Selasa, Julai 20, 2010

MPP Faiz Bawa Nama UKM Ke Persada Antarabangsa


Bangi, 20 Julai- Pejabat Hubungan Industri (PHI) dengan kerjasama AIESEC UKM telah menganjurkan Seminar Peningkatan Kebolehpasaran bertempat di Bilik Senat, Canselori UKM. Majlis dirasmikan oleh Y.Bhg. Prof Dr. Saran Kaur Gill, TNC Hal Ehwal Jaringan Industri Dan Masyarakat (HEGIM) dan turut dimeriahkan dengan kehadiran Y.Bhg. En. Ahmad Zaki selaku bekas pemimpin AIESEC UKM.

Seramai 7 orang pembentang termasuk ahli MPP Umum, Muhamad Faiz Ismail diberi peluang untuk berkongsi pengalaman melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan latihan industri di luar negara.

Faiz yang menjalani praktikal di San’a,Yemen bersama 3 orang lagi rakannya berasa bertuah kerana terpilih untuk membawa nama UKM ke persada antarabangsa.

“Perkongsian ilmu ini merentas benua, pokok pangkalnya sekuat mana kita berusaha. Peluang sebegini tidak wajar disia-siakan oleh sesiapa sahaja kerana pengalaman yang bakal diraih sangat berharga”, katanya.

Faiz yang merupakan pelajar tahun 4 Fakulti Pendidikan turut berkongsi tentang sistem pendidikan di Yemen dan menjelaskan sejauhmana latihan industri di luar negara mampu meningkatkan kebolehpasaran pelajar UKM.

“Amanah sebagai ‘duta’ UKM di luar negara harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjelaskan kepada masyarakat dunia bagaimana UKM memacu pendidikan negara sehingga menjadi antara universiti terbaik di rautau ini”, tambahnya lagi.

Bergambar kenangan dengan pelajar Malaysia di Yemen