerjaya. Walau bagaimanapun, pengagihan sumber tenaga kerja di Malaysia perlu dikaji semula dan dipertingkatkan lagi ke arah yang lebih progresif untuk membendung isu ini. 


 

Biro Pembangunan Mahasiswa
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::