PMUKM 2014/2015

Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti

Muhammad Sallehudin Bin Khalid

Presiden PMUKM Sesi 14/15

Universiti Kebangsaan Malaysia Varsiti Tercinta

Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan

Ucapan Tun Abdul Razak

Majlis Konvokesyen Pertama UKM

Rabu, Julai 28, 2010

MPP Nabilah turun padang kempen 2S

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) meneruskan Kempen Selamat & Sihat (2S) melalui pengedaran 'pamplet' di kawasan fakulti-fakulti.


Saudari Nabilah selaku MPP Umum Tahun 3/4 berkesempatan untuk turun padang mengedarkan 'pamplet' Selamat & Sihat yang menekankan isu-isu keselamatan diri dan kenderaan.



" Ber-GM Selamat & Sihat !!! "

Selasa, Julai 27, 2010

Perutusan MPP Ili

SUMBER : MPP Ili


Assalamua’laikum w.b.t dan salam sejahtera

Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan selamat datang diucapkan kepada mahasiswa tahun 1 Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, tidak lupa juga kepada mahasiswa mahasiswi yang kembali memulakan semester baru di bumi kampus Kuala Lumpur ini. Permulaan kepada sesuatu yang baru semestinya merupakan suau cabaran kepada individu, khususnya memulakan kehidupan baru di alam varsiti. Namun, inilah platform terbaik bagi kita semua bagi mempelajari dan beroleh pengalaman untuk digunakan bagi menghadapi cabaran dalam kehidupan mendatang.

Suasana di kampus Kuala Lumpur sememangnya unik kerana keadaannya yang begitu ideal di tengah-tengah kota metropolitan ini. Namun, sebagai insan yang telahpun mencapai usia kedewasaan, kita seharusnya bijak membezakan yang mana benar dan yang mana yang harus dijauhi. Kegawatan isu sosial yang berlaku kini kian menggusarkan , maka saya menyeru diri saya dan kalian semua untuk menjaga peribadi masing-masing agar tidak hanyut dalam kancah kebinasaan kerana kita adalah harapan bangsa dan agama bagi meneruskan perjuangan akademik dan menyumbang jasa kepada masyarakat.

Semoga dengan datang dan kembalinya kita ke alam kampus ini membibitkan harapan dan iltizam yang tinggi bagi mencapai semaksima mungkin potensi diri untuk mencapai kejayaan, bukan sahaja sebagai mahasiswa malah sebagai insan yang menghayati erti tanggungjawab kepada agama dan negara. Tinggi harapan agar kita semua tidak putus harapan dalam mengejar cita-cita dan impian yang telah disemat khususnya buat mahasiswa tahun akhir yang bakal melangkah ke dunia pekerjaan dalam masa setahun sahaja lagi. Bersama kita mengharungi lembah cabaran bagi menggenggam kegemilangan. Salam kejayaan!

>MPP Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu

Malam Mesra AIESEC

Dimaklumkan bahawa Persatuan AIESEC akan menganjurkan satu Malam Mesra AIESEC (AIESEC Night) pada butiran berikut:

Tarikh : 28 Julai 2010 (Rabu) Masa : 7.30pm-10.00pm Tempat : DKG 111F, FST Malam mesra AIESEC ini merupakan program besar yang pertama dianjurkan oleh Persatuan AIESEC dalam sesi 2010/2011. Tujuan program ini adalah untuk memberikan dedahan yang lebih lanjut tentang AIESEC kepada pelajar-pelajar UKM. Di samping dengan serba sedikit pengenalan AIESEC, Alumni serta pihak AIESEC Malaysia turut akan berkongsi pengalaman dengan hadirin sekalian.

Bagi mereka yang berminat tentang AIESEC, bolehlah melayari www.aiesec.my untuk maklumat yang selanjutnya.Sebarang pertanyaan berkenaan dengan Malam Mesra AIESEC, sila emel kepada info.ukm@aiesec.my

Isnin, Julai 26, 2010

Selamat Bergraduasi Dan Salam Ramadhan

SUMBER : MPP Alia Suzana

Assalamualaikum dan salam perjuangan untuk semua mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia yang saya kasihi sekalian….

Mahasiswa pencetus revolusi..

Kita semua sedia maklum bahawa pada bulan ogos setiap tahun universiti akan mengadakan hari graduasi atau lebih dikenali sebagai hari konvokesyen bagi mahasiswa-mahasiswa yang telah menamatkan pelajaran di UKM selama tiga, empat atau lima tahun. Hari tersebut merupakan hari kebanggaan bagi setiap mahasiswa dan juga keluarga kerana ia adalah satu titik permulaan kepada transformasi kehidupan atau fasa pekerjaan yang lebih mencabar selepas ini. Semoga mahasiswa-mahasiswa sekalian dapat menggunakan ilmu yang telah dipelajari selama beberapa tahun di UKM ini untuk bekalan kehidupan akan datang dan diharapkan ilmu tersebut dapat diaplikasikan untuk kepentingan agama, bangsa dan Negara. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada mahasiswa yang bakal bergraduasi pada bulan ogos ini. Semoga ilmu yang diperolehi mendapat keberkatan Illahi dan akan menjadi amalan kepada generasi akan datang. Jadikanlah ilmu yang kita pelajari di peringkat menara gading ini sebagai ‘ hidup sekali manfaat selamanya’

Mahasiswa pendukung falsafah varsiti..

Di samping kegembiraan kita semua menghadapi hari graduasi pada ogos nanti, sangat tidak dilupakan kepada penantian kita semua kepada bulan yang penuh berkat dan rahmat iaitu bulan Ramadhan. Saya mengharapkan sebagaimana kita semua gembira menunggu hari kemenangan setelah menamatkan pengajian di UKM, seperti itu jugalah rasa gembira dan penuh syahdu kita semua menyambut hari yang penuh barakah bulan ramadhan. Sama-samalah kita semua menanti dengan penuh kesyukuran kerana masih dipanjangkan usia sehingga ke ramadhan kali ini, semoga mahasiswa-mahasiswa sekalian dapat memanfaatkan hari yang masih berbaki dan dapat beramal dengan penuh iltizam di bulan ramadhan al-mubarak. Semoga kita semua ikhlas dalam beramal dan semoga keredhaan Allah itu yang kita kecapi. Akhir kalam SELAMAT BERGRADUASI DAN SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK KEPADA SEMUA MAHASISWA YANG SAYA KASIHI.

Rabu, Julai 21, 2010

Earth Day




Satu program Hari Bumi ('Earth Day') telah dianjurkan pada 20 Julai, hari Selasa yang lalu oleh United Nation Club di pintu masuk Perpustakaan Fakulti Undang-Undang.

Antara aktiviti menarik yang telah diadakan Photo Booth, Mobility Talk dan Mini Exhibition. Kelihatan banyak gambar dilekat di sepanjang jalan menuju ke perpustakaan FUU demi menyedarkan para pelajar tentang penjagaan alam sekitar.


Kelihatan MPP Koh Beng melukis gambar untuk mempromosikan penjagaan alam sekitar .


Diharapkan fakulti-fakulti lain dapat mencontohi program yang baik ini untuk dijalankan di fakulti masing-masing.

Maklum Balas Isu Kebajikan Mahasiswa Praklinikal


Surat ini bertarikh 26 April 2010, sebulan selepas surat berhubung isu kebajikan pelajar praklinikal di Kampus Kuala Lumpur diterima oleh Prof. Dr. Zaleha. Alhamdulillah, Timbalan Dekan Akademik yang begitu prihatin dan mementingkan kebajikan pelajar telah mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menyelesaikan masalah para pelajar yang telah saya utarakan. Semoga kerjasama yang baik seperti ini akan diteruskan.

Oleh itu, saya juga berharap agar sahabat-sahabat sekalian dapat berhubung dengan saya andainya sebarang menghadapi sebarang masalah. Dengan izin Allah saya akan berusaha menyalurkan SUARA ANDA ke pihak yang bertanggung jawab. Semoga kita semua terus gigih dan tabah dalam menempuh perjalanan sebagai pelajar untuk menjadi doktor yang ilmunya penuh di dada, sahsiahnya terjaga dan profesionalismenya terserlah.

nasihapmukm@gmail.com
019-4432472

Forum Pendidikan Seks : Penawar atau Racun ?


Tarikh :
30 Julai 2010 (Jumaat)

Masa :
8.00 - 11.00 malam

Tempat :
DK43.101 DTAMS

Ahli Panel :
1- PM Dr Harlina Halizah binti Siraj
2- Ustaz Mohd Zamri bin Mohd Zainuldin
2- Tuan Musa bin Awang

Moderator :
Mohd Ajwadi Ahmad

Anjuran :
MPP Fakulti Pendidikan

Dengan Kerjasama :
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pendidikan

Selasa, Julai 20, 2010

MPP Faiz Bawa Nama UKM Ke Persada Antarabangsa


Bangi, 20 Julai- Pejabat Hubungan Industri (PHI) dengan kerjasama AIESEC UKM telah menganjurkan Seminar Peningkatan Kebolehpasaran bertempat di Bilik Senat, Canselori UKM. Majlis dirasmikan oleh Y.Bhg. Prof Dr. Saran Kaur Gill, TNC Hal Ehwal Jaringan Industri Dan Masyarakat (HEGIM) dan turut dimeriahkan dengan kehadiran Y.Bhg. En. Ahmad Zaki selaku bekas pemimpin AIESEC UKM.

Seramai 7 orang pembentang termasuk ahli MPP Umum, Muhamad Faiz Ismail diberi peluang untuk berkongsi pengalaman melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan latihan industri di luar negara.

Faiz yang menjalani praktikal di San’a,Yemen bersama 3 orang lagi rakannya berasa bertuah kerana terpilih untuk membawa nama UKM ke persada antarabangsa.

“Perkongsian ilmu ini merentas benua, pokok pangkalnya sekuat mana kita berusaha. Peluang sebegini tidak wajar disia-siakan oleh sesiapa sahaja kerana pengalaman yang bakal diraih sangat berharga”, katanya.

Faiz yang merupakan pelajar tahun 4 Fakulti Pendidikan turut berkongsi tentang sistem pendidikan di Yemen dan menjelaskan sejauhmana latihan industri di luar negara mampu meningkatkan kebolehpasaran pelajar UKM.

“Amanah sebagai ‘duta’ UKM di luar negara harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjelaskan kepada masyarakat dunia bagaimana UKM memacu pendidikan negara sehingga menjadi antara universiti terbaik di rautau ini”, tambahnya lagi.

Bergambar kenangan dengan pelajar Malaysia di Yemen

Minggu Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan UKM 2010

Salam mahasiswa. Pada 26 - 30 Julai 2010 bertempat di Pusat Perubatan UKM, akan diadakan minggu keselamatan & kesihatan pekerjaan (MKKP) UKM 2010 anjuran Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan UKM (JKKP UKM). Objektif MKKP kali ketiga ini adalah untuk mempromosi dan menimbulkan kesedaran serta meningkatkan kesedaran serta meningkatkan tahap kepekaan mengenai aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dikalangan para pekerja dan pelajar UKM khusunya serta pelanggan UKM amnya. Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah :




Pihak penganjur berharap agar dapat membentuk budaya kerja selamat dan sihat ke arah mempertingkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup warga UKM semasa bekerja.

sumber : ewarga4.ukm.my/ewarga/pdf/072010/12-52-1.pdf

Manchester University Student Exchange Program

Satu program pertukaran pelajar dari Manchester University telah dijalankan dengan kerjasama daripada Fakulti Undang-Undang. Program yang berjalan dari 19 Julai sehingga 23 Julai 2010 ini melibatkan semua mahasiswa tahun empat dari Fakulti Undang-Undang.

Terdapat 16 orang pelajar dari Manchester University. Setiap seorang akan digandingkan dengan satu kumpulan 'keluarga angkat'.Kumpulan angkat ini perlu menjaga kebajikan wakil-wakil pelajar yang hadir.

Bagi pelajar di bawah kumpulan MPP Yong Koh Beng, beliau menganjurkan lawatan ke Istana Kehakiman, Taman Warisan Botanic, Unit Forensik dan Central Market. Manakala aktiviti sampingan yang sempat dijalankan, keluarga angkat bawa untuk akitiviti malam –makan malam, makan satay dan jalan-jalan pasar malam untuk memperkenalkan budaya Malaysia kepada mereka.

Anak Angkat kumpulan Koh beng-Jemima yang sedang menikmat makanan Cina - Mi Wantan

Isnin, Julai 19, 2010

Kemeriahan Pusaneka


MPP Mahasiswa sempat meninjau 'booth' persatuan pelajar yang tedapat di Pusaneka lewat pagi tadi. Antara 'booth' yang sempat dikunjungi;


Persatuan Mahasiswa Darul Naim (PERDANA) : Antara yang menjadi tumpuan


Persatuan Mahasiswa Anak Sarawak (PEMASRA)

Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS) : Tidak ketinggalan!

Persatuan Mahasiswa Sabah (PERMIS) : Menarik!





MPP FPend, Wan Ahmad Fahmi berkata, aktiviti berpesatuan tidak boleh diketepikan kerana kecemerlangan dalam akademik sahaja tidak cukup.

"Mahasiswa perlu bijak memperkembangkan bakat dan potensi yang ada. Persatuan boleh jadi platform yang baik untuk mahasiswa belajar mengenai kepimpinan dan pengurusan. Kesungguhan untuk meneroka ilmu lain amat penting, jangan asyik terikat dengan ilmu-ilmu dalam bidang pengajian,"katanya lagi.



Selamat Mendaftar Persatuan!


Dengan sukacitanya MPP Mahasiswa mengucapkan selamat mendaftar persatuan pelajar bagi semua mahasiswa tahun satu yang baru mendaftar bagi sesi akademik 2010/2011. Seperti semua sedia maklum, Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar (M3P) ini bermula 19-23 Julai 2010 (Isnin - Jumaat)

Program sulung secara tahunan yang diadakan sebagai prosedur sebelum para mahasiswa boleh bergerak aktif dalam persatuan yang digemari. Terdapat lebih daripada 100 buah persatuan pelajar di UKM yang tersedia bebas untuk dimasuki.

Bagi persatuan pelajar berbentuk akademik, para mahasiswa boleh mendaftar di fakulti masing-masing manakala persatuan-persatuan lain boleh didapati di Pusaneka. Senarai bawah menunjukkan susunan 'booth' di Pusaneka mengikut nombor 'booth'. SELAMAT MENDAFTAR!


ARAS 3
1. PERKIM
2. I-Club
3. Urusetia Keusahawanan
4-11. Pertubuhan UKM
12. Urusetia Konvo
13. Aspirasi
14. PESAMA
15. Penyayang
16. Rukun Negara
17. Wawasan
18. Pemadam
19. UPSM

ARAS 2
20. Persatuan Mahasiswa Anak Perlis Darul Sunnah(PERSADA)
21. Persatuan Mahasiswa Darul Naim (PERDANA)
22. Persatuan Mahasiswa Sarawak (PEMASRA)
23. Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS)
24. Persatuan Mahasiswa Johor (PERMAJ)
25. Persatuan Mahasiswa Sabah (PERMIS)
26. Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM)
26B. Unit Kebajikan
29. Persatuan Mahasiswa Perak Darul Ridzuan (PERMADARI)
30. Persatuan Mahasiswa Anak Pahang (PKAP)
31. Persatuan Kebajikan Mahasiswa Kedah (PKMK)
32. Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (PERMANIS)
33. Persatuan Mahasiswa Pulau Pinang (PMPP)
34. Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA)
35. AIESEC
36. Persatuan Mahasiswa Anak Melaka (PESAMA)

Aras 5
36. Artisukma

Aras 1A
37. Kelab Rakan Taman
38. Urusetia Pengucapan Awam
39. Urusetia Sukan & Rekreasi
40. Taekwondo
41. Rakan Muda
42. Urusetia Kerjaya

Aras 4
43-48. Artisukma


Akhir kalam,memetik kata-kata Datuk Saifuddin Abdullah,
SEKIRANYA kita percaya kepada matlamat melahirkan insan yang sepadu dan seimbang, paradigma yang sepatutnya digunakan ialah memberikan penekanan seimbang terhadap kedua-dua komponen-akademik dan kokurikulum-dalam sistem pendidikan kita hari ini.

Ahad, Julai 18, 2010

Dialog MPP UKM - MPP USM


Satu pertemuan telah berlangsung di antara MPP Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan MPP Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian (Kampus Kejuruteraan) pada 16 Julai yang lalu.

Perancangan untuk pertemuan ini telah diaturkan sudah agak lama dan baru berkesempatan untuk kedua-dua pihak duduk semeja. Antara agenda penting yang dibincangkan adalah mengenai perkongsian bidang tugas di kampus masing-masing dan juga perbincangan tentang profesionalisme gerak kerja pentabiran di kampus.


MPP USM diwakili enam orang MPP dan MPP UKM diwakili lapan orang MPP iaitu Syafiq, Khairul Anuar, Zaim, Fahmi, Nabila, Farih Najihah, Mariah dan Nasiha Omar.


Sabtu, Julai 17, 2010

Setelah 2 Minggu Bergelar Mahasiswa

Sekalung tahniah diucapkan kepada semua mahasiswa khususnya bagi pengambilan sesi 2010/2011. Bagaimanakah perasaan anda setelah seminggu menjalani minggu orientasi dan seminggu mengenal selok belok menjadi mahasiswa di fakulti masing-masing?

Untuk pengetahuan umum, mahasiswa tahun satu telah menjalani orientasi di UKM Kampus Induk bermula pada 4 Julai 2010 sehingga 10 Julai 2010. Bagi mahasiswa Fakulti Perubatan, bagi Ijazah Perubatan dan Ijazah Kejururawatan, perjuangan mereka telahpun bermula di Dewan Gemilang di Kampus UKM Bangi. Disini, pihak tertinggi pentadbiran UKM serta MPP telah turun padang untuk sama-sama meraikan kemasukan mahasiswa baru.


MPP Farih bersama-sama dengan Naib Canselor UKM Prof Dato Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Dekan Fakulti Perubatan merangkap Pengarah PPUKM Prof Dato’ Dr Lokman bin Saim dan Pengetua Kolej Tun Syed Nasir Prof Madya Dr Ruzita Abd Talib meraikan kedatangan mahasiswa/i baru UKM.

Setelah hampir seminggu menjalani orientasi di UKM Bangi, mahasiswa kolej Tun Dr Ismail dan Kolej Tun Syed Nasir berangkat pulang ke kolej masing-masing. MPP Fakulti Perubatan berkesempatan menyambut kehadiran mereka di kediaman mereka.



Setelah seminggu berada di kampus, kami di pihak MPP dan kakak-kakak dan abang-abang amat berharap agar adik-adik mahasiswa sekalian akan terus berjuang dalam pengajian masing-masing. Liku-liku perjalanan pasti akan memberi cabaran, tapi dengan tawakal dan tekad, insyaAllah kejayaan berada dalam genggaman kalian.

IKHLAS dari KAMI MPP FAKULTI PERUBATAN
~ALIA~FARIH~NASIHA~
OUR VOICE IS MY VOICE
MEMBENTUK INTEGRASI MAHASISWA

Jumaat, Julai 16, 2010

Program Pengukuhan Pasukan

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum wbt dan Salam Sejahtera

Kerjasama sebagai sebuah pasukan merupakan antara faktor yang terpenting dalam kejayaan sesebuah organisasi. Dalam erti kata lain, hidup berjemaah adalah lebih baik dari berseorangan.


Menyedari kepentingan ini, pihak pentadbiran Fakulti Farmasi UKM dengan kerjasama PMFFAR dan MPP Fakulti Farmasi, telah berganding bahu dalam menganjurkan Program Pengukuhan Pasukan Pelajar Baru Fakulti Farmasi Sesi Akademik 2010/2011 buat kali pertama.


Butir-butir program adalah seperti di bawah


Tarikh

Hari

Tempat

16 Julai 2010

Jumaat

DSG KTSN

17 Julai 2010

Sabtu

Taman Botani, Putrajaya

16 Julai 2010, Jumaat

Program ini dijalankan di Dewan Serbaguna Kolej Tun Syed Nasir dan bermula sekitar 830 a.m. dengan ucapan dari Dekan Fakulti Farmasi, Prof Ibrahim bin Jantan. Namun, sebelum itu siswa/i baru telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan kehadiran mereka yang lebih awal dari masa aktiviti dijangka akan bermula iaitu sekitar jam 6.45 pagi. InsyaAllah ini sebagai permulaan bagi generasi yang bakal memipin masa depan. Aktiviti diteruskan seperti di bawah :

8.30 pagi : Ucapan Dekan dan Taklimat Program

- kemasukan Dekan yang sangat sederhana tanpa perlu pengumuman

dan secara bersederhana mendapat tempat di hati siswa/i.

- taklimat program oleh Dr. Mohd Makmor Bakry

9.00 pagi : Ceramah oleh Kapt(B) Mohd Zaidi Ismail

- penekanan yang lebih kepada cara berfikir, sikap dan kepentingan restu

ibubapa dan guru

10.30 pagi : Minum Pagi

11.00 pagi : Ice Breaking dan SGD 1: Knowing Myself & Why I Am Here

- siswa/I dibahagikan kepada 12 kumpulan dengan 2 orang pensyarah

yang bertindak sebagai “facilitator” sekaligus mentor siswa/I berkenaan.

12.30 tgh : Makan tengahari

1.00 ptg : Solat Jumaat bagi muslimin

Solat Zohor berjemaah di surau D dan tazkirah oleh Prof Jamia bagi muslimat

Ceramah Ethical Behaviour of Students oleh Prof P.T. Thomas di DSG bagi “non- muslim”

2.30 ptg : Persediaan kumpulan

-setiap kumpulan dikehendaki melakar logo, tema dan nama kumpulan

masing-masing

3.30 ptg : Pembentangan kumpulan

- siswa/i berkumpul bersama pensyarah dan persembahan oleh setiap

kumpulan. Sesi soal jawab juga tidak dikecualikan.


4.30 ptg : Bersurai dan minum petang

Alhamdulillah perjalanan program adalah seperti yang dirancang. Diharap siswa/i baru dapat mengambil sebanyak mungkin manfaat dari program yang diadakan khas buat mereka. Sesi kedua akan dilaporkan oleh saya esok. insyaAllah:)

Suburkan Program Keintelektualan

MPP Mahasiswa optimis melihat program Debat Perdana : Isu Minggu Mesra Pelajar yang diadakan semalam dapat membentuk mahasiswa yang cakna isu dan membentuk sikap saling mengambil berat di semua peringkat.

Wan Ahmad Fahmi b Wan Abdul Hamid yang juga MPP Fakulti Pendidikan mengulas, " Keseluruhan program hari ini (semalam) amat memberangsangkan. Pelajar-pelajar yang hadir saya lihat bukan semata-mata sekadar mendengar, tetapi mereka juga membangkitkan soalan-soalan yang mungkin sudah lama terbuku, terus kepada Presiden PMU (saudara Hamzah). Inilah sikap yang kita mahu. Di zaman para mahasiswa semakin lembab, masih ada lagi mahasiswa yang cakna isu walaupun mereka sudah di tahun ketiga atau keempat. "

"Hasil positif yang kita nampak hari ini,memungkinkan kita mencadangkan kepada pihak atasan (pentadbiran) untuk untuk turun sendiri melihat aktiviti-aktiviti sebegini dan mungkin kita akan mencadangkan untuk mengadakan aktiviti sebegini di peringkat MPP sendiri. Biar semua MPP samada dari GM atau Aspirasi untuk berada di pentas yang sama membahas isu-isu kampus. Nyatakan dan tegaskan pendirian anda terhadap isu-isu (kampus) itu di sini."
tambah beliau lagi.

Untuk rekod, program Debat Perdana anjuran Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) yang diadakan di Sudut Pidato, bersebelahan Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) semalam merupakan aktiviti ilmiah pertama yang diadakan bagi sesi 2010/2011 ini. Pada sesi yang lalu, beberapa siri-siri debat dan pidato acap kali diadakan terutama sejak dirasmikan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 15 Januari 2010 dengan UKM menjadi universiti pertama di Malaysia yang membuka Sudut Pidato atau 'Speaker Corner' setelah hampir 34 tahun diharamkan setelah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Hasil yang positif daripada Debat Perdana yang dianjurkan semalam juga mengilhamkan kepada MPP Mahasiswa untuk menganjurkan beberapa siri pengucapan awam yang dicadangkan terbuka kepada semua mahasiswa selaras dengan Falsafah UKM yang menekankan penyuburan budaya keilmuan dan keintelektualan di kalangan para mahasiswa.

Dengan itu, diharapkan selepas ini akan bercambah budaya keilmuan yang menjadi titik mula perubahan dalam diri mahasiswa UKM khususnya dan bakal para pemimpin masa hadapan amnya.


Khamis, Julai 15, 2010

Perutusan Kedua MPP Nasiha

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia-Nya dapat lagi kita meneruskan perjuangan yang tidak bernoktah ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat anda semua yang berjaya melangkah ke Tahun 2 dan juga buat semua pelajar Tahun 1 yang berjaya menyambung pelajaran di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mahasiswa/i yang dihormati,

Sepertimana yang anda semua ketahui, bukan mudah tugas sebagai pelajar perubatan. Namun, saya mengharapkan yang terbaik daripada anda semua semoga segala tanggungjawab kita dapat dilaksanakan dengan baik. Bukan sahaja tugas kita untuk belajar semata-mata tetapi kita seharusnya terlibat dengan program-program ilmiah untuk memantapkan lagi kemahiran komunikasi atau dalam erti kata lain “soft skill” kita sendiri. Amat besarlah harapan saya agar anda semua dapat menyeimbangkan tanggungjawab kita sebagai pelajar perubatan dan juga warga kolej.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua SUK saya yang telah dilantik dan diharapkan semua SUK saya dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan tabah dan ikhlas demi menjaga kepentingan bersama mahasiswa fakulti Perubatan. Selain itu juga, saya mengharapkan semua pelajar perubatan dapat memberi kerjasama yang baik terhadap SUK yang telah dilantik dalam menyalurkan masalah atau sebarang ketidakpastian. Hubungilah kami sekiranya anda mempunyai sebarang masalah atau pertanyaan.

Akhir kalam daripada saya, suka untuk saya berkongsi satu pepatah daripada Richard Bach,

“Here is the test to find whether your mission on Earth is finished: if you're alive, it isn't”

Sekian.

Wassalamualaikum WBT.

“PROFESSIONALISME MEMBENTUK MAHASISWA GLOBAL”


NASIHA BINTI OMAR

MPP FAKULTI PERUBATAN TAHUN 1 DAN 2

PMUKM 2009/2010

nasihapmukm@gmail.com

0194432472

Kalendar ! Kalendar !

Assalamu'alaikum wbt.

Di celah-celah kesibukan para mahasiswa UKM mendaftar dan menggugurkan subjek sepanjang minggu ini, MPP Mahasiswa sempat lagi untuk memberi sedikit 'buah tangan' kepada semua





Nantikan 'roadshow' bersama MPP Mahasiswa di tempat anda!

p/s : Kalendar ini juga boleh dimuat-turun dengan meng-klik sebelah kanan dan 'SAVE AS...'

Rabu, Julai 14, 2010

Aduan Kerosakan Jalan di Fakulti Undang-Undang


Sekeping surat telah diutuskan kepada Pengarah Jabatan Pengurusan Pembangunan berkenaan aduan kerosakan jalan dan keadaan jalan yang merbahaya oleh MPP Oo Yong Koh Beng selaku MPP Fakulti Undang-Undang.

Surat tersebut bertarikh 12 Julai dan diakui terima oleh Bahagian Perkhidmatan Prasarana, Jabatan Pengurusan Pembangunan pada 13 Julai 2010 yang lalu.

Walaupun sedia maklum bahawa projek pembinaan di sekitar fakulti tersebut masih dalam pembinaan, saudara Koh Beng memohon untuk pihak Jabatan Pengurusan Pembangunan memantau perjalanan projek agar tidak menjejaskan jalan-jalan lain di Fakulti Undang-Undang. Selain itu, saudara Koh Beng juga memohon agar papan tanda seperti 'AWAS' dan 'PEMBINAAN SEDANG DIJALANKAN' disediakan sebagai makluman kepada semua pihak yang masuk ke kawasan Fakulti Undang-Undang.

Diharapkan usaha baik sebegini terus mendapat perhatian semua pihak.

Israk Mikraj Dan Ahlan Wa Sahlan Syaaban!

SUMBER : Dr Mahasiswa

Assalamualaikum dan salam sejahtera daripada Dr Mahasiswa anda!


Ha..hari ni Dr Mahasiswa nak tanya pada sahabat-sahabat semua, tahu tak pada hari ini, 13 Julai 2010 kita telah melangkah ke satu lagi bulan yang baru dalam kalendar hijrah? Ya, pada hari ini kita telahpun memasuki bulan Sya'ban 1431H iaitu bulan ke-8 dalam kalendar hijrah. Alhamdulillah, kita sekali lagi telah diberi rahmat dan rezeki oleh ALLAH untuk bertemu dan hidup pada bulan ini. Secara tidak lansung, kita hanya tinggal kira-kira sebulan sahaja lagi untuk memasuki bulan yang penuh rahmat dan keberkatan, yang sentiasa kita nanti-nantikan kedatangannya setiap tahun iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak. Ha..mudah-mudahan sahabat-sahabat semua sudah membuat sedikit sebanyak persiapan untuk menghadapi bulan puasa nanti. Di sini Dr Mahasiswa ingin menyeru sahabat-sahabat semua untuk kita sama-sama menjalankan 'rehearsal' puasa Ramadhan dengan lebih kerap lagi, ya?


Walaupun kita telah memasuki bulan Sya'ban pada hari ini, diharap agar kita semua tidak lupa dengan bulan Rejab yang baru sahaja berlalu pergi meninggalkan kita. Dan sebelum Rejab melabuhkan tirainya, terdapat satu peristiwa penting dalam kalendar Islam iaitu peristiwa Israk Mikraj yang telah berlaku pada 27 Rejab. Sehubungan dengan itu, Surau al-Razi Kolej Tun Dr. Ismail telah menganjurkan satu program untuk kita, warga KTDI khususnya dalam mengingati kembali peristiwa yang amat bersejarah bagi umat Islam ini. Majlis bermula selepas waktu Maghrib dengan tayangan multimedia dokumentari Jejak Rasul mengenai peristiwa ini. Sungguhpun tidak pernah menjejakkan kaki ke Masjidil Aqsa, Dr Mahasiswa berasa sangat seronok dan terharu kerana dapat menyaksikan sendiri ruang dalaman masjid yang kedua yang dibina di atas muka bumi yang juga merupakan masjid ketiga paling suci selepas Masjidil-Haram dan Masjidin-Nabawi seperti yang dipertontonkan dalam dokumtari tersebut. Dokumentari tersebut juga ada menunjukkan beberapa batang tiang asal Masjidil Aqsa yang telah dibina sejak zaman Nabi Sulaiman lagi. Mudah-mudahan kita semua dapat menjejakkan kaki ke Masjidil Aqsa suatu hari nanti, insyaALLAH!


Suka Dr Mahasiswa ingin kongsikan disini mengenai salah satu peristiwa yang ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w ketika baginda berada dalam perjalanan tersebut di mana baginda telah menemui satu kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s.a.w dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak. Subhanallah! Mudah-mudahan kita semua termasuk dalam golongan yang sentiasa berjihad fisabillah tersebut, amin.


IKHLAS dari KAMI MPP FAKULTI PERUBATAN
~ALIA~FARIH~NASIHA~
OUR VOICE IS MY VOICE
MEMBENTUK INTEGRASI MAHASISWA

Selasa, Julai 13, 2010

Nota MPP Mariah

SUMBER : MPP Mariah

Perjuangan menempuh antara minggu yang paling mencabar buat mereka yang baru sahaja bergelar mahasiswa, telah berakhir jua dengan lancar. Minggu Mesra Pelajar atau lebih mesra dikenali dengan MMP, telah tamat dengan Majlis Makan Malam di DSG KTSN. Minggu ini merupakan minggu di mana mahasiswa baru diberi pendedahan kehidupan di alam kampus. Selama seminggu mahasiswa UKM Kampus Kuala Lumpur menetap seketika di Kolej Keris Mas sebelum dibawa pulang ke KTSN.

Perjuangan mahasiswa/i Kampus Kesihatan bermula saat mereka menjejak kaki di Dewan Gemilang lagi. Di sinilah, saya bersama-sama dengan MPP Mahasiswa UKM KL, Nur Ili Tarmizi (MPP FSKB 3/4) dan Nasiha binti Omar (MPP FPER 1/2) dan juga MPP Cheras, Fareh Najihah binti Hashim (MPP FPER 3/4/5) mengambil kesempatan bertemu ramah dengan mahasiswa dan ibubapa mereka. Pelbagai persoalan yang ditanya membuktikan kasih sayang mereka terhadap anak-anak yang bakal mereka lepaskan.

MPP Farmasi dan MPP FSKB 3/4, turut hadir pada malam pertama MMP, mendengarkan taklimat kolej oleh YBhg Prof. Madya Dr Ruzita bt Abd Talib. Penerangan ringkas dan padat bonda pengetua mengenai kolej yang bakal mereka diami mendapat perhatian pelajar.

Terdapat beberapa program yang turut kami hadiri sepanjang program MMP itu juga. Kami juga menyambut siswa/i Kampus KL saat mereka menjejak kaki di KTSN. Wajah-wajah keletihan bersalutkan kelegaan terpamer pada diri mereka.

Bergambar bersama Dekan Fakulti Farmasi UKM, Prof Ibrahim bin Jantan (2 dari kanan) dan Timbalan Dekan Akademik dan Hubungan Antarabangsa Fakulti Farmasi, Prof Madya Dr Jamia Azdina Jamal (3 dari kanan) di hadapan Dewan Gemilang

Bersama Naib Canselor UKM, Prof Tan sri Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin di dalam Dewan Gemilang.

Hadirnya mereka di sini membawa seribu impian dan sejuta harapan. Bukan hanya untuk diri mereka sahaja, bahkan pada insan-insan yang terdekat dengan mereka. Besar pengaruh siswa/i senior dalam memainkan peranan. Oleh itu, saya menyeru sahabat-sahabat agar memainkan peranan yang sewajarnya dalam menunjuk mereka haluan yang dapat membuahkan kejayaan di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Hari Suai Kenal Fakulti Farmasi

SUMBER : MPP Mariah

Alhamdulillah, pada 12 Julai 2010, bermula jam 8 pagi, Hari Suai Kenal bersama dengan pelajar tahun 1 Fakulti Farmasi sesi 2010/2011 berjalan dengan lancar. Sesi ini dikendalikan sepenuhnya oleh jawatankuasa Persatuan Mahasiswa Fakulti Farmasi yang diketuai oleh YDP PMFFAR iaitu saudara Fareed Saroni. Turut membantu juga saya sebagai MPP Fakulti Farmasi dan juga SUK saya.

Hari suai kenal ini dimulakan dengan pembahagian 93 orang pelajar tahun 1 kepada 3 kumpulan. Perjalanan kumpulan-kumpulan tersebut adalah seperti di bawah :-

i) Kumpulan 1 -
Taklimat perpustakaan --> Lawatan sekitar UKM KL--> Taklimat PMFFAR dan PMUKM

ii) Kumpulan 2 -
Taklimat PMFFAR dan PMUKM --> Lawatan sekitar UKM KL--> Taklimat perpustakaan

iii) Kumpulan 3 -
Taklimat PMFFAR dan PMUKM --> Lawatan sekitar UKM KL--> Pulang
(Taklimat perpustakaan pada 26/7)

Taklimat PMFFAR dan PMUKM berkisar tentang Visi dan Misi persatuan. Tidak ketinggalan juga pengenalan setiap ahli jawatankuasa dan penerangan serba ringkas cara hidup sebagai seorang mahasiswa. Dalam erti kata lain penerangan tidak terhad hanya kepada aktiviti di fakulti, bahkan keperluan hidup sepanjang bergelar mahasiswa yang hidup di tengah kota.

Pelajar juga dibawa lawatan di sekitar UKM KL. Bermula dari pejabat Fakulti Farmasi hinggalah ke makmal di blok P. Pusat Teknologi Maklumat, Bilik Bersih, Dewan Kuliah, Kafeteria dan Farmasi Komuniti juga tidak ketinggalan. Lawatan ini merupakan lawatan kedua setelah lawatan pertama dijalankan ketika minggu MMP bersama dengan pemudah cara. Lawatan ini dijalankan buat kali kedua berdasarkan permintaan mahasiswa/i sendiri.

Saudara Fareed dan saya sedang memberi penerangan serba ringkas di hadapan TIBE




Penerangan cara mengisi borang aktiviti PMFFAR oleh saudari Lim Qin Hui, Setiausaha 1 PMFFAR

Taklimat dan lawatan berakhir kira-kira jam 1 tengahari. Diharap dengan lawatan dan taklimat kali ini, mahasiswa tahun 1 akan lebih peka dan arif dengan keadaan sekeliling. Mereka juga diharap dapat menggarap seluas mungkin ilmu sebelum melangkah ke dunia luar. Baik dan buruk itu nyata. Di antaranya, ada yang meragukan. Semoga mahasiswa bijak memilih pilihan yang menentukan haluan hidup mereka di dunia mahupun di akhirat. InsyaAllah.

Sekian
Wassalam

"Ke Arah Mahasiswa Profesionalisme Unggul"

Isnin, Julai 12, 2010

Perutusan Selamat Datang dari MPP Mariah

SUMBER : MPP Mariah

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum wbt dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada Ilahi, kerana dengan rahmat dan rahimNya, setiap saat kita diberi jutaan nikmat yang seringkali kita leka dan alpa. Selawat dan salam juga dihadiahkan kepada Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan sahabatnya.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada mahasiswa/i Tahun 1 sesi 2010/2011, yang telah berjaya mendapat tempat di Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia. Besar harapan kami dan tinggi cita-cita kami untuk bersama-sama mengharung dalam membentuk mahasiswa selaras dengan moto UKM iaitu mengilham harapan, mencipta depan. Tahniah sekali lagi kerana anda telah membuat pilihan yang tepat untuk menjadikan fakulti ini sebagai tempat anda menempa sejarah hidup anda dan dalam masa yang sama mendapatkan segulung ijazah. Kami bangga dengan pilihan anda.

Tidak ketinggalan juga, saya ingin mengucapkan selamat kembali semula dan semoga tabah meneruskan perjuangan kepada siswa/I “senior”. Perjalanan hidup kita masih jauh lagi. Namun, perjalanan hidup sebagai seorang mahasiswa sangat singkat. Garaplah ilmu seluas mungkin. Lengkapkanlah diri sebagai seorang professional dari segala aspek. Seiringkanlah peningkatan akademik dan juga kemahiran insaniah. InsyaAllah, kita bakal menjadi graduan contoh untuk masyarakat.

Siswa/i sekalian,

Sekiranya mempunyai sebarang masalah atau aduan bolehlah berhubung dengan saya melalui alamat email saya, mz_grin90@yahoo.com atau mariahpmukm@gmail.com. Aduan juga bolehlah dibuat di laman Facebook PMUKM Fakulti Farmasi 2009/2010 atau berhubung terus dengan saya melalui no telefon saya iaitu 0132649589. Sebagai maklumat tambahan juga, saya mempunyai blog persendirian iaitu http://mariahzakaria.blogspot.com/ . InsyaAllah di sini saya akan sampaikan maklumat-maklumat terbaru yang boleh menjadi rujukan bersama.

Akhir kalam dari saya, ayuh kita sama-sama renungkan semula Falsafah universiti yang kita kasihi ini,

‘Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti.’

Sekian,

Wassalam.

“Ke Arah Mahasiswa Profesionalisme Unggul”

MARIAH BINTI ZAKARIA

MPP FAKULTI FARMASI

PMUKM 2009/10

Ahad, Julai 11, 2010

MPP Mahasiswa Bidas PC

MPP Mahasiswa mengucapkan tahniah kepada mahasiswa/i baru yang telah menempuhi Minggu Mesra Pelajar (MMP) dengan jayanya. Penghargaan juga ditujukan kepada Pemudah Cara (PC) yang telah bertungkus-lumus memberikan tunjuk ajar kepada mahasiswa/i baru sepanjang tempoh MMP berlangsung.

Namun begitu, terdapat beberapa isu yang mendapat perhatian MPP Mahasiswa. Antaranya ialah isu rampasan booklet Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi (PMFST) yang diedarkan kepada mahasiswa/i baru FST.

Mohd Syafiq Abd Aziz, MPP Umum berkata, tindakan tersebut sangat tidak wajar memandangkan PMFST tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Jangan bersikap prejudis. Apa hak mereka untuk ambil (booklet)? Booklet yang dirampas langsung tiada unsur-unsur politik seperti yang digembar-gemburkan. Jadi, saya gesa PC yang bertanggungjawab untuk pulangkan booklet tersebut dan memohon maaf kepada PMFST.

Syafiq yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) turut mengulas mengenai usaha pihak ASPIRASI menjadikan MMP sebagai medan doktrinisasi.

"Mahasiswa baru sepatutnya diajar berfikir. Bukannya dipaksa menerima bulat-bulat. Saya yakin, mereka bukan 'pak turut', bukan 'yes man'. Mereka mampu menganalisis dan menilai,"tambahnya.

Mohd Zaim Juwaidi, MPP Fakulti Pengajian Islam yang ditemui pula menegur tindakan Pemudah Cara (PC) yang kurang menekankan kewajipan solat dan membenarkan pergaulan bebas.

“PC bukan saja perlu memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang universiti, bahkan bertanggungjawab mendisiplinkan mahasiswa menunaikan tuntutan agama. Bagi yang beragama Islam, solat adalah wajib dan perlu diutamakan. Jangan sampai ada (mahasiswa) yang tak sempat solat kerana terpaksa melibatkan diri dengan aktiviti lain.”

Tambahnya, ‘perang DECTAR’ yang diadakan dalam keadaan gelap dan bercampur antara lelaki dan perempuan juga seharusnya dielakkan.


“Allah cipta lelaki dan perempuan ibarat ‘magnet’. Secara fitrahnya, lelaki akan tertarik dengan perempuan, begitu juga sebaliknya. Jadi, hubungan antara mereka kena jaga betul-betul untuk elakkan pergaulan bebas yang akhirnya membawa kepada maksiat,”katanya lagi.

Beliau turut berharap agar kelemahan yang ada dapat diperbaiki pada masa akan datang demi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademiknya tetapi juga kental imannya.