Jumaat, September 03, 2010

Pelajar UKM menangi anugerah biasiswa sains aktuari AS

Oleh : Kuah Guan Oo

Sumber : UKM News Portal


BANGI, 2 Sep 2010 – Pelajar tahun akhir Sains Aktuari UKM telah mengharumkan nama Universiti Kebangsaan Malaysia apabila memenangi anugerah Biasiswa John Culver Wooddy yang dikeluarkan Yayasan Aktuari Amerika Syarikat.

Kelvin Yeong Song Bor, 22, adalah diantara 13 orang pelajar dari seluruh dunia yang diiktiraf memenangi anugerah sebanyak AS$2,000 itu dengan mengambil satu peperiksaan yang dikendalikan Persatuan Aktuari yang berpejabat di Illinois, Amerika Syarikat.

Beliau merupakan pelajar kedua UKM memenangi anugerah tersebut selepas Tang Khai Sheng memenanginya tahun lalu. Tang kini bertugas dengan Bank Negara.

Kelvin anak sulung seorang tukang kayu dan seorang suri rumah di Mentakab Pahang merupakan pelajar sains aktuari UKM yang kedua memenangi anugerah berprestij itu.

Selain dari pelajar Amerika Syarikat, pemenang anugerah yang lain terdiri dari pelajar-pelajar dari Canada, Ghana dan Britain.

Kelvin berkata beliau memohon untuk bersaing mendapatkan anugerah itu dengan bantuan dan galakan Ketua Program Sains Aktuari di Pusat Sains Matematik ketika itu, Prof Madya Noriszura Ismail.

Selain daripada dorongan dan perakuan daripada Prof Madya Noriszura dan keputusan akademiknya di UKM, apa yang menjayakannya ialah keputusannya dalam peperiksaan yang dikendalikan Persatuan. Kelvin telah pun lulus lima daripada 10 peperiksaan Persatuan itu.

Kelvin berkata dia berhasrat diterima sebagai Felow Persatuan. Buat masa ini beliau perlu mengambil dan lulus dua lagi peperiksaan Persatuan untuk diterima sebagai Fellow Bersekutu.

Beliau adalah pelajar lulusan Sekolah Tinggi Hwa Lian Mentakab dan mempunyai tiga orang adek, dua lelaki dan seorang perempuan.

Dia juga berhasrat menggunakan wang kemenangannya itu untuk membayar kos peperiksaan Persatuan yang selebihnya yang agak tinggi dan kemudian melanjutkan pelajaran untuk mendapat ijazah Masters.

Beliau merancang bekerja dengan salah satu daripada 16 buah syarikat Insuran yang beroperasi dalam negara. “Lulusan aktuari sememangnya biasa bekerja dengan syarikat Insuran. Apa yang kami lakukan ialah menghitung risiko dan premium yang dikenakan ke atas insuran yang diambil.”

Kelvin yang sebelum ini pernah memenangi biasiswa tanpa ikatan dari OCBC ketika berada dalam tahun kedua pengajiannya telah mengambil cuti belajar di North-Central University di Illinois sebagai pelajar pertukaran selama sembilan bulan diatas biasiswa negeri itu.

Sementara itu Prof Madya Noriszuma amat berbangga dengan pencapaian Kelvin. Beliau berkata Kelvin telah memenangi anugerah itu kerana pencapaian akademiknya serta penglibatannya dalam aktiviti kokurikulum.

Beliau juga amat berbangga dengan pencapaian pelajar-pelajar aktuarinya yang mengambil kursus profesional itu yang perlu menduduki peperiksaan yang dikendalikan persatuan Amerika itu.

“Separuh daripada mereka telah pun lulus sekurang-kurangnya satu peperiksaan persatuan itu tahun lalu.” Yang lainnya tidak menduduki peperiksaan itu kerana bayarannya amat tinggi atau pun mereka belum bersedia mendudukinya. Peperiksaan itu dilangsungkan di Kuala Lumpur dengan dikenakan bayaran RM500 atau lebih untuk satu kertas bergantung kepada tahapnya.

Tahun lalu kita memperolehi keputusan terbaik apabila lima daripada pelajar kita telah lulus kesemua lima kertas peperiksaan itu, ia itu antara pencapaian terbaik di dunia, katanya.

Pada tahun 2007 dan 2008 hanya seorang pelajar UKM saja telah lulus kesemua lima kertas peperiksaan dalam setahun.

Prof Madya Noriszura berkata dari pengalaman UKM seseorang pelajar akturial hanya akan lulus kesemua 10 kertas peperiksaan Persatuan itu selepas dua tahun menerima ijazah. Kertas terakhir adalah yang paling susah dan menyeluruh mengambil masa hingga enam jam dimana pelajar perlu menyelesaikan masaalah sebenar dari pengalaman pekerjaan.

Beliau menerangkan bahawa pelajar jurusan Sains Aktuari UKM adalah antara yang terbaik kerana syarat kemasukannya adalah lebih tinggi dari lain. Pelajar-pelajar ini akan berasa bosan kiranya kami lembab, katanya.

UKM adalah universiti pertama di Malaysia yang menawarkan program sains aktiari di peringkat ijazah aktuari sejak 20 tahun lalu.

Diterjemahkan oleh Rejal Arbee