KL, 3 Feb- MPP Mahasiswa yang telah terpilih dalam pemilihan MPP baru-baru ini meluangkan masa berkunjung ke UKM Kampus KL untuk berdialog dan beramah mesra dengan mahasiswa/i. Barisan MPP juga mengedarkan kalendar dan penanda buku percuma sebagai tanda penghargaan kepada mahasiswa/i yang telah memberi mandat kepada mereka untuk memimpin dan mewakili SUARA MAHASISWA. Antara MPP yang hadir ialah Khairul Anuar b. Mat Lazim, Muhamad Faiz b. Ismail, Nik Ahmad Shafie b. Raja Daud, Nabilah bt. Mohamad Maiyidin, Sarzliana bt. Soaidin, Nur Ili bt. Mohamad Tarmizi dan Mariah bt. Zakaria.
Ramah mesra tersebut berlangsung kira-kira 2 jam dan mendapat respon yang positif daripada warga UKM Kampus KL. Mereka berharap agar MPP mahasiswa mampu melakukan penambahbaikan dan berusaha melaksanakan manifesto yang dicanangkan. Kunjungan tersebut turut diserikan dengan edaran buah limau sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi. Antara kawasan yang menjadi tumpuan MPP Mahasiswa ialah kafe, tempat menunggu bas, dewan kuliah dan kawasan sekitar fakulti.
Menurut MPP Umum Thn 3, 4 & 5 Muhamad Faiz Ismail, kunjungan ini memberi ruang kepada mahasiswa untuk mengenali pemimpin mereka seterusnya menjadi medan untuk MPP memungut suara dan aduan mahasiswa.
"Keyakinan mahasiswa terhadap pemimpin semakin berkurangan disebabkan kegagalan pemimpin menjalankan tugas dengan baik. Kesannya, terdapat mahasiswa yang tidak ambil peduli soal kebajikan mereka kerana menganggap bahawa MPP yang dipilih tidak mampu untuk membawa suara mereka. Justeru, inisiatif untuk bertemu dengan mahasiswa dilihat sebagai galakan kepada mahasiswa untuk menyuarakan masalah, kritikan dan cadangan kepada MPP," ujarnya lagi.
MPP Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Nur Ili Mohamad Tarmizi yang ditemui pula berkata, kepimpinan mahasiswa perlu dilonjakkan semula ke tempat yang sepatutnya.
"Mahasiswa perlu bersama-sama dengan MPP dalam usaha melaksanakan agenda kebajikan mahupun keilmuan. Mahasiswa bertanggungjawab untuk memastikan barisan pemimpin yang dipilih tidak 'lepas tangan' atau sekadar menaburkan 'janji kosong'. Sememangnya MPP tidak mampu memberi jaminan terhadap pelaksanaan manifesto, namun apa yang lebih penting adalah keazaman dan kesungguhan MPP untuk merealisasikan hasrat tersebut," katanya.