Rabu, Februari 20, 2013

UCAPAN PRESIDEN PMUKM SELAMAT KEMBALI KE KAMPUS



 Cuti semester berlalu sangat pantas. Saya yakin, cuti yang ada dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Mudah-mudahan cuti yang ada menjadi ruang untuk rakan-rakan bersama keluarga, mendapatkan kekuatan untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu di bumi hijau UKM ini.

Tahniah
                 Ucapan tahniah buat rakan-rakan mahasiswa/i yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir semester 1 sesi 2012/2013. Pada saya, biar apa pun keputusan yang diperoleh rakan-rakan, semuanya adalah hasil usaha dan susah payah kita. Kekalkan momentum dan tingkatkan semangat untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu.

                Peluang untuk bergelar sebagai mahasiswa/i tidak lama. Sebagai mahasiswa/i, kita punya peluang dan ruang yang cukup luas untuk menimba ilmu dan pengalaman. Universiti sentiasa menanti kepulangan kita. Tanpa mahasiswa, universiti ibarat pesta ilmu yang tidak berpengunjung. Manfaatkan sebaik mungkin kehidupan sebagai mahasiswa di universiti terkemuka tanah air ini.

Cabaran
              Pengembaraan beribu batu bermula dengan langkahan pertama. Kembara kita punya matlamat yang jelas. Teruskan langkah ke arah matlamat kita, hadapi dugaan dan cabaran yang mendatang dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Pada saya, cabaran dalam kehidupan merupakan satu pengalaman yang akan menjadi guru terbaik dalam usaha untuk mematangkan pemikiran dan tingkah laku kita.

             Tahun ini, kita bakal berhadapan dengan PRU13. Peluang untuk berhadapan dengan pilihan raya umum semasa bergelar mahasiswa/i tidak dirasai oleh semua orang yang pernah bergelar mahasiswa/i. Tambahan pula, mahasiswa/i dilihat sebagai “third force” yang akan menentukan masa depan negara kita. Jadikan PRU13 sebagai satu cabaran. Laksanakan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.
Selamat menempuh semester 2 sesi 2012/2013. 

AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI