Rabu, September 29, 2010

Mahasiswa menggugat: Realiti atau fantasi ?


KUALA LUMPUR : Kerajaan dicabar untuk mengembalikan autonomi mahasiswa di dalam Universiti agar mahasiswa dapat menjadi mahasiswa yang berketrampilan dan mampu menggugat sama seperti di zaman 60-an dan 70-an satu ketika dahulu.

Ramai dari kalangan bekas mahasiswa tahun 60-an dan 70-an dahulu juga menganggap mahasiswa hari ini dilatih seperti ‘budak sekolah’ dan pemimpinnya dilantik seperti sekolah melantik ‘pengawas’ kerana kekangan yang wujud dari pihak universiti.

Bagi penulis buku Mahasiswa Menggugat, Prof Dato' Dr Mohamad Abu Bakar yang juga Profesor Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) dari Universiti Malaya berkata, cara gugatan mahasiswa hari ini dan satu ketika dahulu amatlah berbeza.

"Pelajar hari ini sungguh menyayat hati, apabila diperhatikan di café-café ketika mereka sedang makan, perbualan mereka tanpa perbualan tentang dunia semasa dan soal intelek,” kata Prof Dr Mohamad Abu Bakar ketika diminta mengulas kondisi mahasiswa masa kini.

Terbaru adalah kes empat orang mahasiswa Sains Politik UKM yang mengemukakan saman pemula bagi mencabar tindakan tatatertib UKM ke atas mereka yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor, April lalu.

Prof Dr Mohamad Abu Bakar juga merakamkan rasa kesal terhadap kekecohan yang berlaku di dalam Pilihanraya Kampus (PRK) sesi 2009/2010 di IPTA seluruh negara yang berlaku awal tahun ini khususnya di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kekecohan dan bantahan yang berlaku tidak lain berpunca dari pengendalian PRK oleh pihak pengurusan universiti yang memang sejak dari dulu dipertikaikan kewibawaan dan keberkecualiannya (impartiality).

Ia terjadi akibat sikap pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang mengambil sikap memihak kepada kumpulan pelajar tertentu hingga menjadikan demokrasi kampus bahan lawak semata-mata.

Di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) juga sekian lama berpendirian bahawa soal pemilihan kepimpinan mahasiswa seharusnya ditentukan sendiri oleh mereka secara bebas dan terbuka. Pendirian adalah telah ditetapkan sekian lama, sedari penubuhan Gabungan Mahasiswa pada tahun 2005, sama ada ketika kita mendapat banyak kerusi MPP atau tiada langsung.

Strategi menggugut dan memaksa mahasiswa untuk hanya mengundi sesuatu kumpulan adalah penghinaan terhadap maruah para mahasiswa selain dari mencabul hak asasi mereka.

Sikap memihak yang amat ketara yang ditunjukkan oleh kebanyakan pentadbir universiti uga dikutuk yang menyokong kumpulan pro Aspirasi di kampus-kampus hingga hanya kumpulan tersebut diberi ruang yang luas untuk berkempen dan mendekati pelajar dan pada masa yang sama menafikan hak tersebut kepada kumpulan pro Mahasiswa. Persoalan yang timbul adalah bagaimana universiti-universiti di Malaysia ingin mencapai tahap universiti bertaraf dunia jika dalam hal menentukan pemimpin mereka pun mahasiswa diperlakukan seumpama kanak-kanak ?

Mungkin seluruh dunia akan memperlecehkan Malaysia jika mereka mengetahui beginilah caranya kita membentuk dan mengajar barisan pelapis kepimpinan negara untuk menang pilihanraya dengan cara mengugut dan menekan lawan.

Dalam menyentuh perkembangan mahasiswa hari ini, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pihaknya melihat mahasiswa hari ini perlu melebarkan gerakan mereka kepada gerakan kebudayaan.

"Kita melihat, gerakan mahasiswa hari ini tidak perlu banyak tertumpu dalam kegiatan politik sahaja, sebaliknya, mereka juga perlu mengambil bahagian dalam bidang-bidang lain juga," kata beliau ketika dihubungi.

Yang lebih penting, tambah beliau, mahasiswa hari ini perlu menumpukan kepada usaha ke arah mengukuhkan akar budaya rakyat Malaysia yang baharu.

"Misalnya penjelasan ke arah menuju Malaysia Baru itu bukan cuma terhad kepada usaha memerangi rasuah, tapi ia mencakup kepada usaha membentuk akar budaya Malaysia yang baharu.

"Pada saya, Malaysia baru bukan hanya ditakrifkan sebagai negara yang bebas rasuah, tapi ia mesti pergi lebih jauh daripada itu, ia melibatkan pembentukan budaya baru yang dicipta oleh sarjana-sarjana, para cendekiawan dan ahli bijak pandai dalam masyarakat," katanya.