Sabtu, Februari 16, 2013

‘YURAN EKOR’,MENGECEWAKAN PELAJAR TAHUN 1

             Pada 15/02/2013 tepat pada jam 12.00 tengah malam, pelajar UKM sudah boleh menyemak Keputusan Peperiksaan Semester 1 Sesi 2012/2013. Tetapi malangnya, kebanyakan pelajar Tahun 1 tidak boleh menyemak keputusan mereka disebabkan ada tunggakan Yuran MMP sebanyak RM70 yang dicajkan ke akaun hutang pelajar oleh Jabatan Bendahari. Aduan demi aduan diterima oleh MPP PMUKM disebabkan ketidakpuasan hati mereka kerana mereka telah menjelaskan kesemua yuran pengajian tetapi disekat daripada menyemak keputusan peperiksaan mereka.



         Pada paginya, satu perjumpaan telah dilakukan bersama Pegawai Jabatan Bendahari bagi mendapatkan penjelasan terhadap permasalahan ini. Penjelasan yang diberikan olehnya, Yuran MMP sepatutnya adalah RM370 dan bukannya RM320. Perkara ini telah dimaklumkan semasa Minggu Mesra Pelajar lagi, tetapi disebabkan masalah sistem, Yuran MMP hanya dicajkan RM320. Selebihnya iaitu RM70 telah dicaj semasa awal bulan Januari. Yuran tersebut tidak boleh dibawa ke Semester 2 kerana perkara ini perlu dilakukan secara manual dan memakan masa yang lama. MPP PMUKM telah memberi cadangan supaya membuat pengumuman seperti e-mail kepada pelajar tentang tunggakan hutang, tetapi pegawai tersebut menyatakan pelajar sendiri harus peka dengan tunggakan hutang mereka sendiri. MPP PMUKM mendesak supaya sekatan dibuka agar pelajar boleh menyemak keputusan peperiksaan. Alhamdulillah, sebelah petangnya, pelajar boleh menyemak keputusan peperiksaan walaupun masih mempunyai hutang Yuran MMP.
                
           Diperingkat MPP PMUKM, masalah ‘yuran ekor’ ini telah pun diajukan semasa Mesyuarat Kebajikan Bersama Naib Canselor. Beliau mengingatkan Jabatan Bendahari supaya menyelesaikan masalah ini. Malangnya perkara ini masih berlaku pada semester ini. Diharap masalah ini tidak berlaku lagi pada semester hadapan bagi kesejahteraan pelajar UKM.

Sekian.
Mufaddal bin Mustansir,
Pengerusi Biro Kebajikan dan Khidmat Sosial,
PMUKM Sesi 2012/2013.

AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI