Bangi, 12 Feb- MPP Mahasiswa telah mengadakan perbincangan dengan Pn. Aripah Mohamed, Ketua Perpustakaan ATMA berikutan aduan mahasiswa mengenai perkhidmatan Perpustakaan ATMA yang masih belum beroperasi sepenuhnya setelah ditutup untuk dinaiktaraf sejak semester lepas.
Proses menaiktaraf PATMA yang berlanjutan sehingga semester ini sedikit sebanyak telah menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran mahasiswa/i UKM khususnya mahasiswa/i yang perlu menyiapkan tugasan dan penulisan ilmiah (thesis) pada semester ini.
MPP Umum, Muhamad Faiz Ismail yang ditemui berkata, MPP Mahasiswa telah membuat permohonan supaya pengoperasian semula PATMA secara sepenuhnya disegerakan. Berdasarkan jawapan atau maklum balas yang diterima, PATMA akan beroperasi selepas cuti Tahun Baru Cina mulai 18 Februari 2010. Kerja-kerja pemasangan port internet dan pendawaian elektrikal baru sahaja disiapkan pada hari ini di Aras 2. Namun begitu, penghawa dingin belum siap dipasang di Aras 3 di mana perkhidmatan kaunter dan koleksi buku ditempatkan.
"Alhamdulillah, tidak lama lagi PATMA akan beroperasi seperti sediakala dengan kemudahan yang telah dinaiktaraf. Semoga mahasiswa/i lebih bermotivasi dan berusaha lebih gigih untuk meningkatkan prestasi akademik ke tahap yang lebih tinggi", ujarnya lagi.