Rabu, Julai 07, 2010

Apa Kata MPP Mahasiswa?

"Tahniah dan selamat datang buat semua mahasiswa baru yang telah mendaftar masuk ke IPTA khususnya UKM. Peluang melanjutkan pelajaran ke universiti pastinya menjanjikan suasana dan pengalaman yang bermakna selari dengan status universiti sebagai sebuah intitusi pendidikan tertinggi di negara ini. Individu yang melangkah masuk ke universiti merupakan mutiara berharga yang bertanggungjawab untuk menyemarakkan lagi proses penjanaan intelektual dan penerokaan ilmu. Justeru, peluang ini tidak sewajarnya disia-siakan begitu sahaja. Semoga berjaya!"-Ou Yong Koh Beng, MPP Fakulti Undang-Undang

"Insan yang terpilih memasuki universiti seharusnya mempersiapkan diri sebagai MAHASISWA. Mindanya tidak wajar di takuk lama, tingkahnya juga perlu mencerminkan ilmu di dada. Universiti bukan sekolah menengah, apatah lagi sekolah rendah yang banyak dipayungi sistem yang ‘mengikat’. Cabaran mahasiswa di universiti sememangnya berbeza. Mahasiswa perlu lebih banyak berdikari. Jati dirinya perlu teguh dan prinsipnya perlu utuh. Otaknya ligat berfikir dan menganalisis, bukannya cenderung mengikut telunjuk sehinggakan perkara yang salah diterima bulat-bulat, perkara yang benar ditentang bermati-matian." - Muhamad Faiz Ismail, MPP Umum

"Minggu orientasi yang ditempuh selama seminggu seharusnya mampu memberi gambaran sebenar peranan kita selaku mahasiswa. Mahasiswa tidak harus dilayan seperti budak-budak. Diajar menurut perintah tanpa dibenar sedikit pun membantah. Sistem yang sedia wujud hari ini banyak mengikut acuan golongan tua. Golongan muda semakin hari semakin sukar bernafas disebabkan kerakusan golongan tua merencana idea. Pandangan golongan muda yang tidak selari dengan golongan tua dianggap sebagai ‘sampah’ sehingga akhirnya idea mahasiswa dikesampingkan dan ruang untuk belajar dari kesilapan dihadkan." - Nabilah Mohd Maiyidin, MPP Umum